MKAD PERKASA KOMPETENSI JURUAUDIT DALAM UNIVERSITI AWAM MELALUI BENGKEL GIAS | BAHAGIAN AUDIT DALAM audit
» BERITA » MKAD PERKASA KOMPETENSI JURUAUDIT DALAM UNIVERSITI AWAM MELALUI BENGKEL GIAS

MKAD PERKASA KOMPETENSI JURUAUDIT DALAM UNIVERSITI AWAM MELALUI BENGKEL GIAS

Berita Oleh : Jawatankuasa Laman Web Audit Dalam UPM

 

Bangi, 14 Oktober 2025 – Majlis Ketua Audit Dalam Universiti Awam (MKAD) telah menganjurkan Bengkel The Global Internal Audit Standards (GIAS) bertemakan “Mastering The Global Internal Audit Standards” pada 13 hingga 14 Oktober 2025 bertempat di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.

 

Bengkel ini menghimpunkan pegawai-pegawai audit dalam daripada pelbagai universiti awam serta wakil daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Penganjuran ini bertujuan memperkukuh pemahaman terhadap piawaian baharu audit dalam global serta mendalami strategi pelaksanaannya dalam konteks sektor awam dan institusi pendidikan tinggi.

 

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Encik Mohd Akram Abdul Razak, Ketua Audit Dalam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang juga Pengerusi MKAD. Dalam ucapan beliau, Encik Mohd Akram menekankan bahawa pelaksanaan GIAS merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh keberkesanan fungsi audit dalamdi universiti awam.

 

Menurut beliau juga, pendedahan kepada piawaian global ini akan membantu juruaudit dalam mempertingkat keupayaan profesional dan menyelaraskan pendekatan audit dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

 

Bengkel ini menampilkan Puan Nur Hayati Baharuddin sebagai pembentang utama. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Audit di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta Ahli Global Guidance Council di The Institute of Internal Auditors (IIA) Global.

 

Puan Nur Hayati juga berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Academy of Risk Management Malaysia, dengan pengalaman melebihi 20 tahun dalam bidang pengurusan risiko, audit dalam dan tadbir urus. Beliau adalah seorang Penilai Kualiti Luar Bertauliah yang telah menjalankan lebih daripada 80 penilaian kualiti ke atas syarikat awam tersenarai (PLC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Sepanjang bengkel dua hari ini, beliau berkongsi pandangan mendalam mengenai The Global Internal Audit Standards (GIAS) yang diperkenalkan oleh The Institute of Internal Auditors (IIA) yang memberi penekanan kepada tiga objektif utama iaitu mempelajari secara terperinci  mendalam struktur dan keperluan The Global Internal Audit Standards, mengenal pasti kerangka kerja GIAS bagi tujuan penyesuaian dalam proses pengauditan di universiti awam dan mendalami kaedah terbaik untuk pelaksanaan program penilaian kualiti audit dalam berasaskan piawaian global.

 

Pengarah Program, Encik Sharul Azman Ramli menerangkan penganjuran bengkel ini adalah selari dengan usaha MKAD untuk meningkatkan keupayaan profesional pegawai audit dalam menghadapi perubahan piawaian antarabangsa dan memperkukuh budaya tadbir urus berasaskan nilai dan akauntabiliti.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta atas penglibatan aktif serta komitmen dalam memperkukuh profesionalisme fungsi audit dalam di universiti awam.

Tarikh Input: 16/10/2025 | Kemaskini: 16/10/2025 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
X, (12:23:23am-12:28:23am, 09 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]