Perkasa Profesionalisme Pengauditan Melalui Kursus Global Internal Audit Standards | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» BERITA » Perkasa Profesionalisme Pengauditan Melalui Kursus Global Internal Audit Standards

Perkasa Profesionalisme Pengauditan Melalui Kursus Global Internal Audit Standards

Berita Oleh : Wan Muhammad Isam Wan Ismail | Bahagian Audit Dalam UPM

 

Bangi, 6 Mei 2025 – Unit Audit Dalam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Kursus Global Internal Audit Standards yang menghimpunkan pegawai-pegawai audit dalam dari UKM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kursus ini bertujuan mempertingkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap piawaian global dalam bidang pengauditan dalaman, selaras dengan kerangka baharu yang diperkenalkan oleh The Institute of Internal Auditors (IIA).

Sesi pembelajaran telah dikendalikan oleh Puan Nur Hayati Baharuddin yang merupakan Quality Assurance Assessor yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kualiti dan pengauditan dalaman. Beliau telah membimbing para peserta meneroka struktur piawaian terkini iaitu Global Internal Audit Standards, yang merangkumi 5 domain, 15 prinsip dan 52 standard yang menjadi asas kepada amalan pengauditan profesional di peringkat global.

Kursus ini turut menjadi platform strategik untuk perkongsian ilmu, amalan terbaik dan perbincangan kritikal berkenaan pelaksanaan piawaian ini dalam konteks institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Para peserta memanfaatkan sesi ini untuk memahami pendekatan terbaik dalam menyesuaikan piawaian global ke dalam struktur dan keperluan pengauditan dalaman di universiti masing-masing.

Untuk rekod, pada tahun 2023, Unit Audit Dalam UPM, UKM dan UiTM telah menerima penarafan keseluruhan “Generally Conforms” terhadap International Standards for the Professional Practice of Internal Auditing (IPPF) oleh The Institute of Internal Auditors (IIA).

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan Unit Audit Dalam universiti awam dalam memperkukuh profesionalisme, ketelusan dan keberkesanan fungsi pengauditan dalaman, sejajar dengan prinsip tadbir urus yang baik serta usaha memberikan nilai tambah kepada organisasi.

Tarikh Input: 25/05/2025 | Kemaskini: 27/05/2025 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
F, (05:08:20am-05:13:20am, 23 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]