Carian Artikel Oleh : Zainal Abidin Ahmad | Penolong Akauntan Bahagian Audit Dalam
Lebih separuh daripada rakyat Malaysia (55 peratus) berpendapat bahawa tidak menjadi masalah atau biasa bagi orang ramai membesar-besarkan pendapatan mereka dalam permohonan pinjaman, jauh lebih tinggi berbanding purata global iaitu sebanyak 39 peratus.
Malah lebih daripada satu dalam enam (18 peratus) rakyat Malaysia percaya bahawa ia adalah perkara biasa bagi orang ramai dengan sengaja memutarbelitkan maklumat pendapatan mereka ketika membuat permohonan gadai janji.
Namun, hampir separuh (49 peratus) responden percaya bahawa perbuatan memalsukan tuntutan insurans dilihat sebagai bentuk penipuan yang amat terlarang dan percaya bahawa perbuatan ini tidak boleh diterima.
Peneraju perisian analisis global FICO menerusi penyelidikan penipuan pengguna global terkini, mendedahkan sikap yang membimbangkan terhadap penipuan kewangan pihak pertama pada peringkat global dan di pasaran Malaysia.
Menurut FICO, tiga daripada lima rakyat Malaysia berpendapat bahawa ini adalah perkara biasa atau boleh diterima bagi sesetengah kes untuk memutarbelitkan maklumat pendapatan mereka dalam permohonan akaun bank (66 peratus), pembiayaan automotif (64 peratus), atau gadai janji (59 peratus).
"Ramai rakyat Malaysia selesa dengan membesar-besarkan maklumat pendapatan dalam permohonan pinjaman peribadi mereka seterusnya merumitkan lagi integriti kewangan.
"Kira-kira satu pertiga (36 peratus) daripada pengguna Malaysia percaya bahawa perbuatan membesar-besarkan maklumat pendapatan dalam permohonan pinjaman peribadi ini tidak boleh diterima sama sekali, manakala satu pertiga lagi (37 peratus) mendapati perbuatan ini boleh diterima di bawah syarat tertentu.
"Kira-kira satu daripada enam responden berpendapat bahawa membesar-besarkan maklumat pendapatan dalam permohonan pinjaman peribadi, gadai janji dan pinjaman kereta sebagai tingkah laku biasa dan boleh diterima," katanya dalam kenyataan.
Pemimpin segmen APAC untuk kitaran hayat risiko dan pengurusan keputusan di FICO, Aashish Sharma berkata, bank Malaysia menghadapi ancaman 'pinjaman penipu' dengan lebih separuh daripada pengguna Malaysia melihat pemalsuan maklumat pendapatan sebagai sama ada boleh diterima atau wajar.
"Penting bagi pengguna Malaysia memahami bahawa memutarbelitkan maklumat pendapatan, walaupun secara tidak sengaja, boleh menyebabkan akibat yang serius," katanya.
Menurutnya, sikap yang ditunjukkan pengguna Malaysia berbeza dengan ketara berbanding pengguna di seluruh dunia.
Ini kerana tinjauan itu mendedahkan bahawa majoriti pengguna (56 peratus) dengan tegas menolak idea membesar-besarkan maklumat pendapatan dalam permohonan pinjaman, serta berpendapat bahawa perkara ini sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
Menurutnya, tinjauan FICO mendedahkan bahawa tekanan kos sara hidup ke atas pengguna berpotensi membentuk pandangan tentang penipuan dalam permohonan.
"Ini ialah isyarat kuat kepada institusi kewangan untuk melaksanakan strategi pencegahan penipuan yang berkesan bagi melindungi perniagaan dan pelanggan masing-masing," katanya.
Tinjauan itu dijalankan pada November 2023 oleh syarikat penyelidikan bebas yang mematuhi standard industri penyelidikan.
Seramai 1,001 rakyat dewasa Malaysia ditinjau, bersama dengan kira-kira 12,000 pengguna lain di Kanada, Amerika Syarikat, Brazil, Colombia, Mexico, Filipina, Indonesia, India, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Sepanyol.
Tarikh Input: 27/02/2025 | Kemaskini: 25/04/2025 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.