Carian Artikel Oleh : En. Wan Muhammad Isam
Sumber : SPRM
USAHA untuk melahirkan generasi madani yang berintegriti dan bebas rasuah perlu bermula dari peringkat sekolah kerana iltizam untuk jenayah ini lebih mudah diterapkan kepada pelajar berbanding individu dewasa.
Hakikatnya pada hari ini soal tadbir urus dan tatakelola yang pincang terus membelenggu anggota masyarakat apabila rasuah semakin menjadi masalah besar kepada negara umpama virus yang sukar diubati mencakupi semua sektor baik ekonomi, politik, pendidikan mahupun pentadbiran.
Nilai kerugian akibat ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan di pelbagai peringkat organisasi cukup membimbangkan dan dikhuatiri terus meningkat sehingga memudaratkan pertumbuhan ekonomi serta kemajuan negara sekali gus memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Peningkatan bilangan kes yang didedahkan dalam media dan dibawa ke muka pengadilan membuktikan bahawa walaupun pihak berkuasa terus melaksanakan pelbagai usaha pencegahan dan penguatkuasaan namun masalah jenayah kolar putih ini masih tidak dapat dinoktahkan.
Justeru tatkala kita memohon pihak berkuasa tidak berputus asa dan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha menerapkan budaya benci rasuah dan hidup berintegriti dalam kalangan anggota masyarakat sejak dari bangku sekolah.
Hal ini penting kerana golongan dewasa terlibat dalam masalah integriti pada ketika ini dilihat terlalu sukar untuk dibawa ke pangkal jalan memandangkan ia membabitkan soal sikap dan tingkah laku yang sudah sebati untuk satu tempoh lama termasuk menjadi budaya biasa dalam organisasi.
Bagi golongan yang lama bekerja budaya menerima rasuah atau menormalisasikan apa jua ketirisan menjadi kelaziman dan mereka hidup dalam dunia tersendiri serta sukar untuk berubah atau diubah walaupun pelbagai usaha pencegahan serta kesedaran dilaksanakan. Manakala bagi golongan muda yang baharu menceburi dunia pekerjaan pula dilihat terlalu mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya tidak sihat yang dibawa oleh pekerja senior sehingga meletakkan mereka dalam keadaan serba salah dan akhirnya turut terjebak. Situasi ini berlaku kerana jati diri dan nilai integriti yang ada dalam diri mereka terlalu lemah.
Oleh itu adalah lebih bijak untuk kita fokus kepada pelajar sekolah yang bakal membentuk generasi madani yang diidamkan dan usaha bersepadu ini memerlukan kerjasama serta komitmen pelbagai pihak seperti ibu bapa mahupun guru yang terlibat secara langsung dalam membentuk karakter, sikap juga tingkah laku anak-anak.
Usaha menerapkan nilai integriti perlu disusun dengan lebih berstruktur bermula dengan pendedahan dan kesedaran ibu bapa yang perlu diberi tanggungjawab untuk memulakan sesi pengajaran ilmu integriti di rumah sebelum anak memasuki alam persekolahan melalui pendidikan tidak formal dan juga amalan yang boleh dijadikan ikutan.
Justeru wajar untuk melatih bakal pengantin dan bakal ibu bapa sejak kursus pra perkahwinan sehingga kursus keibubapaan supaya mereka tahu dan sedar tanggungjawab untuk mendidik dan membentuk anak yang berintegriti. Hal ini penting kerana pada ketika ini tiada modul mendidik anak berintegriti dan tidak pernah menjadi satu modul yang menarik perhatian mana-mana pihak.
Kegagalan kita dalam hal ini akan menyebabkan pasangan muda yang bergelar ibu bapa tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut kerana soal menerapkan integriti sejak anak itu kecil mungkin dilihat terlalu taboo atau tidak penting sehingga tidak sedar impaknya kemudian hari.
LEBIH FORMAL
Selepas proses ini barulah kita boleh meletakkan tanggungjawab yang lebih berat kepada guru dan sekolah bermula dari sekolah rendah untuk memulakan proses penerapan budaya integriti secara lebih serius, formal dan berstruktur.
Ini bukan bermaksud kita mahu membebankan para guru dengan mata pelajaran tambahan atau baharu sebaliknya apa yang diharapkan hanyalah komitmen untuk melatih dan mendidik anak-anak ini melalui pelbagai aktiviti menarik baik di dalam mahupun luar bilik darjah secara lebih santai dan mudah untuk difahami.
Apa yang diharapkan ialah murid ini perlu diberi pendedahan tentang budaya hidup yang jujur, ikhlas, amanah dan sentiasa patuh kepada peraturan membabitkan semua aktiviti dalam kehidupan seharian.
Perkara ini boleh dibuat melalui pendekatan dan kebijaksanaan guru dengan menyelitkan elemen gaya hidup berpaksikan nilai-nilai positif ketika mengajar sesuatu mata pelajaran selain ketika mengendalikan aktiviti luar bilik darjah seperti kokurikulum mencakupi program badan beruniform, kelab dan sukan.
Penerapan nilai positif seperti jangan menipu guru dan ibu bapa serta rakan, jangan meniru dalam peperiksaan, jangan mengambil barangan rakan atau bukan hak kita, amanah dalam memikul tanggungjawab bila dilantik memegang jawatan seperti ketua kelas, ketua murid, ketua rumah sukan serta berlaku adil dalam semua urusan melalui aktiviti secara formal mahupun santai boleh memberi impak besar kepada murid.
Penghayatan dan pembudayaan amalan positif seperti ini secara berterusan dalam setiap aktiviti di sekolah pastinya membolehkan ia menjadi amalan sepanjang masa murid tersebut termasuk bila sudah meningkat dewasa dan akhirnya kita mampu membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah.
Tujuan utama di sini ialah kita mahu anak-anak sejak dari bangku sekolah rendah membiasakan diri dengan amalan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian mereka mencakupi aspek integriti dan jati diri yang kental. Hal ini penting kerana melakukan sesuatu perkara setiap hari secara konsisten akan menyumbang kepada pembentukan sikap, tingkah laku dan keperibadian individu terbabit yang akan dipegang sampai bila-bila.
Sesungguhnya sekolah adalah tempat terbaik untuk menyemai benih integriti dalam jiwa generasi muda sekali gus memulakan proses pencucian rasuah dari peringkat akar umbi.
Justeru besarlah harapan kita agar pihak kerajaan akan memberikan perhatian yang lebih berfokus untuk menerapkan amalan integriti dalam diri anak-anak sejak dari bangku sekolah lagi demi mencapai impian melahirkan masyarakat Madani yang bebas rasuah
Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 25/04/2025 | muhammad.isam

Tingkat 2,
Blok F, Bangunan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi(SPE),
Jalan Persiaran Tulang Daing,
Universiti Putra Malaysia,
43400 Serdang.