Selamatkan Belia Dari Gejala Rasuah | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Selamatkan Belia Dari Gejala Rasuah

Selamatkan Belia Dari Gejala Rasuah

Carian Oleh : En. Wan Muhd Isam (Pen. Pegawai Tadbir)
Artikel oleh : Noor Mohamad bin Shakil Hameed, Timbalan Ketua, Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Sumber : https://www.sprm.gov.my/index.php?page_id=103&contentid=2946&cat=BKH&language=my

 

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 85 orang belia berusia antara 17 hingga 24 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh dari tahun 2018 hingga 2022. Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, daripada angka tersebut seramai 37 orang belia sudah dituduh di mahkamah dan seramai 31 orang belia itu sudah selesai perbicaraan dan didapati bersalah.

SPRM juga sebelum ini pernah mendedahkan kesanggupan golongan mahasiswa memberi dan menerima rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dibuat SPRM pada 2016 menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 orang mahasiswa yang menjadi responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa berbanding 10.7 peratus pada 2015. Kajian 2016 juga mendapati 18.2 peratus pelajar bersedia memberi rasuah agar mereka tidak dikenakan tindakan dan angka ini turut meningkat berbanding 17.4 peratus pada tahun 2015.

Dalam konteks inisiatif SPRM dan agensi kerajaan yang lain, semoga pendekatan beberapa langkah pendidikan pencegahan seperti penubuhan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) yang sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR), pelaksanaan Program Wira Anti Rasuah (WAR) di sekolah bermula pada tahun 2014 serta pengenalan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di peringkat universiti yang menjadi mata pelajaran wajib bermula tahun ini dapat membantu menyelamatkan belia daripada gejala rasuah.

Ironinya, walaupun rasuah bukan isu baru di negara kita namun pendedahan statistik penglibatan belia dalam gejala rasuah seperti ini cukup membimbangkan anggota masyarakat secara keseluruhannya. Data ini menunjukkan masih banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk memupuk dan menerapkan elemen integriti dan amanah dalam kalangan anak muda yang sering digambarkan sebagai bayangan wajah masa depan negara kita. Justeru semua pihak yang peka dan prihatin dengan masa depan belia dan negara perlu melakukan sesuatu tindakan yang drastik supaya masalah ini dapat ditangani dengan segera.

Harus diingat golongan belia adalah pemimpin negara pada masa akan datang dan jika mereka sudah mula terpalit dengan najis rasuah pada usia yang muda sebegini cuba kita bayangkan apalah nasib dan hala tuju negara ini suatu hari kelak. Apakah masih ada sinar harapan untuk masa depan negara ini jika nilai integriti anak muda kita umpama senipis kulit bawang. Ternyata rasuah mula menjadi masalah yang besar kepada rakyat dan negara kita. Justeru penyakit sosial yang serius ini perlu dikawal, dibendung dan dirawat dengan segera.

Lihat saja dada-dada akhbar atau laporan di televisyen di mana hampir setiap hari dilaporkan pelbagai kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Nilai rasuah juga adakalanya mencecah jutaan ringgit dan buat seketika penerima rasuah kelihatan hidup cukup sempurna dan mewah. Namun jangan lupa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila ramai juga pesalah rasuah yang sudah mula dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal. Namun ironinya masalah rasuah masih terus berlaku dan mula mengancam pegangan nilai integriti rakyat kita khususnya golongan belia.

Semua pihak perlu sedar betapa jika dibiarkan najis rasuah ini terus berlaku dalam kalangan belia negara kita ianya boleh memusnahkan masyarakat dan menghancurkan negara sama sekali. Ini juga akan membantutkan hasrat kerajana yang mahu membentuk dan melahirkan masyarakat Madani. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama berganding bahu membanteras gejala rasuah ini dari peringkat akar umbi lagi. Jika setiap seorang daripada kita boleh berikrar dan katakan tidak pada rasuah dan segala bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan maka kita yakin masalah ini dapat ditangani secara menyeluruh. Dalam hal ini kita bukan saja tidak boleh menerima rasuah tetapi kita juga perlu memastikan tidak pula memberi rasuah atau sogokan kepada orang lain demi pelbagai kepentingan dan agenda peribadi.

Golongan belia adalah komponen yang cukup penting dalam struktur sosial masyarakat kita, jadi dengan apa cara sekalipun kita perlu membina benteng yang kukuh agar rasuah tidak menembusi lingkaran kehidupan mereka. Kita sedar anak muda ada kalanya lupa dan leka, ambil mudah dan tidak memandang serius perkara sebegini. Malah kita percaya mungkin ramai anak muda tidak sedarpun yang mereka terlibat dengan salah laku rasuah. Bagi mereka menerima sebarang imbuhan ketika melaksanakan sesuatu tugasan misalnya adalah perkara biasa dan tidak salah kerana dilihat sebagai balasan atau upah untuk kerja yang mereka telah lakukan.

Jadi penulis berpandangan kita perlu fokus kepada usaha di peringkat akar umbi. Inisiatif untuk menjelaskan keburukan gejala rasuah terutamanya apa yang diklasifikasikan sebagai perbuatan menerima rasuah, memberi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan kreatif. Anak muda zaman ini perlu dididik dan diajar tentang perkara ini dari peringkat kanak-kanak hingga ke alam dewasa. Ibu bapa misalnya perlu terapkan sikap benci pada rasuah dalam sanubari anak masing-masing sejak kecil lagi. Biar mereka faham dan jelas rasuah itu salah dan tidak beretika. Jika usaha di peringkat rumah dapat dipergiatkan kita yakin usaha berikut di peringkat sekolah dan luar rumah oleh pelbagai pihak lain akan menjadi lebih mudah dan seterusnya membantu memperkukuhkan benteng integriti anak muda kita.

Hakikatnya usaha untuk mendidik masyarakat tentang keburukan najis rasuah ini di pelbagai peringkat umur dengan latar belakang lokasi, kedudukan, agama dan bangsa yang berbeza-beza perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan. Ianya tidak boleh bermusim, bertempat atau terlalu berfokus kepada sesuatu kelompok kerana penangkapan demi penangkapan oleh pihak berkuasa sehingga kini membuktikan rasuah tidak kenal umur, kedudukan, agama dan bangsa.

Jadi secara umumnya rasuah bukan soal politik, bukan juga soal agama dan bangsa mahupun peringkat umur tertentu sebaliknya rasuah akan memerangkap sesiapa saja menjadi mangsa apabila kedudukan individu tersebut terlalu rapuh dan lemah pegangan nilai integritinya sehingga mudah tergoda dengan pelbagai sogokan. Keadaan menjadi lebih parah apabila golongan muda yang baru mahu memulakan kehidupan mereka turut terpalit dengan rasuah. Hal ini tidak mustahil kerana golongan belia ini berada dalam situasi mahu mencuba sesuatu yang baru serta keadaan ekonomi yang tidak menentu pula memberikan pelbagai tekanan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Ini menyebabkan mereka terlalu terdesak dan sanggup buat apa saja untuk menambah pendapatan serta hidup mewah walaupun daripada sumber rezeki yang tidak halal ataupun tidak pasti.

Oleh itu usaha untuk membanteras rasuah terutamanya dalam kalangan belia negara ini perlu dilaksanakan di semua peringkat oleh semua pihak yang bertanggungjawab. Kitaran tanggungjawab ini tidak boleh terputus misalnya dimulakan oleh ibu bapa di rumah, diteruskan oleh guru di sekolah dan pensyarah di universiti seterusnya diperkasakan oleh majikan dan rakan setugas di pejabat di samping agensi kerajaan yang berkaitan. Jika kitaran tanggungjawab ini dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh semua pihak kita yakin impian untuk menjadikan negara dan rakyat kita bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dapat direalisasikan sepenuhnya. Bersamalah kita lindungi diri, keluarga dan masyarakat dari gejala rasuah.

Tarikh Input: 22/06/2023 | Kemaskini: 23/06/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEdFAU~