Peralihan Peranan Audit Dalam Kepada Perkhidmatan Nasihat (Advisory) | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Peralihan Peranan Audit Dalam kepada Perkhidmatan Nasihat (Advisory)

Peralihan Peranan Audit Dalam kepada Perkhidmatan Nasihat (Advisory)

Carian Artikel : Cik Nurrul Syakira Bakhtiar (Akauntan, Bahagian Audit Dalam)

Penulis: Logan Wamsley (associate manager, content development at The IIA)

Artikel ini adalah berdasarkan penulisan asal bertajuk “Internal Audit’s Advisory Shift” yang diterbitkan melalui laman web: https://internalauditor.theiia.org

 

Perkembangan teknologi, globalisasi dan peningkatan jangkaan pihak berkepentingan telah mempercepatkan perubahan peranan audit dalam daripada penyedia perkhidmatan jaminan (assurance) kepada penasihat strategik yang menyediakan pandangan serta penyelesaian perniagaan kepada organisasi.

Sejak penubuhannya oleh The Institute of Internal Auditors (IIA) pada tahun 1941, fungsi audit dalam telah berkembang daripada peranan tradisional sebagai pemantau kewangan kepada rakan bebas organisasi yang menyokong proses pengurusan risiko. Perubahan ini dijangka terus berlaku selaras dengan keperluan pematuhan kepada Global Internal Audit Standards (Standard Audit Dalam Global).

Laporan Vision 2035 menunjukkan perubahan dalam agihan peranan audit dalam. Pada masa ini, kira-kira 76% masa diperuntukkan kepada perkhidmatan jaminan dan 24% kepada perkhidmatan nasihat. Namun, pada masa hadapan, perkhidmatan jaminan dijangka menurun kepada 59% manakala perkhidmatan nasihat meningkat kepada 41%, menjadikan audit dalam mempunyai tanggungjawab dwi peranan.

Perubahan ini memberi kesan kepada keseluruhan proses audit, antaranya:

  • Penilaian Risiko: Menjadi proses yang lebih aktif dan berterusan (evolving), berasaskan pemahaman terhadap objektif audit dan objektif strategik organisasi.
  • Proses Audit: Aktiviti pengujian audit dan persampelan data dilaksanakan secara lebih disesuaikan (personalized), menggunakan teknologi automasi serta pemantauan masa nyata (real-time monitoring).
  • Pelaporan Audit: Tidak terhad kepada penemuan dan pemerhatian, tetapi merangkumi cadangan yang lebih terperinci dan selaras dengan objektif organisasi.

Seiring dengan perubahan ini, juruaudit dalaman perlu menggabungkan kemahiran teknikal dengan kefahaman perniagaan (business acumen) bagi memahami keseluruhan matlamat organisasi dan memberikan nilai tambah melalui peranan sebagai penasihat.

Walau bagaimanapun, peralihan ini turut menimbulkan beberapa cabaran, antaranya:

  • Kredibiliti: Perlu dibina melalui kualiti kerja, pendekatan audit dan hubungan dengan pihak berkepentingan.
  • Sumber dan Kepakaran: Memerlukan penggunaan alat dan teknologi yang menyokong analisis serta pengurusan risiko.
  • Pengurusan Masa: Perlu dioptimumkan melalui penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan serta kerangka Agile (Agile frameworks) bagi meningkatkan kecekapan dan kolaborasi.
  • Kebebasan dan Objektiviti: Perlu dikekalkan melalui penetapan sempadan yang jelas antara peranan audit dan peranan perundingan, bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Kesimpulannya, fungsi audit dalam perlu bersifat adaptif dan berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. Walaupun perkhidmatan jaminan kekal sebagai asas, perkhidmatan nasihat merupakan elemen penting dalam memastikan audit dalam terus relevan serta menyokong pencapaian objektif organisasi dalam persekitaran risiko yang dinamik.

Tarikh Input: 16/03/2026 | Kemaskini: 02/04/2026 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
W, (08:24:13am-08:29:13am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]