Technology In Motion (2025): Penerimaan Teknologi Dalam Profesion Perakaunan Malaysia | BAHAGIAN AUDIT DALAM audit
» ARTIKEL » Technology in Motion (2025): Penerimaan Teknologi dalam Profesion Perakaunan Malaysia

Technology in Motion (2025): Penerimaan Teknologi dalam Profesion Perakaunan Malaysia

Carian Artikel : Mohd Syairol Azwan Shabudin (Akauntan, Bahagian Audit Dalam)

 

Artikel ini membincangkan hasil daripada edisi keempat Survey on Technology Adoption by the Accountancy Profession in Malaysia yang dijalankan oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA). Survei ini telah dilaksanakan dari 1 November 2024 hingga 31 Januari 2025 dan melibatkan 713 ahli MIA yang mewakili pelbagai sektor perakaunan. Ia meneruskan kesinambungan usaha sejak 2017 termasuk pelancaran MIA Digital Technology Blueprint pada 2018 dan edisi survei terdahulu pada 2019 serta 2022, dengan tujuan untuk mengenal pasti corak dan kemajuan transformasi digital dalam profesion ini.

 

Trend Teknologi Semasa

 

Dapatan kajian menunjukkan bahawa trend teknologi utama pada tahun 2025 meliputi automasi, teknologi mudah alih, komputasi awan, dan penggunaan piawaian data seperti XBRL. Trend ini mencatatkan peningkatan berbanding survei-survei sebelumnya, sekali gus mencerminkan kesediaan industri untuk bergerak seiring perkembangan teknologi. Antara teknologi yang telah digunakan secara meluas lebih daripada tiga tahun adalah aplikasi Microsoft, iaitu sebanyak 68%, diikuti dengan perisian perakaunan pada kadar 66%. Dalam tempoh satu hingga tiga tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara dalam penggunaan aplikasi berasaskan awan (26%) dan alat analisis data (23%).

 

Minat Terhadap Teknologi Masa Depan

 

Minat terhadap penggunaan teknologi pada masa depan turut ketara, khususnya dalam penerapan perisian atau alat berkaitan kelestarian (41%), generative AI (38%), dan kecerdasan buatan (37%). Hal ini menunjukkan fokus yang semakin tinggi terhadap inovasi teknologi bagi meningkatkan kecekapan dan relevansi profesion perakaunan di Malaysia.

 

Impak Penerapan Teknologi

 

Impak daripada penerapan teknologi ini jelas dirasai dalam semua sektor, termasuk Profesional Akauntan dalam Perniagaan (PAIB), amalan awam, dan sektor awam. Kelebihan utama yang diperoleh adalah peningkatan kecekapan kerja dan mobiliti, diikuti oleh pematuhan terhadap peraturan serta pemecutan transformasi digital. Tambahan pula, sebahagian responden turut menyatakan bahawa penerapan teknologi membantu meningkatkan daya saing organisasi masing-masing.

 

Tahap Penerimaan Teknologi

 

Survei ini turut mendapati bahawa 97% pengamal berada pada pelbagai tahap penerimaan teknologi, manakala hanya 3% belum memulakan sebarang langkah ke arah itu. Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kalangan responden yang berada di tahap awal penerapan (kurang daripada 30% penggunaan teknologi), peratusan mereka yang berada di tahap penerapan tinggi (melebihi 70%) sedikit menurun berbanding tahun 2022.

 

Halangan Utama dalam Penerapan

 

Antara halangan utama yang dihadapi ialah ketiadaan justifikasi perniagaan yang jelas bagi pelaburan teknologi, mengatasi cabaran utama pada tahun 2022. Kekurangan pemahaman tentang manfaat teknologi dan kekurangan bakat untuk menguruskan teknologi juga kekal menjadi cabaran utama. Walaupun kos masih menjadi isu, ia kini kurang menonjol berbanding sebelum ini, dan hanya 11% responden yang tidak memperuntukkan sebarang bajet bagi penerapan teknologi.

 

Kesimpulan

 

Secara keseluruhannya, hasil survei ini memperkukuh hakikat bahawa transformasi digital terus menjadi pemangkin kemajuan dalam profesion perakaunan di Malaysia. MIA bertekad untuk terus memainkan peranan penting dalam membentuk dan melaksanakan inisiatif strategik berdasarkan pandangan yang diperoleh daripada survei ini, bagi meningkatkan kapasiti digital dan daya saing anggotanya pada masa hadapan.

 

Sumber Artikel : Malaysian Institute of Accountants (MIA) - 2025

Tarikh Input: 18/08/2025 | Kemaskini: 18/08/2025 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
X, (12:01:04am-12:06:04am, 20 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]