Kursus Adaptasi AI Perkasa Kecekapan Tadbir Urus Pentadbiran UPM | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» BERITA » Kursus Adaptasi AI Perkasa Kecekapan Tadbir Urus Pentadbiran UPM

Kursus Adaptasi AI Perkasa Kecekapan Tadbir Urus Pentadbiran UPM

Berita Disediakan Oleh : En. Wan Muhammad Isam, Bahagian Audit Dalam UPM

 

 

SERDANG, 19 November 2025 – Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Kursus Adaptasi AI untuk Pentadbiran bertempat di Dewan Fakulti Pertanian sebagai salah satu program utama sempena Sambutan Bulan Digital UPM 2025.

Kursus yang berlangsung selama 1 hari ini menghimpunkan pegawai pentadbiran dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) bagi memperkukuh keupayaan dan pengetahuan dalam mengadaptasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan dan operasi pentadbiran universiti.

Inisiatif ini dilaksanakan seiring dengan Kerangka Transformasi Digital UPM, khususnya di bawah Anjakan Strategi Digital First yang menekankan keperluan memperluas penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pentadbiran serta tadbir urus universiti.

Antara fokus utama kursus adalah penerapan AI dalam pengurusan pejabat, penyediaan dokumentasi, automasi proses kerja, komunikasi rasmi, penyediaan laporan, kawal selia data serta pemantauan prestasi. Peserta turut diberikan pendedahan melalui penerangan teknikal, demonstrasi aplikasi AI semasa serta latihan praktikal bagi memastikan penguasaan kemahiran dapat diterapkan terus ke dalam tugasan seharian.

Bahagian Audit Dalam turut menghantar wakil untuk menghadiri program ini sebagai komitmen kepada usaha pendigitalan universiti serta bagi meneroka penggunaan teknologi AI dalam meningkatkan kecekapan, integriti dan pemantauan proses kerja di peringkat pentadbiran.

Penganjuran kursus ini dijangka menyumbang kepada peningkatan literasi digital dalam kalangan pegawai pentadbiran UPM seterusnya memperkukuh ekosistem kerja yang lebih efisien, cekap dan berasaskan data.

Tarikh Input: 26/11/2025 | Kemaskini: 26/11/2025 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
W, (03:57:49pm-04:02:49pm, 25 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]