Berita Disediakan Oleh : Mohd Faiz Suparman
Serdang - 3 Januari 2025, Food 6 L'Apperanti UPM –
Bahagian Audit Dalam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan majlis persaraan Ketua Audit Dalam UPM untuk meraikan persaraan yang penuh bermakna bagi Puan Zainora Abdul Talib, Ketua Audit Dalam UPM yang akan menamatkan kerjaya beliau pada 6 Januari 2025 selepas bertahun-tahun memberi sumbangan dan khidmat kepada Bahagian Audit Dalam dan universiti. Majlis ini berlangsung di Food 6 L'Apperanti UPM.

Majlis yang penuh emosi ini dihadiri oleh warga Audit Dalam UPM serta mantan pekerja Audit Dalam yang telah bekerja bersama Puan Zainora sepanjang perkhidmatan beliau. Suasana majlis yang penuh kenangan itu diserikan dengan kata-kata penghargaan dan ucapan terima kasih dari rakan sekerja, mantan rakan sekerja, dan sahabat rapat yang mengiktiraf jasa dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat.
Tema majlis ini adalah "Pergimu disanjung, jasamu dikenang," adalah kata-kata yang menggambarkan betapa besar sumbangan Puan Zainora kepada UPM. Beliau bukan hanya seorang ketua yang hebat, tetapi juga seorang mentor yang telah membimbing ramai pegawai audit dengan penuh kesungguhan dan integriti. Kepimpinan beliau telah memberikan banyak perubahan positif dalam pengurusan audit di UPM.

Di samping itu, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran suami Puan Zainora, En. Mohd Rashid Rabu, yang turut hadir memberi sokongan kepada Puan Zainora di hari yang penuh bersejarah ini. Dalam ucapan beliau, Puan Zainora menyampaikan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua rakan sekerja dan warga UPM atas sokongan yang tidak ternilai sepanjang kerjaya beliau. Beliau juga mengingatkan semua untuk terus menjaga nilai-nilai integriti, ketelusan, dan kualiti dalam setiap tugas yang dilaksanakan. Majlis ini bukan sahaja sebagai penghormatan kepada pencapaian Puan Zainora, tetapi juga sebagai simbol ukhwah yang terjalin erat di antara warga audit dalam, yang akan terus mengenang jasa dan bimbingan beliau.
Akhir kalam daripada kami Selamat Bersara, Puan Zainora Abdul Talib!
Semoga fasa persaraan Puan dipenuhi dengan kebahagiaan, kesihatan, dan ketenangan bersama keluarga tercinta. Jasamu akan terus dikenang oleh kami semua di UPM.
Warga Audit Dalam UPM mendoakan agar Puan Zainora terus berjaya dalam kehidupan selepas bersara dan menikmati masa yang lebih banyak bersama keluarga dan orang tersayang.
Tarikh Input: 05/01/2025 | Kemaskini: 11/02/2025 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.