Carian Artikel : Pn. Nurul Ezani Abdul Malek, Bahagian Audit Dalam, UPM
Artikel Oleh : Michelle Anak Sofia, Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris
Sumber : Berita Harian
PEPERANGAN global hari ini boleh disifatkan sebagai 'pembunuh senyap' kepada ekonomi rakyat. Konflik di Asia Barat misalnya memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia, termasuk Malaysia. Kesan paling ketara ialah kenaikan harga barang keperluan harian yang semakin membebankan rakyat.
Situasi ini amat dirasai golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka mempunyai isi rumah besar. Rakyat yang sedia miskin kini semakin terhimpit dan berdepan risiko terperangkap dalam kemiskinan tegar.
Krisis ini bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup, malah melebarkan jurang pendapatan serta menjejaskan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh.
Lebih membimbangkan, ramai terpaksa menggunakan simpanan kecemasan untuk menampung perbelanjaan harian. Dana hari tua dan simpanan masa depan semakin susut, sekali gus menyebabkan mereka hilang 'jaring keselamatan' kewangan jika berlaku kecemasan. Keadaan ini menjadikan kehidupan rakyat semakin rapuh dan tidak stabil.
Tekanan kos sara hidup juga memberi kesan kepada kesihatan mental. Beban kewangan berpanjangan mencetuskan kegelisahan dan tekanan dalam kalangan ketua keluarga. Tekanan emosi ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga serta menurunkan kesejahteraan hidup secara keseluruhan.
Dalam sektor perumahan, kenaikan harga bahan binaan seperti besi dan simen akibat gangguan rantaian bekalan global turut memberi kesan. Pemaju dan pemilik rumah sewa terpaksa menaikkan harga jualan serta kadar sewa. Akibatnya, sebahagian besar pendapatan rakyat kini terpaksa diperuntukkan hanya untuk tempat tinggal.
Tingkat risiko masalah gelandangan
Keadaan ini meningkatkan risiko masalah gelandangan apabila ada yang tidak lagi mampu menyewa atau memiliki rumah. Krisis perumahan ini meletakkan golongan marhaen dalam keadaan sangat terdedah, malah ada yang terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan demi kelangsungan hidup.
Selain itu, kos pendidikan juga semakin meningkat. Harga bahan pembelajaran, pengangkutan dan keperluan harian pelajar melonjak seiring inflasi global. Ibu bapa, khususnya golongan B40, terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain demi memastikan anak-anak terus bersekolah.
Tekanan kewangan ini boleh menjejaskan tumpuan pelajar dan memberi kesan kepada pembangunan modal insan negara. Jika tidak ditangani segera, ia berpotensi menjejaskan masa depan generasi akan datang.
Dalam menghadapi situasi ini, gaya hidup rakyat turut berubah. Mereka kini lebih berhati-hati berbelanja dengan mengutamakan keperluan asas sahaja. Ramai juga terpaksa mencari pekerjaan sampingan untuk menampung pendapatan tidak mencukupi.
Selain itu, corak pemakanan turut berubah apabila rakyat memilih makanan lebih murah walaupun kurang seimbang dari segi nutrisi. Perubahan ini mencerminkan usaha rakyat menyesuaikan diri dengan tekanan ekonomi yang semakin mencabar.
Secara keseluruhan, krisis kos sara hidup akibat peperangan global memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat. Justeru, kerajaan perlu lebih peka terhadap kesusahan rakyat.
Langkah intervensi berkesan dan sokongan berterusan amat penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Tarikh Input: 30/04/2026 | Kemaskini: 30/04/2026 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.