Berita Disediakan Oleh : Jawatankuasa Laman Sesawang Bahagian Audit Dalam
SERDANG, 17 Ogos 2025-Bahagian Audit Dalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan daripada Unit Audit Dalam (UAD), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bagi sesi libat urus dan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan audit dalaman.

Sesi ini diadakan sebagai platform pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua organisasi dalam usaha memperkukuh kualiti pengauditan, tadbir urus, kawalan dalaman serta pengurusan risiko. UAD IKIM yang mula beroperasi secara rasmi pada Oktober 2020 kini dianggotai oleh seorang Juruaudit selaku Ketua UAD dan seorang Penolong Juruaudit.
Antara fokus utama sesi libat urus ialah perkongsian mengenai pendekatan Bahagian Audit Dalam UPM dalam merangka Rancangan Audit Tahunan berasaskan risiko, mekanisme pemantauan isu audit melalui penggunaan Audit Dashboard serta pelaksanaan Program Jaminan Kualiti dan Penambahbaikan berdasarkan Global Internal Audit Standards (GIAS).

Perkongsian berkaitan Audit Dashboard turut memberi pendedahan kepada delegasi IKIM mengenai penggunaan teknologi dan analitik data dalam memantau status tindakan auditi secara lebih sistematik, sekali gus membantu penyediaan maklumat pengurusan dan proses pemantauan isu audit.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai cabaran semasa profesion audit dalaman dan keperluan meningkatkan kompetensi pegawai seiring dengan perkembangan teknologi, pendigitalan serta perubahan piawaian profesional.
Sesi libat urus ini mencerminkan komitmen UAD IKIM dan Bahagian Audit Dalam UPM untuk terus berkongsi amalan terbaik serta membina jaringan kerjasama profesional. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada fungsi audit dalaman dan seterusnya menyokong pengukuhan tadbir urus yang baik dalam kedua-dua institusi.
Tarikh Input: 21/08/2026 | Kemaskini: 21/08/2026 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.