Berita Oleh : Nurfarah Hanani Abdul Hamed, Seksyen Prestasi dan ICT, Bahagian Audit Dalam UPM
UPM Serdang, 26 Ogos – Bahagian Audit Dalam Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranan sebagai pusat rujukan dalam bidang pengauditan dengan menganjurkan satu bengkel khas berkaitan kaedah pengauditan dalam persekitaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Program ini telah berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2025 dan melibatkan penyertaan seramai lapan orang pegawai daripada Unit Audit Dalam, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sesi pembelajaran dan perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Encik Mohd Azis Abdullah, Ketua Seksyen ICT dan Prestasi, Bahagian Audit Dalam UPM, dengan dibantu oleh Puan Nurfarah Hanani Abdul Hamed. Kedua-dua penceramah berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka melalui pendekatan interaktif yang menekankan aspek praktikal bagi memastikan peserta memahami dengan lebih mendalam kaedah serta teknik pengauditan ICT yang relevan dengan cabaran semasa.
Antara topik yang diberi tumpuan ialah pengurusan tadbir urus ICT, kawalan keselamatan siber, pematuhan dasar serta penggunaan sistem aplikasi di universiti. Peserta turut diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam bentuk perbincangan kes dan simulasi pengauditan yang menyerupai situasi sebenar di lapangan.
Selain itu, peserta turut dibawa melawat ke Ladang Farm Fresh UPM sebagai sebahagian daripada pengisian program yang bertujuan mengukuhkan hubungan serta memberi pengalaman tambahan sepanjang sesi berlangsung. Lawatan ini menambah nilai kepada penganjuran bengkel kerana memberi ruang kepada peserta untuk lebih mengenali persekitaran UPM.

Bengkel selama dua hari ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara UPM dan UUM dalam bidang pengauditan, malah membuktikan komitmen kedua-dua institusi untuk meningkatkan kompetensi serta nilai tambah dalam pengurusan audit berasaskan ICT selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Tarikh Input: 28/08/2025 | Kemaskini: 28/08/2025 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.