Berita oleh : Mohd Azis Abdullah , Bahagian Audit Dalam UPM
9 Disember 2025, Serdang UPM – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC) telah menganjurkan Sambutan Bulan Digital UPM 2025 (BD2025) sepanjang bulan November 2025 sebagai usaha strategik memperkukuh pembudayaan digital dalam kalangan warga universiti.

Penganjuran BD2025 merupakan kesinambungan kepada Strategi Utama UPM 2025 yang keempat iaitu Program Khusus – Inisiatif Pembudayaan Digital, seperti yang digariskan dalam Naratif YBhg Dato’ Naib Canselor UPM 2025 serta selari dengan Lonjakan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi penekanan kepada Kelestarian dan Digitalisasi.
Sepanjang BD2025, IDEC telah menyelaras pelbagai program, aktiviti dan sesi perkongsian ilmu yang bertujuan meningkatkan kesedaran, kemahiran serta inovasi digital merentas fakulti, pusat tanggungjawab dan bahagian pentadbiran UPM.

Antara pengisian yang memberi impak tinggi ialah penglibatan warga Bahagian Audit Dalam UPM melalui Sesi Inspire Digital Icon (Gaya Ted Talk). Sesi ini menampilkan perkongsian kepakaran dalaman UPM dalam mendukung agenda pendigitalan dan automasi organisasi.

Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh En. Mohd Azis Abdullah dan En. Mohd Faiz Suparman, dengan fokus bertajuk “Tadbir Urus Melalui Data dan Automasi”. Perkongsian ini menekankan peranan data sebagai asas kepada tadbir urus yang telus dan berkesan, di samping penggunaan automasi bagi meningkatkan kecekapan proses kerja serta keberkesanan kawalan dalaman.

Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada penerapan teknologi digital melalui ekosistem Microsoft dan Google yang menyokong pengurusan data, analitik serta automasi aliran kerja dalam persekitaran kerja moden.
Sambutan Bulan Digital UPM 2025 membuktikan komitmen berterusan UPM, khususnya melalui IDEC dalam memacu transformasi digital secara menyeluruh. Pendekatan ini bukan sahaja menumpukan kepada penggunaan teknologi malah turut merangkumi aspek pembangunan modal insan, perubahan budaya kerja dan pemantapan tadbir urus organisasi.
Melalui penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk Bahagian Audit Dalam, BD2025 diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem digital yang mampan, berintegriti dan berdaya saing selari dengan aspirasi UPM sebagai universiti terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tarikh Input: 12/12/2025 | Kemaskini: 12/12/2025 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.