MASALAH KECELARUAN EMOSI | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » MASALAH KECELARUAN EMOSI

MASALAH KECELARUAN EMOSI

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung. Dalam kiraan yang melihat kepada umur pesakit, setiap 3 daripada 10 rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas (atau 29.2 peratus) mengalami pelbagai masalah kesihatan mental. Namun penyakit mental masih disalah faham di Malaysia. Ada yang menyamakan penyakit mental dengan kurang waras, manakala segolongan besar gagal mengenali tanda dan simptom penyakit terbabit. Antara penyakit mental umum adalah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia.

https://images.says.com/uploads/story_source/source_image/628573/87af.jpg

Berbanding lelaki, wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berpunca daripada pelbagai tekanan. Salah satu tekanan yang boleh dikenalpasti adalah tekanan di tempat kerja dan bebanan kewangan. Gangguan mental ini menyebabkan wanita mudah berhadapan kemurungan sehingga mendorong mereka membunuh diri. Pensyarah Kanan, Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, kesihatan mental di tempat kerja adalah sesuatu yang perlu diambil peduli.

Image result for WOMEN MENTAL DISORDER

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit. Kebanyakannya lebih gemar menyimpan masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal. Ada pula bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri.

Jika majikan mengabaikan masalah kesihatan mental dan emosi yang sedang dialami oleh pekerja mereka, sudah tentu prestasi dan produktiviti kerja akan terjejas.

Keadaan mental seseorang pekerja itu akan menjadi lebih teruk apabila mereka diberi beban melampau batas, dibuang kerja atau dikenakan tindakan tatatertib. Persekitaran kerja yang negatif juga akan mendatangkan pelbagai penyakit fizikal dan mental termasuk masalah tingkah laku yang menyebabkan pekerja bersikap sambil lewa dan suka ponteng kerja serta mutu kerja yang menurun. Jika majikan terus mengambil sikap tidak menjaga kebajikan dan persekitaran kerja yang positif, maka seseorang itu cenderung untuk mengalami penyakit mental seperti kebimbangan, kemurungan dan burnout yang kemudiannya memaksa mereka mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Akibat meningkatkanya masalah kesihatan mental di tempat kerja ini akan merugikan organisasi dan menjadi pembunuh senyap kepada tenaga kerja yang berkualiti.

 Image result for WOMEN MENTAL ILLNESS

Pihak majikan perlu mengambil kira faktor tekanan kerja dan risiko-risiko psikososial dalam mempromosikan strategi keselamatan serta kesihatan pekerjaan kerana ia dapat mengurang kes penyakit mental pekerja. Jika majikan menjaga kesihatan mental pekerja, ia menjadi satu pelaburan jangka panjang kepada organisasi. Ini kerana pekerja yang sejahtera akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan mengurangkan kos organisasi dalam menguruskan masalah mental serta salah laku pekerja.

Apabila seseorang pekerja itu berasa gembira untuk ke tempat kerja, ini bermakna persekitaran kerja mereka adalah sihat. Kalau pekerja malas dan sering tidak berminat hadir ke tempat kerja? Mungkin majikan perlu menyemak kembali masalah dalaman yang berlaku di tempat kerja. Bertenang sebentar, dan lakukan tindakan sesuatu menyelamatkan kualiti kerja anda dan semua ahli pasukan!

 

SUMBER ARTIKEL : CERNA MINDA

BERTARIKH : 23 OKT 2018

PENGARANG : ZULKARNAIN ABIGAIL

Tarikh Input: 06/08/2019 | Kemaskini: 06/08/2019 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXETKAK~