Carian Artikel Oleh : En. Wan Muhammad Isam
Sumber : SPRM
Oleh : Tan Sri Lee Lam Thye, Ahli Institut Integriti Malaysia
Etika dan integriti adalah penting untuk amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang baik di semua tempat kerja. Ahli Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau sering ditanya bagaimana amalan tidak beretika dan rasuah boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"Apakah kesan rasuah terhadap keselamatan di tempat kerja dan orang ramai?
"Etika, kejujuran dan moral adalah elemen utama kepada konsep integriti. Di tempat kerja, mereka yang bertindak dengan integriti akan sentiasa bercakap benar, bertanggungjawab, telus dan boleh dipercayai.
"Ini termasuklah melayan rakan sekerja, pihak berkepentingan dan pelanggan dengan perasaan hormat," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, penjawat awam, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mereka dari sektor korporat harus sentiasa menjaga integriti serta mengelakkan amalan rasuah.
Katanya, integriti perlu diterapkan apabila mereka menyertai sesebuah organisasi supaya lama-kelamaan ia akan menjadi sebahagian daripada identiti mereka.
"Jika seseorang bertindak dengan integriti, dia akan melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhati.
"Menurut Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM), penghapusan penipuan merupakan aspek penting dalam pengurusan keselamatan yang mampan, terutamanya dalam menguruskan OSH, kemalangan atau kejadian yang boleh berlaku di tempat kerja," katanya.
Lee berkata, berikut ialah beberapa contoh amalan penipuan yang boleh memberi kesan kepada hasil keselamatan dalam pelbagai cara.
i) Pembelian PPE berkualiti rendah atau sub-standard atau alatan/peralatan, ini boleh meningkatkan risiko kecederaan pekerja.
ii) Rekod yang tidak tepat, mengakibatkan penilaian yang salah terhadap situasi berbahaya atau ciri-ciri produk atau pengagihan yang salah bagi sokongan yang sangat diperlukan untuk membetulkan persekitaran yang berisiko.
iii) Mengambil jalan pintas, memintas SOP, akan mengakibatkan amalan tidak selamat dan tindakan tidak selamat.
iv) Penyalahgunaan kuasa, ini mengakibatkan eksploitasi makhluk yang lebih lemah untuk bekerja dalam persekitaran kerja yang berbahaya, kotor dan bertujuan semata-mata untuk mencapai matlamat peribadi.
v) Konflik kepentingan, dimana akan memberi ganjaran kontrak kepada vendor yang kurang cekap, mewujudkan bahaya keselamatan dan mendedahkan pekerja untuk mengendalikan persekitaran berbahaya tanpa perlindungan yang mencukupi.
Katanya, tidak dinafikan bahawa hanya kejujuran, integriti dan akhlak yang dapat membantu menangani masalah yang disebutkan di atas dapat mencegah amalan rasuah.
"Kita tidak seharusnya bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkan ia menjadi budaya dalam masyarakat kita terutamanya dalam kalangan pengamal OSH.
"Dalam usaha memerangi rasuah, elemen integriti, proses tadbir urus, moral dan tingkah laku beretika harus disepadukan ke dalam sukatan latihan keselamatan sedia ada. Semua pengamal OSH mesti mengamalkan integriti dan membenci rasuah," katanya.
Menurutnya, mereka perlu menjunjung nilai etika dan moral supaya apabila mereka berada di tempat kerja, mereka akan menyedari kepentingan untuk tidak terlibat dalam rasuah.
Katanya, walaupun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah dialu-alukan, adalah sangat jelas bahawa perjuangan itu harus merangkumi semua tempat kerja.
"Rasuah di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan dan tindakan perlu dipergiatkan untuk menangani ancaman ini dalam masyarakat kita.
"Rasuah dalam apa jua bentuk tidak boleh dibiarkan kerana ia memiskinkan negara, menyusahkan rakyat dan menjadikan ekonomi merosot.
"Jika ia melibatkan pengamal dan agensi OSH, ia boleh mengakibatkan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.
"Kita tidak boleh lengah dan leka dengan rasuah kerana ia bukan sahaja menyerang fabrik ekonomi dan sosial masyarakat tetapi juga asas moral ketenteraman," katanya.
Beliau menjelaskan usaha harus dilakukan secara berterusan untuk memupuk nilai integriti dan etika kerana orang yang berintegriti tinggi tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.
Lee menegaskan, ia sepatutnya menjadi matlamat semua pengamal OSH untuk memacu Kecemerlangan OSH dengan integriti untuk masa hadapan.
Tarikh Input: 22/10/2024 | Kemaskini: 22/10/2024 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.