PELANTIKAN KETUA AUDIT DALAM BAHARU | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» BERITA » PELANTIKAN KETUA AUDIT DALAM BAHARU

PELANTIKAN KETUA AUDIT DALAM BAHARU

Berita Disediakan Oleh : Mohd Faiz Suparman

 

6 Januari 2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) – En. Sharul Azman Ramli telah dilantik sebagai Ketua Audit Dalam yang baharu di Bahagian Audit Dalam, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkuat kuasa 6 Januari 2025. Pelantikan oleh YBhg. Dato' Prof Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM, selaras dengan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024. Pelantikan En. Sharul Azman Ramli menggantikan Puan Zainora Abdul Talib, yang telah bersara selepas memberikan sumbangan yang besar kepada Bahagian Audit Dalam UPM. Puan Zainora dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan telah memainkan peranan penting dalam memastikan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan serta operasi universiti.

Melalui utusan pelantikan, YBhg. Dato' Prof Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah mengucapkan terima kasih kepada Puan Zainora atas segala jasa dan bimbingan yang telah diberikan sepanjang kerjaya beliau. Beliau turut menyambut baik pelantikan En. Sharul Azman Ramli sebagai Ketua Audit Dalam yang baharu dan berharap beliau dapat meneruskan legasi kepimpinan yang mantap dan memperkukuhkan lagi pengurusan audit dalam serta pengurusan tatakelola di UPM. En. Sharul Azman Ramli sebelum ini mengetuai Seksyen Audit Governan dan Pematuhan, Bahagian Audit Dalam, dan memiliki pengalaman luas dalam audit, pengurusan kewangan, serta tatakelola. Keupayaan beliau dalam meningkatkan keberkesanan audit dan memperkenalkan amalan terbaik di UPM dapat menambahbaik pengurusan operasi di Pusat Tanggungjawab. Kepakaran beliau dalam pengurusan risiko dan pemantauan pematuhan menjadi nilai tambah yang diharapkan dapat membantu UPM mencapai tahap yang lebih tinggi dan tatakelola yang lebih cemerlang.

Dalam pra perbincangan selepas pelantikan beliau, En. Sharul Azman menyatakan komitmennya untuk memperkukuhkan sistem pengurusan audit di UPM, dengan memberi tumpuan kepada transparensi, akauntabiliti, dan pemantauan yang lebih telus dalam setiap aspek operasi universiti dan tadbir urus yang terbaik dalam Bahagian Audit Dalam.

 

Puan Zainora Abdul Talib turut mengucapkan tahniah kepada En. Sharul Azman dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan beliau semasa sesi serah tugas diadakan.

Warga Bahagian Audit Dalam UPM mendoakan agar En. Sharul Azman terus berjaya dalam menjalankan tanggungjawab baharu ini dan memimpin Bahagian Audit Dalam UPM ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.

Tarikh Input: 05/01/2025 | Kemaskini: 11/02/2025 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
W, (08:56:06am-09:01:06am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]