Berita Oleh : Puan Nor Anidah Rosli, Penolong Akauntan
SERDANG, 05 Jun 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Bulan Sinergi PUTRA 2026 yang berlangsung sepanjang 1 hingga 30 Jun 2026 di UPM Serdang dan UPM Kampus Bintulu, Sarawak, sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik serta menterjemahkan aspirasi universiti ke arah impak yang lebih bermakna kepada masyarakat.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Makmal Petunjuk Prestasi (KPI) dan Program Sinergi PUTRA yang telah dilaksanakan pada April lalu. Inisiatif tersebut bertujuan untuk memperkasa pelaksanaan Pelan Strategik UPM 2026–2030 melalui tindakan yang lebih bersepadu, kolaborasi rentas disiplin dan pemerkasaan jaringan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Mengangkat tema “Daripada Kampus kepada Impak Nasional dan Global: Sinergi Menjana Masa Hadapan Mampan”, bulan Sinergi PUTRA 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara warga universiti, industri, agensi kerajaan, komuniti dan rakan strategik di peringkat nasional serta antarabangsa.
Sepanjang bulan penganjuran, pelbagai program dan aktiviti telah dirancang merangkumi perkongsian ilmu, wacana akademik, program pemindahan ilmu, aktiviti kemasyarakatan, inovasi, penyelidikan, jaringan industri serta pengiktirafan kecemerlangan warga universiti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasakan budaya kerja berpasukan, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memastikan hasil penyelidikan dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan oleh masyarakat secara lebih meluas.
Bulan Sinergi PUTRA 2026 juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem universiti yang lebih dinamik, inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi UPM untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang unggul serta memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat sejagat.
Warga UPM dan masyarakat umum dijemput untuk menyertai pelbagai program yang telah disusun sepanjang bulan ini bagi bersama-sama menjayakan agenda sinergi dan kecemerlangan universiti.
Tarikh Input: 12/06/2026 | Kemaskini: 12/06/2026 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.