Tata Kelola Dalam ESG | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Tata kelola dalam ESG

Tata kelola dalam ESG

Carian Artikel Oleh : En. Mohd Nasarudin Ismail, Bahagian Audit Dalam UPM

 

Tidak dinafikan bahawa isu berkaitan kemampanan alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) merupakan antara topik perbincangan paling hangat dalam dunia perniagaan global hari ini pasca-Covid. Menurut laporan Tinjauan Pertengahan Tahun ESG 2021 Bloomberg Intelligence, aset ESG kini berada di landasan melebihi AS$50 trilion (RM220.5 trilion) menjelang 2025, meningkat daripada AS$35 trilion (RM154.3 trilion) pada 2020.

Secara ringkas, ESG merupakan dokumentasi komitmen sebuah syarikat tentang bagaimana ia beroperasi dan membuat keputusan berkaitan moral dan etika. ESG juga melihat bagaimana pelbagai pemegang taruh yang berkaitan dengan syarikat tersebut dilayan termasuk para pelabur, warga kerja, serta rantaian pembekal seperti vendor dan kontraktor. Tidak lupa juga komuniti di sekeliling tempat perniagaan itu beroperasi.

Persoalan yang sering diperdebatkan dalam kalangan pemain industri adalah sejauh mana kita dapat menentukan dan menilai tata kelola dalam ESG? Bagaimanakah usaha-usaha antirasuah diserapkan dalam rangka kerja ESG? Dan bolehkah sesebuah syarikat atau pelaburan dianggap 'mampan' jika integriti korporat diabaikan?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, Syarikat Senaraian Awam (PLC) perlu menangani kebimbangan yang kritikal berkaitan ESG yang memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka serta kemakmuran jangka masa panjang. Tambah beliau, kegagalan untuk memenuhi pematuhan ESG boleh mengakibatkan kerosakan reputasi dan kepercayaan yang boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah syarikat.

Ini bermakna, amalan perniagaan sesebuah syarikat mestilah beretika, telus dan bertanggungjawab. Pelabur dan pemegang taruh perlu tahu bahawa keuntungan jangka panjang atau kelestarian perniagaan hanya akan dapat tercapai jika sesebuah organisasi komersial memberi penekanan kepada aspek ESG. Malah para pelabur akan menjauhkan diri jika sesebuah organisasi komersial mempunyai risiko yang tinggi dalam ESG.

Sesungguhnya, tata kelola manusia dan tata kelola korporat mestilah seiring. Tata kelola manusia merujuk kepada cara kita mengukuhkan nilai moral dalam diri individu yang merangkumi prinsip moral seperti rajin, jujur dan amanah. Tata kelola korporat pula melihat sejauh mana tata kelola dibangunkan, dilaksanakan, dikuatkuasakan dan dinilai. Tata kelola yang baik boleh diukur dengan mengaplikasikan sistem pengurusan yang sesuai seperti Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).

Secara asasnya, tata kelola dan sistem pengurusan saling bergantung. Tata kelola yang baik bergantung kepada kualiti individu yang unggul. Jika sistem pengurusan baik, tetapi kakitangannya tidak mengamalkan prinsip integriti, maka akan timbul isu salah laku dan sebagainya.

Begitu juga jika tiada sistem pengurusan dan hanya bergantung kepada integriti individu, lama kelamaan, ia mengundang salah laku dan pelanggaran integriti. Dalam hal ini, akan ada godaan untuk melakukan kesalahan jika tiada kawalan dalaman dan tata kelola yang kukuh.

Justeru, tata kelola korporat yang berpaksikan integriti adalah asas dalam memastikan keghairahan terhadap ESG dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan masa depan yang mampan.

Berkaitan itu, Lembaga Pengarah dan Pengurusan bagi sesebuah syarikat harus mematuhi piawaian ESG dalam proses membuat keputusan dengan memastikan undang-undang, peraturan dan dasar yang berkaitan antirasuah, integriti dan tata kelola diberi prioriti dan dipatuhi.

Justeru itu, pemain industri disaran untuk menambah baik strategi pelaksanaan ESG khususnya dalam konteks tata kelola melalui Pensijilan ISO 37001:2016 agar dapat mewujudkan rangka kerja proses perniagaan yang mampan seterusnya meningkatkan integriti dan tata kelola di sesebuah organisasi.

Tarikh Input: 21/05/2026 | Kemaskini: 22/06/2026 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
X, (06:03:59pm-06:08:59pm, 22 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]