BAHANA RASUAH | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » BAHANA RASUAH

BAHANA RASUAH

Tumbuk Rusuk adalah kata-kata kiasan yang saya percaya masih lagi ramai orang yang faham akan maknanya. Dalam masa yang sama saya menjangkakan juga ada orang yang mempunyai fahaman tidak sama apa yang hendak disampaikan oleh kiasan itu. Maka dengan itu ianya tidak berfungsi sebagai kiasan. Misalnya jika ada yang memahami Tumbuk Rusuk itu sebagai satu perbuatan untuk mencederakan seseorang melalui tumbukan ke rusuk orang itu maka fahami itu bukanlah maksud yang hendak disampaikan oleh kiasan itu.

Tetapi mencederakan orang itu ada kaitan dengan maksud kiasan itu. Cuma fahaman bentuk kiasan itu tidak melibatkan perbuatan secara fizikal menumbuk rusuk seseorang. Ia hanya kiasan saja yang menyebabkan seseorang itu cedera akibat tumbuk rusuk. Maknanya kedua-dua fahaman itu merujuk kepada akibat dari perbuatan tumbuk rusuk iaitu kesakitan/kecederaan.

Dari segi tumbuk rusuk secara fizikal ianya boleh mencederakan seseorang sehingga membuatkannya rasa sakit dan mungkin hilang /kurang daya upaya untuk menjalankan kerja seperti biasa. Usaha bagi meningkatkan produktivitinya akan terhalang, terganggu dan tersekat disebabkan kecederaan itu. Apa tah lagi kalau tumbukan itu terlalu kuat dan terlalu kerap berulang kali. Maka lumpuhlah orang itu sehingga tidak mampu melaksanakan kerja, tugas dan tanggongjawab.

Kesannya tertimpa bukan saja kepada diri orang yang kena tumbuk rusuk itu bahkan kepada mereka yang mengharapkan khidmat orang itu kerana yang diharapkan memberi khidmat telah lumpuh.

Bagaimana pula  dengan orang yang melakukan tumbukan. Adakah orang itu bebas dari dikenakan tindakan? Dari segi hukum keadilan, sewajarnya orang yang mencederakan seseorang melalui perbuatan itu wajar diambil tindakan, diadili secara terbuka akan perbuatannya itu. Tetapi ada masanya perbuatan itu terlepas pandang atau sengaja terlepas pandang.

Berbalik kepada Tumbuk Rusuk sebagai kata-kata kiasan. Ianya membawa kesan yang sama juga iaitu kecederaan di kedua-dua belah pihak, si penumbuk dan si kena tumbuk. Kesannya juga akan melebar kepada mereka yang mengharapkan perkhidmatannya.

Maknanya fahaman secara kiasan mahu pun fahaman perbuatan sebenar akan merujuk kepada kesan yang sama iaitu kesan yang tidak baik kepada penumbuk, yang kena tumbuk dan pihak lain yang mengharapkan perkhidmatan orang yang kena tumbuk.

Saya percaya atas asas akibat kecederaan dari perbuatan tumbuk rusuk itu maka perbuatan itu telah dikiaskan sebagai tidak baik dan perlu dielakkan oleh semua pihak. Jadi jangan Tumbuk Rusuk walaupun tidak dilakukan secara fizikal.

Bagaimana pula dengan Makan Suap? Adakah ini juga satu kiasan? Jawapannya boleh saja ya atau bukan bergantung kepada fahaman kita atau apa yang sebenar berlaku.

Related image

Makan suap jika difahami sebagai perbuatan memasukkan sesuatu kedalam mulut untuk dikunyah sebelum ditelan dan jika diteruskan membolehkan seseorang itu rasa kenyang. Dan kadang-kadang kalau terlalu kenyang disebabkan banyak makan akan  mendatangkan kemudaratan dari segi kesihatan. Paling kecil kemudaratan ialah kita akan rasa mual yang mengakibatkan  muntah.

Suapan makanan biasanya kita yang melakukan sendiri melainkan anak-anak kecil yang masih belum mampu menyuapkan makanan kedalam mulut sendiri atau mereka yang tidak berupaya melakukan disebabkan sakit teruk/tenat.

Makan suap juga ialah satu dari kiasan. Mengkiaskan perbuatan makan suap itu untuk memberi maksud menerima sesuatu dengan cara tidak wajar. Menerima sesuatu yang bukan hak. Ertinya ada pihak lain yang memasukkan makanan kedalam mulut kita jika mahu dilihat dari segi perbuatan fizikal. Tugas kita hanya mengunyah makanan itu dan terus menelannya. Kita tidak perlu ambil tahu dari mana makanan itu datang dan bagaimana makanan itu diperolehi sama ada dengan secara suasah payah dan sebagainya. Tugas yang kita tahu ialah makan sampai kenyang. Ada masanya kita tidak kenal erti kenyang.

Akibatnya ialah terbentuk sifat dan sikap tidak kesah. Semua ditelan saja asalkan ada makanan yang disuapkan. Walaupun banyak dan kerap yang disuap , masih lagi tidak merasai nikmat kenyang. Maka seperti dengan tumbuk rusuk, makan suap ini juga satu kiasan tentang perbuatan yang tidak baik.

Rasuah pula bagaimana? Saya percaya secara amnya semua orang faham perbuatan rasuah ini adalah satu perbuatan yang tidak baik dan amat dikutuk dan dikeji oleh semua orang termasuk mereka yang memberi dan menerima hasil perbuatan itu. Pelik bukan? Saya tidak merasa pelik kerana itu yang sebenarnya berlaku yang semua orang sedia maklum.

Hanya saya hendak memanjangkan apa yang saya telah dimaklumkan dalam  khutbah Jumaat yang baru lepas di sebuah masjid bahawa dalam ayat 88 Surah al-Baqarah perkara rasuah ini ada disebut dan menjadi satu perkara yang tidak disukai Allah. Maka kalau Allah tidak suka selama-selamanya bermaksud tidak suka. Tidak seperti manusia walaupun dikutuk , dikeji akan perbuatan rasuah itu , melakukannya sama ada sebagai pemberi atau penerima adalah perkara biasa saja.

Dan sekarang ini ada lagi perkataan-perkataan yang membawa maksud yang sama dengan tumbuk rusuk, makan suap dan rasuah. Antara nya ialah minyak pelincir, komisyen, bayaran perunding, tips, sagu hati, keadaan menang menang dan banyak lagi. Cuma setengah perkataan-perkataan  itu  boleh mengelirukan dan nampak bersih saja atau dinampakkan bersih.

Image result for BRIBERY

Dengan demikian janganlah tumbuk rusuk, jangan makan suap, jangan rasuah dan jangan yang lain-lain yang nampaknya bersih atau sengaja dinampakkan seperti bersih. Ini bukan larangan saya. Ini larangan Allah. Cakap saya adalah cakap manusia yang boleh diragukan. Cakap Allah tiada keraguan.

 

SUMBER ARTIKEL : http://theflowersellingboy.blogspot.com

BERTARIKH : 21 Nov 2011

PENGARANG : bicara minda

Disediakan oleh : Pn. Nurul Ezani Binti Abdul Malek (Pen. Akauntan)

Tarikh Input: 06/08/2019 | Kemaskini: 07/08/2019 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDdSAO~