Disediakan oleh : Mohd Syairol Azwan Shabudin | Akauntan
Serdang, 12 Jun 2026 – Bahagian Audit Dalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Brisk Walk + Plogging AD 1.0 pada 12 Jun 2026 dengan penyertaan seramai sembilan (9) orang staf. Aktiviti bermula pada jam 4.17 petang dan berakhir sekitar jam 5.20 petang.
Program ini merupakan gabungan aktiviti riadah berjalan pantas atau brisk walk dan plogging, iaitu amalan mengutip sampah sambil bersenam yang semakin mendapat perhatian sebagai salah satu bentuk tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Laluan yang dipilih ialah Laluan 4 yang merentasi kawasan Kompleks Akademik dan Dusun Contoh UPM dengan jarak perjalanan sejauh 2.4 kilometer. Peserta memulakan perjalanan dari Bahagian Audit Dalam sebelum melalui beberapa kawasan utama kampus termasuk Lorong Asam Jawa, Fakulti Perhutanan, i-Putra dan Fakulti Pengajian Pendidikan, sebelum kembali ke titik permulaan.

Antara pengisian menarik program ialah laluan melalui kawasan Dusun Contoh, Taman Pertanian Universiti dan Dusun Humphrey UPM. Sepanjang laluan tersebut, peserta telah diberi taklimat ringkas oleh Penolong Pegawai Pertanian UPM, En. Ahmad Rodhi bin Kamaludin berkaitan kawasan dan tanaman di persekitaran dusun. Peserta turut berpeluang merasai hasil tanaman tempatan sebagai pengalaman berinteraksi secara langsung dengan persekitaran pertanian kampus.
Program ini memberikan pelbagai manfaat kepada peserta, antaranya meningkatkan kesihatan kardiovaskular melalui aktiviti berjalan pantas, menyokong penjagaan kesihatan fizikal dan mental, serta memupuk nilai tanggungjawab bersama terhadap kebersihan persekitaran kampus.
Penganjuran Program Brisk Walk + Plogging AD 1.0 ini mencerminkan komitmen Bahagian Audit Dalam UPM dalam membudayakan gaya hidup sihat, mesra alam dan semangat kerjasama dalam kalangan warganya, selaras dengan moto “Kecilkan Jejak, Besarkan Impak.”
Program ini akan dijadikan sebagai aktiviti berkala Bahagian Audit Dalam sebagai usaha berterusan menyokong agenda kampus lestari dan kesejahteraan warga kerja UPM.
Tarikh Input: 16/06/2026 | Kemaskini: 16/06/2026 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.