10 Inisiatif Pencegahan Rasuah Malaysia, Diiktiraf Amalan Baik Dunia | BAHAGIAN AUDIT DALAM audit
» ARTIKEL » 10 Inisiatif Pencegahan Rasuah Malaysia, Diiktiraf Amalan Baik Dunia

10 Inisiatif Pencegahan Rasuah Malaysia, Diiktiraf Amalan Baik Dunia

Carian Artikel Oleh : En. Wan Muhammad Isam, Bahagian Audit Dalam

Sumber : https://www.sprm.gov.my/index.php?page_id=103&contentid=3803&cat=BKH&language=my

 

Umum mengetahui bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) masih lagi boleh dipertingkatkan. Dalam CPI 2024, Malaysia memperoleh skor 50 mata dan berada di kedudukan ke-57 dari 180 negara.Skor dan kedudukan ini adalah tidak berubah berbanding tahun 2023.

Pelbagai usaha sedang giat dilakukan di peringkat nasional untuk meningkatkan prestasi Malaysia dalam CPI. Malah, kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang diketuai sendiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Walaupun gejala rasuah masih di tahap yang serius, ini tidak bermakna Malaysia kurang komitmen dalam membanteras jenayah ini.

Sebenarnya, usaha Malaysia dalam pencegahan rasuah adalahsangat komprehensif. Negara kita mempunyai kerangka perundangan yang lengkap,agensi yang efektif dan inisiatif yang pelbagai untuk meningkatkan integriti,tadbir urus dan pencegahan rasuah.

Bahkan, usaha Malaysia dalam pencegahan rasuah mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa. Salah satunya adalah pengiktirafan dunia berdasarkan pematuhan Malaysia dalam United NationsConvention Against Corruption (UNCAC).

 

Penglibatan Malaysiadalam UNCAC

UNCAC ialah konvensyen antarabangsa di bawah UnitedNations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang mewajibkan negara-negara anggota melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara menyeluruh. Konvensyenini sah di sisi undang-undang dan diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-BangsaBersatu.

Sehingga kini, UNCAC mempunyai 191 negara anggota. Malaysia menyertai UNCAC pada 9Disember 2003 dan diratifikasi pada 24 September 2008.

Penilaian pematuhan UNCAC tidak melibatkan sebarang penarafan (rating) dan tidak meletakkan sesebuah negara pada sebarang kedudukan (ranking). Tujuan utama penilaian adalah membantu negara anggota dalam memenuhi dan mematuhi kehendak UNCAC.

Malaysia telah melalui dua pusingan penilaian pematuhan UNCAC. Penilaian pusingan pertama dilaksanakan pada tahun 2012 hingga 2013 melibatkan pematuhan Malaysia terhadap Bab 3: Penjenayahan dan Penguatkuasaan Undang-undang dan Bab 4:Kerjasama Antarabangsa. Hasil penilaian tersebut, UNODC mengiktiraf lapan amalan baik bagi Bab 3 dan 15 amalan baik bagi Bab 4.

Penilaian pusingan kedua bagi Malaysia dilaksanakan pada tahun 2016 hingga 2017 melibatkan pematuhan terhadap Bab 2: Langkah-langkah Pencegahan dan Bab 5: Pemerolehan SemulaHarta Jenayah. Hasil penilaian, UNODC mengiktiraf sembilan amalan baik bagi Bab2 dan enam amalan baik bagi Bab 5.

ApabilaUNODC mengiktiraf sesuatu inisiatif itu sebagai amalan baik, perkara itu wajar dibanggakan. Laporan ringkasan eksekutif mengenai pematuhan Malaysia terhadap UNCAC serta amalan baiknya dipaparkan di laman sesawang rasmi UNODC. Negara-negara anggota UNCAC boleh menjadikan inisiatif negara sebagai contoh dan rujukan dalam pencegahan rasuah.

 

10 amalan baik Malaysia

Untuk manfaat pembaca, artikel ini akan berkongsi sepuluh amalan baik utama Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan UNODC.

Pertama, kewujudan seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang mewajibkan melaporkan transaksi rasuah atau cubaan rasuah. Kegagalan melaporkan penawaran, pemberian, permintaan atau penerimaan rasuah adalah satu jenayah. Sekiranya didapati bersalah, boleh dipenjara sehingga 10 tahun, atau didenda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya.

Contohnya, pada 2 Disember 2020, lima kakitangan sebuah kementerian didenda antara RM1,500 hingga RM2,000 kerana gagal melaporkan penyogokan kepada SPRM. Mereka telah ditawarkan suapan berjumlah RM200 hinggaRM600 dari orang tengah bagi tujuan mempercepatkan proses Permohonan Baharu Akaun Kementerian Kewangan untuk beberapa syarikat melalui sistem e-Perolehan.

Dalam konteks kerangka undang-undang juga, UNODCmengiktiraf (sebagai amalan baik) undang-undang jenayah negara yang tidak mempunyai had masa. Perkara ini membolehkan pendakwaan sesuatu kesalahan rasuahdibuat, tanpa terikat dengan sebarang tempoh masa.

Kedua, pengukuhan integriti di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan(SBK) melalui penubuhan Unit Integriti (UI). Model dan struktur UI ditentukan berdasarkan kajian penarafan risiko rasuah yang dilaksanakan oleh SPRM dari semasa ke semasa. Agensi diberi penarafan sama adarisiko tinggi, risiko sederhana atau risiko rendah.

UI bertindak sebagai focalpoint di agensi awam dan SBK dalam pengurusan integriti, pencegahan rasuah dan menggalakkan tadbir urus baik. Sehingga kini, sebanyak 455 agensi awamtelah menubuhkan UI, manakala 292 agensi melantik Pegawai Perhubungan Integritibagi melaksanakan fungsi UI.

Di SBK, UI dikenali sebagai Unit Integriti dan Governans(IGU). Sebanyak 262 SBK telah menubuhkan IGU, manakala 505 SBK telah melantik Pegawai Perhubungan Integriti untuk melaksanakan fungsi IGU.

SPRM turut menempatkan pegawai-pegawainya di agensi awamdan SBK, terutamanya yang ditarafkan sebagai risiko tinggi dan sederhana. Secara keseluruhannya, 97 pegawai SPRM ditempatkan di 57 organisasi.

Ketiga, kewujudan badan bebas yang bertanggungjawab untuk memantau SPRM dalammelaksanakan tugasnya, sama ada aspek operasi, pencegahan dan pendidikan.

Terdapat lima badan bebas yang memantau dan menasihatiSPRM iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga PenasihatPencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO), dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR). 

Melalui penilaian Bab 3 UNCAC, UNODC turut mengiktiraf peranan PPO dalam mengkaji kes yang diputuskan oleh Pendakwa Raya untuk tidak diteruskan pendakwaan. PPO juga boleh mengemukakan cadangan tanpa mengganggu budi bicara Pendakwa Raya.

Selaras dengan prinsip ketelusan, UNODC mengiktiraf penerbitan laporan tahunan panel, lembaga dan jawatankuasa pemantau SPRM sebagai amalanbaik.

Keempat, penubuhan Mahkamah Khas Rasuah sejak tahun 2011 dan hakim diarah menyelesaikan kes dalam masa setahun. Hakim akan dipertanggungjawabkan sekiranya tidak mematuhi tempoh tersebut atau tiada inisiatif diambil untuk mengurangkan tunggakan kes melalui persidangan sebelum perbicaraan dan rundingan bagi pengakuan bersalah.

Kelima, jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dan domestik oleh institusi-institusidi Malaysia. Contohnya, di peringkat domestik, Jawatankuasa PenyelarasPeringkat Kebangsaan Bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (National Coordination Committee to CounterMoney Laundering atau NCC) ditubuhkan sejak April 2000 dan dianggotai 17agensi / kementerian.

NCC memainkan peranan penting dalam membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF), serta menyelaras inisiatif dasar dan strategik antara agensi. Kerjasama ini termasuk siasatan dan pendakwaan yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.

UNODC juga mengiktiraf perjanjian dua hala dan pelbagaihala yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dengan organisasi antarabangsa dalampencegahan rasuah.

Keenam, pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dijalankan bersama sektor swasta. Syarikat besar mewujudkan jawatan pegawai integriti dan mengamalkan dasar ‘tiada hadiah’. SPRM berperanan menyediakan latihan dan meminjamkan pegawainya kepada syarikat-syarikat terbabit.

UNODC turut mengiktiraf pelaksanaan Kursus Kepimpinan danIntegriti Pengarah Syarikat (Corporate Directors Leadership and Integrity atau CDLI) untuk pengukuhan integriti di SBK. Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan mengenai tadbir urus baik kepada pegawai-pegawai awam yang dilantik sebagai Ahli LembagaPengarah di SBK.

Terkini, kerajaan menggalakkan penyertaan sektor korporat dalam usaha pencegahan rasuah melalui insentif potongan cukai. Syarikat dibenarkan potongan cukai khas bagi perbelanjaan melaksanakan program pendidikan antirasuah kepada masyarakat; kos membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP); dan potongan cukai untuk pensijilan ISO, termasukMS ISO 37001: Anti-Bribery ManagementSystem (ABMS).

Ketujuh, pelaksanaan Perjanjian Integriti (IntegrityPact atau IP) dalam perolehan kerajaan dan penggunaan sistem elektronik ‘MyProcurement’.

IP adalah pengisytiharan oleh petender, penyebut harga,atau perunding untuk tidak menawar dan memberi rasuah dalam sebarang urusan perolehan kerajaan. Arahan pelaksanaan IP adalah seperti mana Surat Arahan Perbendaharaan bertarikh 1 April 2010

IP dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu semasa penghantaran dokumen tawaran oleh petender atau penyebut harga; semasa mengembalikan Surat Setuju Terima; dan semasa menandatangani perjanjian berkaitan perolehan kerajaan.

MyProcurement merupakan pusat maklumatbagi perolehan kerajaan. Portal ini bertindak sebagai platform untuk memaklumkankepada masyarakat berkenaan iklan dan keputusan sebut harga atau tender terkiniyang dilaksanakan oleh agensi terlibat.

Kelapan, UNODC mengiktiraf Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pusat latihan antarabangsa berdasarkan sumbangan dan peranannya dalam melatih pegawai-pegawaidari agensi pencegahan rasuah luar negara.

Kesembilan, pelaksanaan kajian menyeluruh untuk mengukur tahap rasuah dalam sektor awam, sektor swasta dan masyarakat. Kajian ini amat penting keranaia bukan sahaja menilai persepsi rasuah, tetapi prevalens ataupun bukti kejadian rasuah dalam demografi yang disasarkan.

Bermula 2023 hingga 2025, SPRM bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan kajian berskala besar iaitu Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS).

Kesepuluh, UNODC mengiktiraf kerangka perundangan dan prosedur operasi standard (SOP) Malaysia dalam memperoleh semula harta jenayah (asset recovery).

Antaranya, berkaitan perkongsian maklumat perisikan kewangan dengan negara asing, bantuan kepada negara asing dalam mengesan harta jenayah, proses rundingan berterusan dengan negara pemohon bantuan, dan pemulangan harta kepada pihak ketiga suci hati.

Bukti terbesar keberkesanan perundangan, sistem dan komitmen Malaysia dalam perolehan semula harta jenayah adalah kejayaan pemulihan aset skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Jumlah keseluruhan pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah sebanyak RM29.8 bilion, iaitu 70 peratus daripada kira-kira RM42 bilion yang dipercayaitelah diselewengkan

Tarikh Input: 16/12/2025 | Kemaskini: 16/12/2025 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
X, (04:23:29pm-04:28:29pm, 25 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]