Tujuh Kesalahan Utama Dalam Perolehan Awam | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Tujuh Kesalahan Utama Dalam Perolehan Awam

Tujuh Kesalahan Utama Dalam Perolehan Awam

Secara umumnya, perolehan awam merujuk kepada pembelian barangan, perkhidmatan dan kerja oleh kerajaan dan perusahaan milik awam. Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan belanjawan yang amat besar untuk perolehan awam.

Dalam belanjawan tahun 2020, sebanyak RM241 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Oleh sebab itu, sektor perolehan dikategorikan paling berisiko berlaku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Buktinya, dalam tempoh 2013 hingga 2018, SPRM telah menerima aduan tertinggi berkaitan sektor perolehan iaitu sebanyak 42.8 peratus diikuti aduan berkaitan sektor penguatkuasaan (23.9%), sektor pentadbiran (13.4%), sektor perlesenan/permit (8.6%) dan sektor pembiayaan/hasil (8.1%).

Mengesahkan perkara ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, pegawai awam yang terlibat dalam menguruskan perolehan perlu lebih berhati-hati melaksanakan tugas mereka. Bukan sahaja rasuah, mereka juga perlu mengambil perhatian terhadap beberapa kesalahan lazim yang sering terjadi dalam perolehan awam. Isu-isu dan kesalahan ini berpunca sama ada disebabkan salah urus perolehan, kecuaian pegawai, kesilapan dalam pembekalan, rasuah, penyelewengan dan salah guna kedudukan.

Jika diperincikan, terdapat tujuh kesalahan utama dalam kesalahan perolehan awam.

 

Kesalahan pertama: Perolehan pada harga tidak munasabah

Sesetengah harga barang atau perkhidmatan dinaikkan harganya bagi menampung kos-kos lain yang tidak dinyatakan dalam tender atau pesanan kerajaan. Ada juga yang memasukkan pembelian barang atau perkhidmatan tambahan lain. Terdapat juga kemungkinan harga barang atau perkhidmatan dinaikkan bagi menampung kos bayaran rasuah kepada pihak tertentu.

Contoh kes sebenar: Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan RTM membeli mesin pengimbas bersaiz A4 pada harga RM14,670 seunit. Sedangkan anggaran harga pasaran hanya RM200 seunit. Tiga unit dibeli dengan jumlah keseluruhan RM44,010.

 

Kesalahan kedua: Pembekalan yang tidak mengikut spesifikasi

Kemungkinan perkara ini berlaku adalah kontraktor cuba mendapat untung lebih dengan membekalkan barang atau perkhidmatan yang berkualiti rendah; wujud rundingan sulit antara pegawai perolehan dan kontraktor. Keuntungan akan dikongsi dengan pegawai perolehan terbabit; kecuaian pegawai penerima yang tidak membuat semakan semasa pembekalan barang atau perkhidmatan.

Contoh kes sebenar: Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan Jabatan Taman Laut Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar membuat perolehan enjin bot aluminium empat lejang berharga RM11,553. Bagaimanapun, kontraktor membekalkan enjin dua lejang yang berharga RM6,549.

 

Kesalahan ketiga: Pembayaran tidak mengikut prosedur (Improper payment)

Bermaksud pembayaran dibuat kepada kontraktor atau pembekal tanpa mengikut tatacara kewangan yang betul. Berlaku apabila pembayaran dibuat kepada kontraktor walaupun perolehan barang, perkhidmatan atau kerja tidak sempurna. Tidak sempurna bermaksud perolehan tidak dibuat langsung atau hanya sebahagian sahaja dilaksanakan. Kesalahan ini sering berlaku ketika hujung tahun kewangan, apabila agensi cuba mengelakkan pembayaran menggunakan peruntukan tahun berikutnya seperti mana Arahan Perbendaharaan 58 (AP58).

Contoh kes sebenar: Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 melaporkan pembayaran yang tidak mengikut prosedur bagi perolehan peralatan dan mesin roti di Jabatan Penjara Malaysia. Berdasarkan kontrak, pembekal perlu membekal, menghantar, memasang, menguji serta mentauliah peralatan dan mesin roti. Semakan audit mendapati pembekal telah menghantar semua peralatan dan mesin roti ke lima institusi penjara yang ditetapkan. Oleh kerana bengkel roti masih belum dibina atau diubah suai, pihak pembekal tidak dapat memasang, menguji dan mentauliah peralatan dan mesin roti yang dihantar. Walau bagaimanapun, bayaran penuh telah dibuat kepada pembekal.

 

Kesalahan keempat: Penggunaan ‘orang tengah’ dalam urusan perolehan

‘Orang tengah’ boleh terdiri daripada individu, syarikat atau pertubuhan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. ‘Orang tengah’ yang sering menimbulkan masalah adalah individu-individu yang menggunakan hubungan rapat dengan mereka yang mempunyai kedudukan untuk faedah diri sendiri. ‘Orang tengah’ ini boleh jadi pegawai khas, setiausaha sulit, setiausaha politik, atau kenalan kepada mana-mana menteri, ketua jabatan, pegawai yang terlibat perolehan dan sebagainya.

Contoh kes sebenar: Pada 9 April 2012, seorang pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan isterinya didakwa meminta dan menerima wang rasuah RM250,000 berhubung tender projek mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital SKMM. Siasatan SPRM mendapati, isteri kepada pegawai kanan SKMM itu bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara kontraktor dan suaminya. Mereka bertindak menipu dan meminta rasuah RM250,000 sebagai balasan membantu kontraktor memperoleh surat penganugerahan bagi tender projek berkenaan. Pada 5 April 2013, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima dan empat tahun serta denda RM1.25 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah.

 

Kesalahan kelima: Perolehan secara pecah kecil


Amalan ini bermaksud memecahkecilkan perolehan bagi item yang sama kepada beberapa perolehan lain. Taktik pecah kecil digunakan supaya sesuatu perolehan itu boleh dibuat secara pembelian terus, sekaligus mengelak daripada menggunakan kaedah sebut harga atau tender. Amalan pecah kecil menyebabkan perolehan dibuat secara tidak telus; pembekalan atau kerja diberikan kepada kontraktor tertentu sahaja; dan boleh menyebabkan harga perolehan dimanipulasi.

Contoh kes sebenar: Sekitar Mac 2015, SPRM melancarkan ‘Ops Sealord’ berkaitan aktiviti rasuah dan penyelewengan di Depot Bekalan Armada (DBA), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Dalam operasi itu, 16 individu ditangkap, 240 akaun bank bernilai RM23 juta dibekukan, 13 buah kenderaan mewah disita. Seterusnya, beberapa pegawai TLDM didakwa kerana rasuah berhubung kelulusan pembekalan alat ganti kapal kepada syarikat tertentu. Siasatan SPRM mendapati, perolehan alat ganti kapal dibuat secara pecah kecil agar pelantikan syarikat tertentu boleh dibuat secara pembelian terus.

 

Kesalahan keenam: Penerimaan hadiah oleh penjawat awam


Penjawat awam dilarang menerima sebarang hadiah atau barang berharga daripada mereka yang mempunyai hubungan rasmi dengannya. Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Penjawat awam harus sentiasa beringat agar tidak menggunakan kedudukan mereka untuk mendapat sebarang hadiah atau keraian. Penjawat awam juga mesti berwaspada apabila ada pihak tertentu yang cuba membeli ‘jiwa’ mereka dengan hadiah dan keraian. Walaupun dalam nilai yang kecil.

Contoh kes sebenar: Pada 24 Mei 2018, seorang Pengarah Jabatan Kerja Raya didenda RM3,000 oleh mahkamah selepas didapati bersalah menerima ‘hadiah’ pakej penginapan dan pakej golf di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu bernilai RM2,880.90 daripada Pengurus Projek Borneo Era Sdn. Bhd. Pengarah JKR dan Pengurus Projek tersebut mempunyai hubungan rasmi dalam Projek Pembinaan Jalan Pintas Kampung Gersik, Wilayah Persekutuan Labuan Secara Reka dan Bina. Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

 

Kesalahan ketujuh: Campur tangan legislatif atau ‘wahyu’


Integriti pegawai yang terlibat perolehan sering kali teruji apabila individu tertentu yang mempunyai kedudukan dan kuasa mengeluarkan arahan-arahan yang jelas bertentangan dengan prosedur kewangan. Contoh arahan adalah memilih syarikat tertentu; memberi kelonggaran kepada syarikat tertentu; dan mempercepatkan pembayaran kepada syarikat tertentu. Perkara ini menimbulkan perasan serba salah pegawai terlibat, untuk memilih antara kepentingan jabatan dan mematuhi arahan tersebut. Kebanyakan arahan dibuat secara lisan. Apabila timbul sebarang masalah, pegawai perolehan berkenaan yang akan dipertanggungjawabkan.

Contoh kes sebenar: Pada 14 Oktober 2020, bekas setiausaha politik Menteri Pertahanan Malaysia didakwa atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat. Rasuah sebagai upah kerana membantu syarikat itu dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan MINDEF. Kes ini merupakan salah satu contoh campur tangan individu berpengaruh dalam proses perolehan kerajaan.

Isu ketirisan dalam perolehan awam tidak pernah selesai. Puncanya hanya satu, wujud pegawai yang tidak jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Nasihat atau amaran sahaja mungkin tidak berkesan kepada pegawai sebegini. Oleh itu, tindakan punitif mesti dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Salah satu inisiatif Pelan Antirasuah Nasional adalah mewujudkan peruntukan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian secara sengaja kepada kerajaan. Sekiranya peruntukan baharu ini wujud, penjawat awam yang telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah.

Akhir sekali, mana-mana pihak yang mengetahui sebarang salah laku oleh penjawat awam mesti melaporkan kepada pihak berkuasa. Dalam satu laporan media bertarikh 12 Disember 2020, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menyeru penjawat awam untuk melaporkan sebarang salah laku di kementerian, jabatan atau agensi mereka dalam usaha membendung ketirisan.

Laporan salah laku ini boleh meningkatkan integriti penjawat awam dan mencegah salah laku, terutama dalam perolehan.

 

Sumber:-

Mohamad Tarmize Abdul Manaf

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=1539&cat=BKH

 

Artikel disediakan oleh : Pn. Nurul Ezani Abdul Malek

Tarikh Input: 21/06/2021 | Kemaskini: 21/06/2021 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEQXAL~