SAMBUTAN BULAN INTEGRITI TAHUN 2023 | INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
» NEWS » SAMBUTAN BULAN INTEGRITI TAHUN 2023

SAMBUTAN BULAN INTEGRITI TAHUN 2023

 

 

 

SERDANG, 22 November 2023 (Khamis) – Sambutan Bulan Integriti Nasional merupakan manifestasi usaha kita untuk menzahirkan komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dan tatakelola dalam sektor awam, sektor korporat dan masyarakat secara keseluruhannya. Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyatakan komitmen bahawa kerajaan akan memperkenalkan Pelan Integriti baharu dan Akta Tatakelola Sektor Awam yang membuktikan bahawa kerajaan sangat komited dalam memastikan integriti menjadi budaya masyarakat Malaysia.

Sambutan Bulan Integriti Nasional bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan pengamalan integriti dan tatakelola baik bertunjangkan kerangka Malaysia Madani yang berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tadbir urus yang adil. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa agenda integriti nasional merupakan tanggungjawab bersama dan menjadi nadi penggerak sektor awam serta swasta yang merangkumi individu, keluarga dan juga masyarakat.

Bulan Integriti Nasional pada tahun ini bertemakan “Integriti Citra Malaysia Madani’” dan pemilihan tema berkenaan sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang memperihalkan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai etika dan akhlak masyarakat.

Integriti adalah elemen yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pekerja sesebuah organisasi. Penghayatan terhadap elemen ini amat penting kerana ia mampu meningkatkan kesejahteraan kepada kakitangan sesuatu organisasi. Kakitangan yang berintegriti akan mempunyai tingkah laku yang baik dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir/ perlakuan yang negatif seperti tidak hadir bertugas, penipuan, rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran peraturan/ undang-undang dan lain-lain lagi.

Islam sangat menekankan soal integriti dalam kehidupan manusia. Integriti terbentuk melalui nilai amanah, jujur dan kebolehpercayaan dalam memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri. Seseorang yang menjalankan amanah yang ditaklifkan ke atasnya dengan baik boleh dianggap sebagai seorang yang berintegriti tinggi dan ia mampu membawa kecemerlangan terhadap tadbir urus sesuatu organisasi.

Date of Input: 29/11/2023 | Updated: 30/11/2023 | muhammad.isam

MEDIA SHARING

INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEcOAJ~