Berita Disediakan Oleh : Pn. Nurfarah Hanani, Bahagian Audit Dalam UPM

UiTM Shah Alam, 22 November – Bahagian Audit Dalam UPM terus komited memperkukuh proses kerja pengauditan dengan mengadakan perkongsian strategik bersama Bahagian Audit Dalam UiTM bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam. Delegasi UPM yang diketuai oleh Encik Sharul Azman, Ketua Audit Dalam UPM bersama 13 pegawai disambut mesra oleh Puan Mia Imawati, Pengarah Bahagian Audit Dalam UiTM.

Sesi ini dimulakan dengan perkongsian berkaitan laporan audit UiTM oleh Puan Mia Imawati. Penceramah berkongsi struktur pelaporan audit dan elemen penting yang perlu diambilkira dalam penulisan laporan audit. Penceramah turut berkongsi sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh pihak Jabatan Digital UiTM yang digunakan sebagai medium pelaporan pemerhatian draf audit dan penerimaan maklum balas auditi.
Program diteruskan dengan perkongsian berkaitan program jaminan kualiti atau Quality Assessment Review (QAR) oleh Encik Mohd Azis, Ketua Seksyen Audit Prestasi UPM. Penceramah telah berkongsi kaedah pelaksanaan QAR dan tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan di Audit Dalam UPM hasil daripada penilaian secara dalaman dan luaran yang diadakan secara berkala.
Selepas tamat sesi perkongsian, program diteruskan dengan lawatan ke Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) yang telah diaturkan oleh pihak UiTM. Pengisian program ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan hubungan serta mengalami galeri seni sebagai makmal kreativiti melalui teknologi Augmented Reality.
Perkongsian strategik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kerjasama antara UPM dan UiTM dalam bidang pengauditan, malah membuktikan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan kompetensi serta nilai tambah dalam proses audit dalaman.
Tarikh Input: 27/11/2025 | Kemaskini: 27/11/2025 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.