SERDANG 8 April 2026 - Bahagian Audit Dalam UPM telah menerima kunjungan delegasi Eksplorasi Profesional daripada Unit Audit Dalam UniSZA yang diketuai oleh Encik Abdul Hadi Nayan bersama sembilan orang pegawai. Ketibaan mereka disambut mesra oleh Ketua Audit Dalam UPM, Encik Sharul Azman Ramli.
Kunjungan ini merupakan inisiatif Unit Audit Dalam UniSZA untuk mempelajari secara mendalam mengenai pelaksanaan Penilaian Kualiti Dalaman (Internal Quality Assessment) serta metodologi pengauditan yang diamalkan oleh Bahagian Audit Dalam UPM.

Sesi dimulakan dengan taklimat mengenai Quality Assessment Review (QAR) yang disampaikan oleh Ketua Seksyen Audit Prestasi UPM, Encik Mohd Azis. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi metodologi pelaksanaan QAR serta langkah penambahbaikan yang telah diambil oleh Bahagian Audit Dalam UPM hasil daripada penilaian dalaman dan luaran yang dijalankan secara berkala.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Ketua Unit Audit Dalam UniSZA mengenai struktur pelaporan audit dan elemen-elemen penting yang perlu diambil kira dalam penulisan laporan. Selain itu, beliau turut membentangkan pembangunan Sistem Maklumat Audit Dalam (SMAD), iaitu sebuah sistem pengurusan audit yang dibangunkan secara dalaman dengan Kerjasama pihak teknologi maklumat.

Sesi perkongsian tersebut diakhiri dengan majlis jamuan makan tengah hari dan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan. Program kemudiannya diteruskan dengan lawatan santai ke Ladang 16 Farm Fresh.

Setibanya di Ladang 16 Farm Fresh, delegasi telah diberikan taklimat terperinci oleh Ketua Bahagian (Pentadbiran & Perkhidmatan) Pusat Pertanian Putra, Encik Mohd Tarmizi bin Ishak. Beliau kemudiannya mengiringi delegasi Unit Audit Dalam UniSZA melawat ke sekitar kawasan ladang, kandang lembu, serta pusat pemprosesan susu Farm Fresh.

Secara keseluruhannya, perkongsian strategik ini bukan sahaja memperkukuh jalinan kerjasama antara UPM dan UniSZA dalam bidang pengauditan, malah membuktikan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam memperkasakan kompetensi serta nilai tambah terhadap proses audit dalaman masing-masing.
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | nurmiera

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.