Tingkat Program Didik Masyarakat Bina Daya Tahan Kewangan | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Tingkat program didik masyarakat bina daya tahan kewangan

Tingkat program didik masyarakat bina daya tahan kewangan

  

Carian artikel oleh : Pn. Nor Anidah Rosli (Penolong Akauntan)

Penulis : Sim Why Jean, Berita Harian

 

Krisis COVID-19 diakui mengubah sikap masyarakat dalam aspek pengurusan kewangan kerana mengalami kegusaran menghadapi situasi tidak diduga akibat wang simpanan berkurangan.

Pandemik menjadi iktibar kepada kita untuk menekankan kepentingan pembangunan ekosistem kewangan yang bersifat inklusif dengan melengkapi setiap individu literasi kewangan ke arah melahirkan masyarakat celik kewangan.

Realitinya, tiada istilah terlalu awal atau terlambat dalam konteks literasi kewangan. Dalam mendepani arus digitalisasi, kepesatan teknologi kewangan mendorong kebanyakan urusan harian dilakukan di hujung jari, termasuk kaedah pembayaran maya.

Tatkala modus operandi penipuan dalam talian seperti skim cepat kaya dan Macau Scam semakin meruncing saban hari, pengetahuan kewangan dapat mengelakkan orang ramai daripada terpedaya dan tidak menjadi mangsa penipuan sehingga wang simpanan lesap begitu sahaja.

Perancangan kewangan rapi mampu membantu individu menjadi lebih cakna dalam bab kewangan peribadi merangkumi aspek pengurusan risiko kewangan, kemahiran kewangan praktikal serta membina tabung kecemasan.

 

Fenomena 'Beli Dahulu, Bayar Kemudian'

Sebagai langkah ke hadapan pasca pandemik, kerajaan harus mengambil langkah intervensi pragmatik untuk membina daya tahan kewangan, terutama meningkatkan kuasa beli golongan rentan yang terkesan akibat impak pandemik.

Sejak kebelakangan ini, fenomena 'Beli Dahulu, Bayar Kemudian' (BNPL) semakin mencuri tumpuan. Pada 2021, jumlah transaksi BNPL di pasaran tempatan didapati mencatatkan peningkatan ketara mencecah RM1.49 bilion berbanding RM55 juta pada tahun sebelumnya.

Kemudahan mudah alih ini dilihat mampu merancakkan perbelanjaan pengguna dengan menggalakkan transaksi tanpa tunai, selain memberi ruang merancang pembayaran melalui pecahan bil secara beransur mengikut kitaran pembayaran.

Namun, ibarat 'pedang bermata dua', trend ini boleh meningkatkan kecenderungan berbelanja dan pembelian inpulsif, sekali gus menambah bebanan perbelanjaan jika tidak dikawal rapi.

Justeru, bagi melindungi ruang kredit pengguna, kerangka kawal selia Akta Kredit Pengguna (CCA) perlu merangkumi elemen BNPL.

Dengan cara ini, pengguna dapat diberi pendedahan mengenai kos tersembunyi serta memahami risiko BNPL dengan membuat peringatan berkala untuk memantau perbelanjaan.

Pada masa sama, penting untuk mencegah hutang tidak perlu supaya mereka tidak terjerat dalam hutang. Dalam tempoh lima bulan pertama 2022, dianggarkan 18 orang muflis setiap hari.

Berpunca daripada komitmen kad kredit, pinjaman peribadi dan kenderaan, kes muflis membabitkan golongan dalam lingkungan usia 25 hingga 44 tahun mencakupi hampir 60 peratus sejak 2018.

Dalam hal ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu memainkan peranan penting bagi membantu belia menstruktur semula skim pinjaman. Sehingga Jun lalu, sekitar 41 peratus peserta muda menyertai Program Pengurusan Hutang AKPK.

Kebankrapan harus menjadi pilihan terakhir institusi kewangan dan perundangan kebankrapan sedia ada wajar dikaji dari semasa ke semasa susulan peningkatan nilai ambang muflis daripada RM50,000 kepada RM100,000 oleh Jabatan Insolvensi.

Mengambil kira unjuran lonjakan harga kediaman, akses perumahan mampu milik juga harus diberi keutamaan terutama dalam menangani isu kesukaran memperoleh pembiayaan isi rumah berpendapatan rendah dan golongan pembeli rumah pertama.

Misalnya, tindakan kerajaan mengaktifkan semula Kempen Pemilikan Rumah di bawah Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika pandemik adalah langkah wajar dengan insentif khas seperti pengecualian duti setem.

Melalui kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, model pembiayaan perumahan mampu milik sama ada pembelian terus atau sewa-untuk-milik dapat dibangunkan, di samping tawaran kursus membantu pembeli rumah pertama mengenai prosedur pembelian rumah.

Berdasarkan Tinjauan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), satu pertiga rakyat Malaysia didapati masih mempunyai tahap keyakinan rendah dari sudut literasi serta pengurusan kewangan, selain tidak mempunyai tabung kecemasan mencukupi.

Justeru, semakan berkala pelan perancangan kewangan antara elemen penting dalam pengurusan kewangan sistematik untuk jangka panjang.

Menerusi pendekatan serampang dua mata, iaitu penguasaan literasi kewangan serta menyemai tabiat kewangan sejak usia muda, intervensi bersasar dapat dilaksanakan mengikut kumpulan umur dengan mengambil kira tahap literasi individu berbeza.

Sehubungan itu, pemerkasaan literasi kewangan menerusi pendidikan harus diberi penekanan khusus, termasuk memperluas elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum sekolah.

Ibu bapa turut perlu memainkan peranan memupuk amalan menabung dalam kalangan anak sejak kecil.

Dengan pembudayaan literasi kewangan, individu bukan sahaja dapat berbelanja secara berhemah dengan membezakan keperluan dan kehendak, tetapi dapat membuat keputusan kewangan bijak berdasarkan formula '50-30-20' bagi tujuan perbelanjaan, keperluan dan simpanan.

Wujudkan pusat sehenti literasi kewangan

Bagi memperkukuh usaha mempromosi literasi kewangan dalam kalangan masyarakat, kewujudan hab pusat sehenti kewangan mampu menjadi pemangkin dengan pembabitan semua pihak berkepentingan termasuk entiti kerajaan, institusi kewangan dan pendidikan.

Dukungan sokongan sektor korporat, perbankan dan masyarakat di bawah tanggungjawab sosial korporat, kempen kesedaran serta program pendidikan kewangan perlu dipergiatkan bagi meningkatkan akses literasi kewangan.

Selain menawarkan perkhidmatan rundingan percuma oleh perancang kewangan bertauliah, individu juga dapat diberi pendedahan mengenai asas pelaburan.

Khidmat nasihat mengenai pelan persaraan dan perlindungan insurans serta takaful pula dapat membantu individu membina semula dana persaraan dalam memastikan perlindungan masa tua seiring matlamat persaraan.

Sinergi dan usaha sama semua pihak diyakini dapat menjayakan usaha membentuk masyarakat celik kewangan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lestari.

Penulis adalah Penganalisis Penyelidikan Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Tarikh Input: 21/02/2023 | Kemaskini: 23/02/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXETKAY~