Pengurusan Kewangan Berhemat Sokong Capai Matlamat WKB 2030 | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Pengurusan kewangan berhemat sokong capai matlamat WKB 2030

Pengurusan kewangan berhemat sokong capai matlamat WKB 2030

Carian oleh : Pn. Nor Anidah Rosli (Penolong Akauntan)

Penulis : Prof Madya Dr Azwan Abdullah,
Felo Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Sumber: www.bharian.com.my

Situasi pandemik COVID-19 mencetus fenomena baharu dalam landskap ekonomi negara. Statistik Jabatan Perangkaan 2020 menunjukkan peningkatan penggunaan platfom e-dagang dalam kalangan isi rumah sebanyak 23.3 peratus pada 2019, berbanding 11.3 peratus pada 2016.

Peningkatan peratusan dalam perbelanjaan isi rumah memberi impak kepada aktiviti ekonomi secara keseluruhannya, sama ada bagi memenuhi keperluan atau menuruti nafsu kehendak semata.

Justeru, penilaian kewangan secara holistik perlu dilaksanakan isi rumah bagi memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemat setiap masa. Ia memerlukan isi rumah celik mengenai pengurusan aliran tunai.

Dalam hal ini, kemampuan isi rumah mentadbir dan mengurus sumber pendapatan menjadi cabaran utama yang perlu difahami dan dikuasai secara istiqamah.

 

DISYORKAN UNTUK ANDA

Pengetahuan mengenai jumlah sumber pendapatan bersih, tanggungan hutang serta komitmen kewangan lain agenda wajib yang perlu diberi perhatian setiap masa. Ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi implikasi besar terhadap kedudukan nilai aliran tunai bersih isi rumah, malah menjadi penanda aras kesihatan kewangan bagi menguruskan perbelanjaan secara berhemat supaya tidak terperangkap dengan hutang.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia berdasarkan sebab kebankrapan 2014 sehingga 2018 menunjukkan hutang kerana pinjaman peribadi merekodkan angka tertinggi dengan 26,399 kes.

Pinjaman sewa beli kenderaan dan perumahan masing-masing mencatatkan 23,521 dan 13,400 kes. Statistik pinjaman tidak berbayar berdasarkan Sorotan dan Perangkaan Bulanan pada Februari lalu dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi kategori pembelian barangan pengguna RM2 juta, berbanding RM1.5 juta pada bulan sama 2020.

Oleh itu, disiplin diri yang tegas perlu dalam menguruskan kewangan isi rumah dengan lebih sistematik dan berhemat bagi menjamin kelestarian kewangan. Mengukur kemampuan kewangan sebelum berbelanja adalah langkah bijak bagi mengelakkan masalah defisit kewangan dan hutang dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Umpama pepatah 'ukur baju di badan sendiri'.

Bagi mengukuhkan benteng kewangan isi rumah di Malaysia pula, kerajaan menerusi peruntukan Belanjawan 2021 berusaha menyokong kelestarian ekonomi negara dengan tiga matlamat teras, iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Dalam menguruskan perbelanjaan kerajaan secara berhemat dalam pemulihan ekonomi negara secara holistik, kerajaan mengambil langkah berhati-hati.

Begitu telitinya kerajaan meneruskan agenda pemerkasaan ekonomi negara. Oleh itu, bagi merealisasikan agenda ekonomi yang mampan, kerajaan memperkenal Pelan Strategi 6R dengan mengambil kira elemen Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilient), Menjana Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun semula (Reform).

Pelbagai usaha pengukuhan ekonomi juga dirangka kerajaan. Antaranya mengadakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dilancarkan Perdana Menteri pada 17 Mac lalu yang menggariskan 20 inisiatif memperkasa ekonomi.

Kesimpulannya, pengurusan kewangan berhemat berupaya mengukuhkan ekonomi keluarga dan negara serta menyokong agenda kerajaan dalam mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Sesungguhnya, gelagat perbelanjaan berhemat dalam menguruskan kewangan memberi kesan signifikan kepada hasrat kerajaan merancakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA).

Dengan kata lain, usaha memulihkan ekonomi negara pada tahap terbaik memerlukan gandingan semua pihak, bermula isi rumah hingga kepada urusan negara.

 

Tarikh Input: 30/05/2022 | Kemaskini: 31/05/2022 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDdKAv~