Konsep Audit Dalam Menurut Perspektif Islam | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Konsep Audit Dalam menurut Perspektif Islam

Konsep Audit Dalam menurut Perspektif Islam

Carian artikel oleh : En. Mohd Nasarudin Ismail (Pembantu Tadbir (Kewangan)

 

Penulis : Puan Dalmie Shahrul Suryati binti Azmee Pensyarah Fakulti Pengajian Teknokorporat Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur

 

Pengurusan audit dalaman menurut perspektif Islam semakin menjadi pemerhatian dalam kalangan ilmuan bukan sahaja di Malaysia, malah menjadi perhatian di seluruh dunia. Tumpuan utamanya adalah kepada faktor dalaman bagi memberi impak terhadap kejayaan pembangunan modal insan dalam sesebuah organisasi serta memberikan kepuasan bekerja dikalangan pekerja di sesebuah organisasi. Berdasarkan takrifan piawaian oleh “Institute of Internal Audit” (IIA, Malaysia), Audit Dalaman adalah suatu aktiviti bebas dan objektif yang memberi jaminan dan rundingan untuk menambah nilai dan meningkatkan operasi bagi sesebuah organisasi. Proses ini dapat membantu untuk mencapai tujuannya dengan membawa pendekatan disiplin yang lebih sistematik untuk menilai dan meningkatkan keberkesanan proses pengurusan risiko, kawalan dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.

 

Berpegang kepada prinsip dalam tataetika Audit Dalam, juruaudit dalaman dikehendaki menggunakan dan mendukung prinsip integriti, keobjektifan, kerahsiaan, dan kecekapan. Prinsip ini selaras dengan prinsip islam yang mementingkan sikap dan nilai-nilai yang murni seperti jujur, amanah serta kebertanggungjawaban dalam melaksanakan sesuatu perkara. Dalam islam fungsi audit ini disebut sebagai 'tabayyun' atau memeriksa kebenaran maklumat yang disampaikan dari sumber yang kurang dipercayai supaya maklumat yang disajikan sesuai dengan nilai-nilai dan ketentuan syariah.

 

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan text tersebut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65). Disebabkan ini peranan audit dalaman itu penting disesebuah organisasi. Juruaudit dalam perlu melaksanakan amanah untuk memastikan proses tadbir urus dan kewangan di sesebuah syarikat berada dalam kondisi yang baik teratur dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

 

Peranan Audit dalam yang selaras dengan perspektif islam merujuk kepada 4 prinsip utama yang telah di gariskan sebelum ini iaitu prinsip integriti, keobjektifan, kerahsiaan dan kecekapan. Integriti juruaudit dalaman membentuk kepercayaan yang menjadi asas bagi kebergantungan terhadap pertimbangan mereka. Selain itu, juruaudit dalaman juga perlu menunjukkan tahap keobjektifan profesional tertinggi dalam pengumpulan, penilaian, dan penyampaian maklumat yang berkaitan dengan aktiviti atau proses yang sedang dikaji. Juruaudit dalaman juga perlu membuat penilaian yang seimbang tentang semua keadaan berkaitan dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri atau pihak lain dalam membuat pertimbangan. Disebabkan faktor ini juga, bahagian pengurusan di sesebuah organisasi tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dalam setiap proses pengauditan dalaman yang dijalankan bagi mengelakkan konflik berkepentingan berlaku. Dalam masa yang sama, juruaudit dalaman pula perlu menghormati nilai dan hak ke atas maklumat yang diterima dan tidak mendedahkan maklumat tanpa kebenaran Jawatankuasa Audit Dalam melainkan dengan keperluan undangundang atau profesional untuk berbuat demikian. Kecekapan juruaudit dalaman juga perlu dalam menggunapakai pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman dalam melaksanakan khidmat audit dalaman.

 

Oleh yang demikian, bagi memastikan proses audit dalaman yang dijalankan mengikut etika dan tatasusila yang betul, bahagian pengurusan di sesebuah organisasi perlu memberikan kepercayaan dan ruang kepada juruaudit dalam dalam melaksanakan proses audit dalaman bagi tujuan penambahbaikan dalam sesebuah organisasi. Perkara ini menjadi asas penting mengikut perspektif islam bahawa setiap sesuatu yang berlaku perlu mendapatkan penyemakan serta pengesahan yang rasmi bagi memastikan maklumat terakhir yang disampaikan kepada orang ramai yakni pekerja adalah benar dan sahih tanpa mempunyai sebarang bentuk penyelewengan maklumat.

 

Sebagai kesimpulannya, bukan hanya majikan di sesebuah organisasi malahan juruaudit dan akauntan syarikat juga perlu menitik beratkan semua nilai-nilai dan etika yang berteraskan islam supaya mereka akan sentiasa beringat bahawa setiap khalifah dimuka bumi Allah ini akan dipertanggungjawabkan untuk semua pekerjaannya dihadapan Allah s.w.t. Penerangan yang sedikit ini mudah-mudahan boleh meningkatkan pengetahuan kita bahawa audit dalaman yang berteraskan perspektif Islam ini sudah mula diaplikasikan dalam kebanyakan organisasi selaras dengan perkembangan sistem ekonomi Islam.

Tarikh Input: 01/02/2023 | Kemaskini: 01/02/2023 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDdRAu~