Carian Artikel Oleh : Jawatankuasa Laman Seswang Audit Dalam
Sumber : Berita Harian
KEBELAKANGAN ini, isu pemberi maklumat menjadi topik tumpuan umum, terutama dalam konteks membanteras rasuah. Malangnya, terdapat salah faham meluas dalam masyarakat mengenai siapa layak dilindungi dan prosedur perlu diikuti.
Ada berpendapat sesiapa sahaja mempunyai maklumat mengenai salah laku boleh memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat, tetapi hakikatnya tidak semudah itu.
Negara kita mempunyai undang-undang khusus untuk melindungi pemberi maklumat daripada tindakan balas tidak wajar, iaitu melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Namun, perlindungan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur tertentu untuk memastikan keberkesanannya serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Salah faham yang sering timbul ialah kepercayaan bahawa pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat secara umum, contohnya kepada media atau media sosial sebelum memohon perlindungan. Ini adalah tanggapan salah.
Mengikut undang-undang, maklumat mengenai salah laku mesti dilaporkan kepada agensi penguat kuasa terlebih dahulu. Jika seseorang mendedahkan maklumat kepada umum sebelum membuat laporan rasmi, ia mungkin menjejaskan identiti dirinya sendiri serta kesahihan maklumat didedahkan.
Selain itu, terdapat risiko maklumat berkenaan belum disahkan atau boleh disalah tafsir yang akhirnya boleh merosakkan kredibiliti kes terbabit. Dalam situasi seperti ini, agensi penguat kuasa tidak dapat memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat yang sudah 'mendedahkan' dirinya sendiri sebelum membuat laporan formal.
Bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, individu perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, laporan mesti dibuat kepada agensi penguatkuasaan sah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi kerajaan lain berkaitan. Kedua, laporan itu perlu dibuat dengan niat baik, bukan atas tujuan jahat seperti membalas dendam atau memfitnah.
Satu lagi syarat penting ialah pemberi maklumat tidak boleh terbabit dalam kesalahan dilaporkan. Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jelas menyatakan perlindungan boleh dibatalkan jika pemberi maklumat berkenaan didapati turut terbabit dalam salah laku didedahkan.
Ini bagi memastikan integriti pemberi maklumat dan mengelakkan mereka daripada menggunakan status perlindungan sebagai 'perisai' untuk melindungi diri mereka sendiri.
Proses untuk memohon perlindungan pemberi maklumat juga adalah jelas dan tertib. Individu perlu melapor terus kepada agensi penguatkuasaan kerajaan seperti SPRM.
Selepas laporan diterima dan memenuhi kriteria ditetapkan dalam akta, pemberi maklumat akan diberikan perlindungan dijamin oleh undang-undang.
Antara bentuk perlindungan disediakan adalah kerahsiaan identiti pemberi maklumat sepenuhnya yang tidak akan didedahkan kepada pihak lain, termasuk semasa prosiding mahkamah.
Pemberi maklumat juga diberikan perlindungan dalam bentuk imuniti undang-undang, iaitu dilindungi daripada tindakan sivil, jenayah atau tatatertib berkaitan laporan dibuat.
Individu terbabit juga memperoleh perlindungan terhadap tindakan balas. Sebarang tindakan balas seperti pemecatan, diskriminasi atau intimidasi akibat laporan berkenaan dilarang sama sekali.
Malah, perlindungan diberikan juga kepada individu berkaitan dengan pemberi maklumat, iaitu ahli keluarga atau individu mempunyai kaitan rapat dengan pemberi maklumat, jika mereka menghadapi risiko akibat pendedahan terbabit.
Realitinya, sebagai masyarakat bertanggungjawab, kita perlu memahami peranan dan tanggungjawab melaporkan jenayah rasuah.
Seksyen 25 Akta SPRM 2009 menetapkan sesiapa mengetahui mengenai pemberian, penerimaan atau tawaran rasuah tetapi gagal melaporkannya boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ini bermakna tanggungjawab melaporkan rasuah bukan hanya terletak pada pemberi maklumat, tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam melaporkan jenayah rasuah untuk memastikan integriti dan akauntabiliti terus terpelihara.
Cabaran tegakkan kebenaran
Walaupun undang-undang sudah tersedia, pemberi maklumat sering menghadapi cabaran dalam menegakkan kebenaran. Antaranya, pemberi maklumat sering dilabel sebagai 'pengadu' atau 'pengkhianat', terutama jika kesalahan membabitkan majikan atau organisasi tempat mereka bekerja.
Selain itu, walaupun perlindungan undang-undang diberikan, masih wujud kebimbangan mengenai ancaman atau diskriminasi boleh mereka hadapi secara langsung atau tidak langsung.
Malah, masih ramai tidak memahami prosedur undang-undang untuk menjadi pemberi maklumat dan bagaimana mereka boleh memohon perlindungan secara sah.
Hakikatnya, undang-undang perlindungan pemberi maklumat antara alat penting dalam usaha membanteras rasuah dan salah laku di negara ini. Ia memberi keyakinan kepada individu tampil mendedahkan maklumat tanpa rasa takut akan tindakan balas.
Selain itu, ia membantu memastikan maklumat disampaikan adalah sah, sekali gus boleh digunakan dalam proses siasatan dan perundangan.
Kesedaran mengenai peranan, tanggungjawab dan perlindungan pemberi maklumat perlu ditingkatkan dalam masyarakat.
Salah faham bahawa sesiapa sahaja boleh memohon perlindungan tanpa memenuhi syarat ditetapkan perlu diperbetulkan agar undang-undang ini tidak disalah guna.
Sebagai rakyat prihatin, kita perlu memahami pemberi maklumat ada peranan penting dalam mendedahkan salah laku dan memastikan integriti institusi terus terjaga.
sokongan kepada mereka perlu diberikan melalui pemahaman betul mengenai prosedur perlindungan serta usaha kolektif untuk menggalakkan keberanian dalam melaporkan jenayah.
Dengan adanya undang-undang kukuh dan masyarakat sedar akan tanggungjawab mereka, usaha membanteras rasuah di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Penulis adalah Pengarah Bahagian Perisikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). YBhg Datuk Zainul Darus.
Tarikh Input: 31/12/2024 | Kemaskini: 31/12/2024 | faiz_suparman

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.