Disediakan oleh: Mohd Syairol Azwan Shabudin (Akauntan, Bahagian Audit Dalam UPM)

UPM SERDANG, 20 Mac 2025 – Kursus Asas Perolehan Kerajaan (Bekalan dan Perkhidmatan) anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian selama dua (2) hari, bermula pada 19 Mac dan berakhir pada 20 Mac 2025. Bersempena bulan Ramadan, mod kursus telah diubah daripada latihan bersemuka kepada latihan secara dalam talian.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perolehan Kerajaan serta tanggungjawab penjawat awam dalam memastikan pengurusan perolehan dilaksanakan dengan telus, berintegriti dan mematuhi peraturan semasa yang ditetapkan. Selain itu, kursus ini turut membantu meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan perolehan bekalan dan perkhidmatan secara sistematik berpandukan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
Kursus ini dihadiri lebih daripada 400 orang peserta daripada pelbagai agensi kerajaan merangkumi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Syarikat berkaitan kerajaan. Penceramah adalah dari INTAN Bukit Kiara iaitu En.Kasim bin Muhamad yang merupakan Perunding Latihan Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi dan Pentadbiran (PEKA).
Sesi tersebut telah dihadiri oleh dua (2) orang wakil Bahagian Audit Dalam UPM iaitu En. Mohd Faiz Suparman dan En. Mohd Syairol Azwan Shabudin. Penerangan yang disampaikan melalui kursus ini adalah bermanfaat dan selari penstrukturan serta penugasan baharu di Bahagian Audit Dalam UPM.
Kursus 2 hari ini memberi pendedahan yang padat mengenai kaedah dan tatacara perolehan Kerajaan, khususnya dalam aspek pengurusan perolehan bekalan dan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti. Pengetahuan yang diperoleh juga dapat membantu Bahagian Audit Dalam untuk menilai tadbir urus perolehan yang lebih bersistematik, telus serta berpandukan peraturan-peraturan terkini yang telah ditetapkan.
Tarikh Input: 20/03/2025 | Kemaskini: 20/03/2025 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.