5 Perkara Untuk Menjamin Kewangan Masa Hadapan Anak | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » 5 Perkara Untuk Menjamin Kewangan Masa Hadapan Anak

5 Perkara Untuk Menjamin Kewangan Masa Hadapan Anak

Carian artikel oleh: Pn. Marziati Md Din (Pegawai Kewangan)

Article oleh: Umi Fatehah

Sumber: RELEVAN.com.my

 

KELAHIRAN anak merupakan salah satu peristiwa ajaib yang penuh rahmat dan rezeki buat ibu bapa. 

Namun, tiada buku manual atau panduan teliti yang boleh menyediakan ibu bapa untuk menghadapi segala cabaran dalam membesarkan anak.

Perkara ini termasuklah isu kewangan untuk masa hadapan anak. Tidak ramai yang sedar bahawa ibu bapa perlu merancang kewangan demi masa hadapan sejak mereka lahir.

Justeru, Relevan kongsikan lima perkara untuk ibu bapa merancang keterjaminan kewangan anak pada masa hadapan.

 

1. Buka akaun bank atas nama anak

Salah satu topik pertama ibu bapa tentang anak mereka ialah nama. Selepas sahaja surat beranak anak sudah dikeluarkan, apa kata ibu atau bapa terus membuka akaun simpanan atas nama anak. 

Pakar kewangan di Malaysia mengesyorkan ibu bapa untuk membuka akaun simpanan atas nama anak di pelbagai platform seperti Tabung Haji atau Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Ibu bapa boleh melakukan tabiat baharu iaitu memasukkan sekurang-kurangnya RM10 ke dalam simpanan anak setiap bulan. 

Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Kelak apabila tiba masanya untuk mereka melanjutkan pelajaran ke universiti, anda tidak lagi terkejut atau cemas untuk mencari wang biaya yuran pengajian, keperluan dan sebagainya.

 

2. Rancang matlamat jangka pendek 

Antara matlamat jangka pendek yang perlu dirancang ialah tabung pendidikan. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk merancang matlamat jangka pendek seperti perbelanjaan yang akan anda tanggung dalam tempoh satu hingga dua tahun apabila anak anda dilahirkan.

Contohnya pakaian, ubat-ubatan, makanan bayi dan yuran sekolah kerana kos pendidikan semakin meningkat saban tahun. Perancangan dan pelaburan yang berkesan untuk matlamat jangka pendek boleh menjadikan perjalanan ini lebih lancar untuk ibu bapa.

 

3. Rancang pelaburan untuk pendidikan

Tidak terlalu awal untuk mula merancang untuk pendidikan tinggi anak anda. Bermula awal akan memberi masa yang mencukupi untuk mengembangkan kekayaan anda dan membantu anda mencapai matlamat kewangan anda dengan melabur sejumlah kecil wang secara konsisten. 

Pendidikan tinggi adalah salah satu urusan dalam kehidupan yang mahal harganya dan tidak boleh terikat dengan kompromi kewangan. Anda boleh mempertimbangkan faktor seperti kos pendidikan semasa, kadar inflasi, umur kanak-kanak, umur kemasukan dan jangkaan perbelanjaan.

 

4. Dapatkan insurans kesihatan

Salah satu pelan pelaburan yang kukuh merangkumi semua langkah keselamatan kewangan ialah insurans kesihatan. Tidak ada siapa yang boleh meramalkan peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan. Melindungi anak anda di bawah pelan insurans kesihatan yang baik akan meringankan beban kewangan dalam kehidupan mereka.

 

5. Ibu bapa perlu ada simpanan kecemasan yang kukuh

Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Dana ini akan berfungsi sebagai jaring keselamatan sekiranya ibu bapa atau anak memerlukan wang apabila berlaku situasi yang tidak diduga atau kecemasan.

Setiap bulan selepas sudah dapat gaji, asingkan sedikit wang dan masukkan ke dalam tabung kecemasan. Simpan mengikut kemampuan dan kesesuaian isi keluarga.

Tarikh Input: 27/09/2023 | Kemaskini: 27/09/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEdMAM~