Integrasi AI, Kecerdasan Manusia Pertingkat Operasi Syarikat | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Integrasi AI, Kecerdasan Manusia Pertingkat Operasi Syarikat

Integrasi AI, Kecerdasan Manusia Pertingkat Operasi Syarikat

Carian Oleh : En. Sharul Azman Ramli

Artikel Oleh : Dr. Ahmad Zamzuri Mohamad Ali | Berita Harian

Sumber : Berita Harian Online

 

Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dilihat mula mengubah cara syarikat dan organisasi beroperasi, menimbulkan persoalan mungkinkah AI akan menggantikan manusia sepenuhnya untuk membolehkan mesin atau sistem bekerja secara pintar pada masa hadapan.

Perkara ini tidak mustahil menjadi kenyataan. Jika ditinjau perkembangan revolusi industri (IR), transformasi ketara dapat dilihat adalah peralihan guna tenaga manusia kepada mesin.

Dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), peralihan ini dilihat semakin ketara berlaku apabila komponen utamanya ialah aplikasi kepintaran bersepadu teknologi internet benda (IoT) iaitu sistem bersepadu berasaskan komputer dan internet, merangkumi aspek automasi dan AI.

Secara amnya, AI ialah bidang dalam sains komputer dan kejuruteraan berkaitan pembangunan sistem atau ejen pintar mampu meniru tingkah laku manusia. Kecerdasan sistem dibangunkan ini ditentukan kapasiti data atau maklumat dimiliki serta keupayaannya melaksanakan tugasan yang sudah diprogramkan.

Hal ini sama dengan manusia yang kecerdasan mereka biasanya ditentukan kepada kapasiti maklumat dalam struktur memori otak dan keupayaan memproses maklumat bagi menyelesaikan masalah.

Walaupun AI dilihat berpotensi berfungsi seperti manusia dalam banyak keadaan, namun ia tetap memiliki kekurangan daripada aspek fleksibiliti dan keupayaan pelbagai tugas seperti manusia.

AI juga hanya mampu berfungsi berdasarkan apa yang diprogramkan. Mengambil kira halangan ini, IR berikutnya mengesyorkan manusia dan sistem atau mesin pintar perlu berkolaborasi atau bekerjasama.

Bermakna manusia dan sistem atau mesin AI dihubungkan supaya dapat berfungsi bersama. Kecerdasan manusia dan AI digabungkan bagi meningkatkan produktiviti. Namun, revolusi industri kelima atau IR 5.0 ini dilihat masih dalam peringkat konsep dan permulaan.

Foto hiasan.

 

Janjikan pekerjaan baharu

Jika diamati, konsep IR 5.0 menjanjikan lebih banyak pekerjaan baharu berbanding menghapuskan peluang.

Kemahiran baharu akan diperlukan seperti dalam bidang pengaturcaraan, pengawalan dan pengurusan sistem pintar, pembangunan teknologi pintar baharu yang belum wujud dan sebagainya.

Laporan Future of Jobs Report 2020 oleh World Economic Forum WEF meramalkan teknologi inovatif akan menghapuskan 85 juta pekerjaan menjelang 2025. Namun, dalam tempoh sama bakal mewujudkan 95 juta pekerjaan baharu dengan AI akan menjadi pekerjaan kedua paling banyak permintaan pada 2025.

Menyedari kepentingan perkara ini, kerajaan peruntukkan hampir RM50 juta geran sepadan untuk automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan AI bagi menggalakkan lebih ramai graduan tempatan menceburi bidang ini.

Dalam menangani persaingan antara manusia dan kecerdasan buatan, adalah penting difahami kenapa industri masa hadapan cenderung kepada AI.

AI sebenarnya mampu berfungsi 24 jam tanpa henti. Di samping itu, AI mampu meningkatkan produktiviti dengan penghasilan keluaran secara pantas dengan ralat minimum.

AI juga mudah diurus dengan masalah integriti dan pengurusan konflik minimum. Namun, tidak dinafikan, AI memiliki kelemahan tersendiri yang memerlukan kajian dan penyelidikan berterusan bagi menjadikannya mampu berfungsi seperti manusia.

Secara sedar atau tidak sedar, AI menatijahkan perubahan besar dalam kehidupan manusia. Walaupun AI berada dalam arus perdana, teknologi ini masih dalam proses peneguhan dan memerlukan tempoh masa lama untuk mencapai kesempurnaan.

Bermakna, sekiranya manusia tidak mampu bersaing dengan AI dalam industri pekerjaan masa hadapan, manusia tetap boleh mencari ruang bekerjasama dengan AI seperti konsep diunjurkan dalam IR 5.0.

Profesor di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tarikh Input: 20/03/2023 | Kemaskini: 30/03/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXETMAA~