Carian Artikel : Pn. Balqis Binti Md Ruslan, Bahagian Audit Dalam, UPM
Artikel Oleh : Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia
Sumber : Berita Harian

Ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal memperkenalkan lebih banyak langkah penjimatan sebagai tindak balas kerajaan menangani kesan krisis dan perang di Asia Barat yang masih berlanjutan.
Ini satu langkah tepat dan wajar ketika ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal dilindungi dalam keadaan ruang fiskal terjejas akibat impak ketidakstabilan geopolitik dan peperangan berterusan di Asia Barat yang belum ada kepastian kesudahannya.
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kesan rantaian daripada serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel ke atas Iran, akhirnya menjejaskan ekonomi negara.
Kesan ini, seperti peningkatan dalam kos sara hidup rakyat, walaupun sudah berlaku sekarang, dijangka akan dirasakan sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini. Oleh itu, persediaan awal perlu dilakukan, memandangkan krisis ini dijangka berlarutan.
Jika ia tamat sekarang pun, usaha pemulihan untuk kembali normal seperti sebelum perang pasti memakan masa beberapa bulan atau pun tahun.
Kesan konflik Asia Barat terhadap pasaran tenaga dan rantaian bekalan global, termasuk Malaysia boleh berlarutan sehingga tahun depan walaupun Selat Hormuz dibuka sepenuhnya Jumaat ini susulan perjanjian penamatan perang antara AS dengan Iran.
Walaupun laluan perkapalan itu boleh segera kembali beroperasi, pemulihan perdagangan global dijangka ambil masa lebih lama.
Jangkaan langkah penjimatan dalam Belanjawan 2027 ini juga satu kesinambungan kepada cadangan langkah penjimatan terhadap Perbelanjaan Mengurus berdasarkan peruntukan Belanjawan masih berbaki bagi 2026 dengan jangkaan penjimatan sehingga RM10 bilion membabitkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi pada akhir April lalu.
Malangnya, ada sesetengah pihak memutarbelitkan tindakan kerajaan ini dengan pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, seperti mendakwa pemotongan ini berlaku terhadap perbelanjaan penting, terutama daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan tuduhan tindakan ini satu bentuk obsesi kepada pilihan raya.
Realitinya, cadangan kepada pemotongan ini hanya kepada perbelanjaan tidak kritikal tanpa menjejaskan perkhidmatan asas dan penting kepada rakyat serta untuk kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Baru-baru ini, Anwar juga memberi jaminan harga bahan api tidak akan dinaikkan. Maksudnya, kerajaan akan terus menanggung subsidi bahan api setiap bulan dalam usaha melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global.
Kerajaan dijangka berbelanja sekitar RM3 bilion hingga RM5 bilion sebulan bagi menampung subsidi berkaitan bahan api. Sebelum perang di Iran, kos sebulan hanya sekitar RM700 juta sebulan. Kesan keseluruhan kos perbelanjaan subsidi pada tahun ini dijangka hampir RM60 bilion, yang mana jangkaan dalam Belanjawan 2026 hanya RM15 bilion.
Maka, sudah pasti perancangan dalam Belanjawan 2027 akan meletakkan peruntukan agak tinggi kepada komponen subsidi dan bantuan sosial di bawah Perbelanjaan Mengurus.
Salur Kembali Kepada Rakyat
Memandangkan kerajaan tidak boleh melakukan pinjaman di bawah Pinjaman Mengurus dan usaha dalam bentuk melakukan reformasi struktur untuk meningkatkan tingkat hasil negara memakan masa, langkah terbaik ketika dan perbelanjaan tahun hadapan adalah dengan melakukan dasar penjimatan.
Hasil daripada penjimatan ini, kerajaan dapat dan dijangka menyalurkan kembali kepada rakyat dengan peningkatan dalam perbelanjaan subsidi bahan api dan peningkatan bantuan sosial diperlukan secara bersasar.
Ia juga seperti peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang kini membabitkan kenderaan jenis jip dan pikap, peningkatan dalam bantuan secara langsung kepada golongan terjejas, seperti peningkatan bantuan dalam BUDI Agro Komoditi, BUDI Diesel, pelbagai ikhtiar segera seperti peningkatan bantuan khas kepada petani dan pesawah atau peningkatan dalam Program Jualan Rahmah MADANI.
Disamping itu, bantuan langsung kepada rakyat memerlukan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga dijangka akan diteruskan dan ditingkatkan pada tahun hadapan.
Semua ini intervensi langsung daripada kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat kekal dilindungi ketika berdepan ketidaktentuan krisis Asia Barat ini.
Komitmen kerajaan untuk tidak meningkatkan hutang sedia ada juga inisiatif tepat bagi mengelakkan keadaan fiskal lebih parah pada masa hadapan.
Ini penting supaya perbelanjaan kerajaan dapat difokuskan kepada aspek meningkatkan daya saing ekonomi negara dan kapasiti produktif ekonomi masa hadapan.
Tarikh Input: 22/06/2026 | Kemaskini: 29/06/2026 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.