5 INTI UTAMA PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » 5 INTI UTAMA PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI

5 INTI UTAMA PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI

Carian artikel oleh: Pn. Siti Noratyirah Kamit

Sumber: https://relevan.com.my/2023/07/17/5-inti-utama-pengurusan-kewangan-peribadi/#google_vignette

 

 

MENURUT dokumen Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang dihasilkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), 84 peratus rakyat Malaysia mengakui mereka menyimpan tetapi terpaksa mengeluarkan semua simpanan pada hujung bulan untuk menampung keperluan harian.

Malah, kira-kira 20 peratus orang dewasa yang bekerja di Malaysia tidak membuat simpanan dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

Ini hanya sebahagian daripada bukti krisis kecelikan kewangan di negara ini. Orang yang tidak celik kewangan akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan peribadi, seterusnya menjerumuskan mereka dalam pelbagai masalah kewangan seawal usia muda.

Sehubungan itu, usaha untuk mencelikkan rakyat Malaysia tentang pengurusan kewangan peribadi perlu diteruskan dan disambut pihak-pihak berkepentingan.

Apa itu pengurusan kewangan peribadi?

Menurut Investopedia, kewangan peribadi merupakan istilah yang merangkumi pengurusan wang, simpanan dan pelaburan.

Pengurusan kewangan peribadi merangkumi bermacam hal, termasuk pembinaan belanjawan, perbankan, insurans, gadai janji, pelaburan serta perancangan persaraan, cukai dan hartanah.

Setiap daripada kita mempunyai matlamat kewangan tersendiri. Paling asas, mahu punya cukup wang untuk keperluan asas setiap hari. Jika hal asas sebegini sudah boleh dipenuhi, kita akan bina matlamat lain, seperti mahu melancong setiap tahun, membeli rumah atau mencapai kebebasan kewangan.

Bagaimana anda menguruskan kewangan peribadi akan menentukan gagal-jaya matlamat-matlamat itu. Sebab itu penting untuk kita faham kewangan peribadi dan cara terbaik untuk menguruskannya.

 

Terdapat lima inti utama kewangan peribadi yang perlu difahami supaya kita boleh menguruskan kewangan peribadi dengan baik, iaitu:

1) Pendapatan

Pendapatan merupakan permulaan pengurusan kewangan peribadi. Ia merupakan sumber wang yang mahu diurus, termasuk daripada gaji, pulangan pelaburan atau perkara lain. Aliran masuk ini perlu diurus dan disusun sebagai perbelanjaan, simpanan, pelaburan atau perlindungan.

 

2) Perbelanjaan

Jika pendapatan aliran masuk, perbelanjaan pula aliran keluar. Komponen perbelanjaan biasanya banyak, termasuk bayaran sewa, gadai janji, barang runcit, belanja makan, perabot rumah, pembaikian rumah, kos melancong dan hiburan. Menguruskan perbelanjaan adalah aspek penting dalam kewangan peribadi. Seseorang individu perlu memastikan perbelanjaan mereka kurang berbanding pendapatan jika tidak mahu terperangkap dalam hutang yang tidak perlu. Secara kewangan, hutang sangat berbahaya, lebih-lebih lagi hutang dengan kadar faedah tinggi seperti hutang kad kredit.

 

3) Simpanan

Selepas pendapatan dan perbelanjaan, ada simpanan. Setiap orang patut meletakkan sasaran untuk mempunyai simpanan yang cukup bagi perbelanjaan-perbelanjaan besar atau kecemasan. Walaupun sukar, lebih-lebih lagi jika anda ada pendapatan yang cukup-cukup makan sahaja untuk keperluan, ia tetap perlu diusahakan bagi mengelakkan kesukaran pada masa hadapan. Ada beberapa perkara yang perlu difikirkan tentang simpanan. Pertama, kita perlu sedar, jika kita menyimpan wang dalam akaun simpanan, nilai wang tersebut akan berkurang disebabkan inflasi. Sebab itu, ada yang memilih untuk menyimpan dalam akaun pelaburan supaya nilainya bertambah dari masa ke masa. Namun, tak boleh juga semua simpanan kita jadikan pelaburan kerana kita perlu fikirkan tentang kecairan. Untuk simpanan kecemasan, ia perlu mudah dikeluarkan apabila perlu. 

 

4) Pelaburan

Pelaburan melibatkan aktiviti membeli aset kewangan, seperti saham dan bon untuk mendapatkan pulangan terhadap wang yang dibelanjakan. Kita melabur untuk meningkatkan kekayaan diri melebihi nilai yang dilaburkan. Namun, pelaburan datang dengan risiko kerana tak semua aset kewangan yang kita miliki akan meningkat nilainya. Sebab itu, penting untuk ada ilmu pelaburan sebelum melibatkan diri dalam aktiviti ini. Tetapi kalau tak ada masa atau sukar untuk belajar, boleh sahaja kita upah profesional untuk mengendalikan pelaburan kita.

 

5) Perlindungan

Dalam konteks ini, perlindungan bermakna langkah yang diambil seseorang untuk melindungi diri mereka daripada kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan atau ditimpa penyakit, dengan tujuan untuk mengekalkan keadaan kewangan mereka. Ini termasuk insurans nyawa dan kesihatan, atau perancangan persaraan dan hartanah. Melalui insurans atau perancangan persaraan, anda boleh mengelakkan kehilangan wang yang banyak apabila ditimpa kecelakaan atau memasuki usia persaraan.

Tarikh Input: 31/01/2024 | Kemaskini: 05/02/2024 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEdOAL~