Ketoksikan Budaya Hustle Demi Hasil | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Ketoksikan Budaya Hustle Demi Hasil

Ketoksikan Budaya Hustle Demi Hasil

Carian artikel oleh: Pn. Marziati Md Din (Pegawai Kewangan)

Article oleh: Umi Fatehah

Sumber: RELEVAN.com.my

 

KITA semua pernah mendengar masyarakat sekeliling berkata kita perlu hustle atau bekerja keras demi mendapatkan hasil yang lumayan.

Apa yang dimaksudkan ialah sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja boleh mencapai matlamat mereka jika mereka melakukan hanya satu perkara iaitu bekerja keras untuk berjaya. Ia adalah pemikiran yang tertanam secara mendalam ke dalam norma masyarakat kini. 

Tetapi kita juga tahu terdapat beberapa masalah sebenar dengan keletihan (burn out) dan tekanan. Dalam kalangan pekerja global, tahap tekanan telah mencapai tahap tertinggi sepanjang tahun ini. 

Jadi bagaimanakah pekerja boleh berkembang maju apabila budaya hustle hari ini memerlukan mereka bekerja lebih keras, kekal dalam dunia kesibukan dan dijangka untuk sentiasa memberi yang terbaik dalam pekerjaan?

Pada asalnya, pemikiran ini meluas dalam kalangan usahawan yang sentiasa digesa oleh penceramah motivasi untuk bekerja lebih keras. Secara sarkastiknya, siapa yang memerlukan masa lapang apabila anda membina empayar perniagaan yang berjaya?

Budaya bekerja keras demi hasil juga sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan pekerja sepenuh masa, terutamanya generasi muda.

Sama ada mereka bekerja sambilan, bekerja sampingan atau bekerja lebih masa. Kerja telah menjadi keutamaan yang sebenarnya menyusahkan dan melelahkan.

 

Ketoksikan budaya kerja keras

Beberapa tahun belakangan ini, selebriti, pempengaruh dan pemimpin syarikat telah mengagungkan kehidupan kerja keras yang pada hakikatnya kelihatan seperti gila kerja (workaholic).

Budaya ini mungkin menjadi semakin tular di media sosial, tetapi hakikatnya ia bukan perkara baharu. 

Bermula usia muda, pelajar sudah diajar agar lebih mengutamakan gred mereka daripada kehidupan sosial. Kemudian apabila mereka mendapat pekerjaan, majikan pula cenderung memberi ganjaran kepada pekerja yang datang awal dan pulang lewat kerana bekerja lebih masa.

Sejak kecil, kita diberitahu bahawa jika kita bekerja keras, kita boleh menjadi kaya dan berjaya.

Sesetengah orang mungkin mencapai kebahagiaan daripada usaha mereka. Namun, budaya bekerja keras ini sebenarnya mencipta kitaran toksik. 

Ia memberitahu kita bahawa walaupun kita sudah bekerja keras, kita sebenarnya perlu bekerja lebih keras. Ibaratnya, anda sudah memberi 100 peratus tenaga dan idea untuk kerjaya, tetapi ia tidak mencukupi. Jadi, anda perlu memberi lebih lagi untuk berjaya.

 

Telitikan sama ada budaya ini diagungkan di syarikat anda atau tidak

Budaya kerja syarikat anda memainkan peranan penting dalam kepuasan, penglibatan dan produktiviti pekerja. Tetapi budaya bekerja keras boleh memberi kesan negatif kepada ketiga-tiga faktor ini.

Jadi bagaimana untuk mengenal pasti jika budaya ini telah menjadi kebiasaan di tempat kerja anda? Berikut adalah beberapa tanda utama.

  • Pekerja dipuji atau diberi ganjaran kerana bekerja lebih masa
  • Perlu bekerja di hari minggu atau hari cuti tanpa mengira masa
  • Ramai yang berbangga tentang tidak cukup tidur, tidak makan kerana terlalu sibuk bekerja dan tabiat tidak sihat yang lain
  • Pekerja berbangga kerana tidak menggunakan cuti tahunan (atau pekerja digalakkan untuk tidak mengambil cuti)
  • Kerja lebih diutamakan dan kehidupan peribadi diketepikan
  • Apabila seseorang meminta bantuan, mereka diberitahu untuk mencari penyelesaian kreatif dan tidak diberi bantuan atau sokongan tambahan

Jika mana-mana petanda di atas ini kedengaran biasa terjadi, mungkin persekitaran kerja anda dibelenggu oleh budaya bekerja keras yang serius. 

Hakikatnya, pekerja yang mementingkan keseimbangan kerjaya dan kehidupan menunjukkan prestasi dan produktiviti yang lebih bagus berbanding pekerja yang terlalu bekerja keras. Mahu tahu sebabnya? Baca penjelasan lanjut di bahagian dua berkaitan topik ini. 

Tarikh Input: 27/09/2023 | Kemaskini: 27/09/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEdMAk~