PERTANDINGAN POSTER FRAUDULENT FINANCIAL REPORTING 2026 SEMAI KESEDARAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PELAJAR | BAHAGIAN AUDIT DALAM audit
» BERITA » PERTANDINGAN POSTER FRAUDULENT FINANCIAL REPORTING 2026 SEMAI KESEDARAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PELAJAR

PERTANDINGAN POSTER FRAUDULENT FINANCIAL REPORTING 2026 SEMAI KESEDARAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PELAJAR

Disediakan oleh: En. Mohd Syairol Azwan bin Shabudin | (Akauntan, Bahagian Audit Dalam)

 

 

UPM SERDANG, 8 Januari 2026 – Satu pertandingan akademik bertemakan Fraudulent Financial Reporting telah berjaya dianjurkan pada 8 Januari 2026 bertempat di Anjung Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kursus ACN3312 Audit II dan dianjurkan oleh pasukan pensyarah kursus berkenaan.

Pertandingan poster ini telah disertai oleh seramai 118 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang dibahagikan kepada 28 kumpulan, dengan setiap kumpulan membentangkan analisis kes penipuan pelaporan kewangan yang merangkumi satu kes tempatan dan satu kes antarabangsa. Setiap poster bersaiz A1 dinilai berdasarkan kandungan, analisis, kreativiti serta keupayaan pembentangan oleh para peserta.

Seramai 14 orang juri yang terdiri daripada tujuh (7) orang pensyarah SBE dan tujuh (7) orang pengamal industri telah dilantik bagi menilai pembentangan poster yang berlangsung dalam dua sesi bermula jam 9.15 pagi hingga 12.00 tengah hari. Penglibatan juri industri secara langsung telah memberi nilai tambah kepada pertandingan ini, khususnya dari segi pendedahan amalan sebenar audit dan pengesanan penipuan dalam dunia profesional.

Bahagian Audit Dalam Universiti Putra Malaysia turut dijemput sebagai juri pertandingan dan mewakili wakil industri, sekali gus menyumbang kepakaran profesional dalam proses penilaian. Wakil Bahagian Audit Dalam yang terlibat sebagai juri ialah Puan Nur Miera Kamarudin, Puan Marziati Md Din dan En. Mohd Syairol Azwan Shabudin. Penglibatan ini memberi nilai tambah kepada pertandingan melalui perkongsian perspektif praktikal berkaitan amalan audit, pengesanan penipuan serta penilaian profesional dalam pelaporan kewangan.

Atur cara program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan juri, diikuti sesi taklimat kepada juri sebelum pembentangan poster dijalankan. Program turut diserikan dengan sesi fotografi serta penyampaian cenderahati penghargaan kepada para juri sebagai tanda terima kasih atas komitmen dan sumbangan kepakaran mereka.

Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja bertujuan menilai kefahaman pelajar terhadap isu penipuan pelaporan kewangan, malah berperanan sebagai platform pendidikan untuk memupuk nilai integriti, akauntabiliti dan kesedaran profesional dalam kalangan bakal akauntan dan juruaudit masa hadapan.

Tarikh Input: 09/01/2026 | Kemaskini: 09/01/2026 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
X, (02:12:48pm-02:17:48pm, 27 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]