Berita Oleh : Nurrul Syakira Bakhtiar, Akauntan Bahagian Audit Dalam
Serdang, 15 Mei 2026 – Bahagian Audit Dalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Terapi Seni pada 15 Mei 2026 (Jumaat). Program bermula pada jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi bertempat di Bahagian Audit Dalam UPM. Program ini telah disertai oleh semua staf Bahagian Audit Dalam sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi warga kerja.

Aktiviti terapi seni ini menggunakan kaedah Diamond Painting yang memberi peluang kepada peserta meluahkan kreativiti serta menenangkan minda melalui seni yang santai, menarik dan bermakna. Sepanjang program berlangsung, para peserta dilihat memberikan komitmen yang baik dan menikmati sesi aktiviti dalam suasana ceria serta harmoni.
Penganjuran program ini bertujuan membantu mengurangkan tekanan dan keresahan, melepaskan tekanan emosi, meningkatkan fokus dan kreativiti serta menyokong kesihatan mental secara menyeluruh. Selain itu, program ini turut menggalakkan interaksi positif dan semangat kerjasama dalam kalangan staf Bahagian Audit Dalam.

Melalui aktiviti seperti ini, diharapkan warga Bahagian Audit Dalam dapat mengekalkan keseimbangan emosi dan kesejahteraan diri di samping mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif, produktif dan kondusif.
Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.