OPR Bebankan Golongan B40 Dan M40 | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » OPR bebankan golongan B40 dan M40

OPR bebankan golongan B40 dan M40

Carian Oleh : Pn. Marziati Md Din (Pegawai Kewangan)
Artikel oleh : Sri Ayu Kartini Amri
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/05/964952/opr-bebankan-golongan-b40-m40-penganalisis

 

Kuala Lumpur: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberikan kesan besar yang membebankan golongan B40 dan M40 kerana terpaksa memperuntukkan lebih banyak hasil gaji mereka untuk membayar pinjaman.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, memang ada yang menerima kesan positif kenaikan OPR, namun ramai pula menerima kesan membebankan disebabkan oleh kenaikan ini.

Katanya, pihak yang menerima impak positif adalah pihak bank kerana melalui kenaikan OPR itu, pendapatan bank meningkat, selain pendeposit tetap kerana menerima pulangan kadar keuntungan yang lebih tinggi akibat daripada kenaikan OPR.

"Begitu juga dengan impak kepada pelabur yang berpotensi memperoleh pulangan yang lebih tinggi dan seterusnya menjadi tarikan untuk pelabur baharu untuk turut serta menyimpan.

"Namun dalam masa sama, jika kita ambil kira secara keseluruhan, kesan tekanan dan bebanan dirasai oleh lebih ramai rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, tinjauan celik kewangan RinggitPlus Malaysia 2022 mendapati, 63 peratus daripada 3,144 responden berusia 18 tahun ke atas di negara ini hanya mampu bertahan tiga bulan atau kurang dengan simpanan mereka, manakala 70 peratus responden menyatakan mereka menyimpan kurang RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung.

"Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 oleh Jawatankuasa Kerja Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) membabitkan 3,000 responden itu antara lain mendapati 47 peratus responden mengakui sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000 dan hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh tiga bulan atau lebih, jika hilang pendapatan.

"Ia secara konsisten menunjukkan simpanan rakyat Malaysia tidak berada pada tahap yang diharapkan, dalam masa sama turut mempunyai komitmen ansuran pinjaman bank lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, ketika pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan kepada banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000 sebanyak dua peratus yang memberi lebihan pendapatan boleh guna.

Bagaimanapun, katanya, apabila OPR naik, maka selepas ini sebahagian lebihan pendapatan itu terpaksa digunakan untuk membayar pinjaman dengan bank pula.

Beliau berkata, dengan kenaikan OPR ini juga kuasa membeli pengguna akan berkurangan disebabkan pengguna terpaksa menggunakan pendapatan yang ada untuk membayar bayaran pinjaman bulanan lebih tinggi.

"Yang lebih memeritkan adalah selepas rakyat memperuntukkan lebih banyak pendapatan mereka untuk membayar pinjaman, mereka perlu lebih berjimat untuk perbelanjaan lain dan berhadapan dengan tekanan luar biasa terhadap kenaikan mendadak harga barang.

"Dalam erti kata lain, apabila kuasa membeli pengguna berkurangan maka ia juga akan menjejaskan industri terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk bernafas.

"Ini disebabkan sebahagian PMKS bergantung kepada perbelanjaan pengguna tempatan yang terpaksa mengikat perut disebabkan terikat untuk memperuntukkan lebih banyak pendapatan mereka untuk membayar pinjaman dan mengurus baki dalam berbelanja dengan mengambil kira kenaikan harga barang," katanya.

Beliau berpendapat, Bank Negara Malaysia perlu mengkaji kesan kenaikan OPR ini dan bagaimana ia benar-benar berjaya mengawal kadar inflasi negara dan tidak membebankan rakyat dan industri.

"Persoalannya, bagaimana keadaan akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan dalam masa sama perlu membayar kadar pinjaman lebih tinggi serta baki pendapatannya selepas ditolak bayaran pinjaman bulanan perlu membeli barangan keperluan harian yang naik secara mendadak?

"Secara rasionalnya, tentu akan ada perbelanjaan yang akan dikorbankan disebabkan oleh tekanan yang berlaku daripada pelbagai penjuru. Akhirnya, rakyat Malaysia yang terjerumus dengan tidak mengikut jadual bayaran balik pinjaman akan terus meningkat.

"Justeru, peminjam yang berhadapan dengan kesukaran untuk membuat bayaran ansuran pinjaman sebolehnya memohon Penjadualan atau Penstrukturan Semula Pinjaman dengan pihak bank atau berhubung dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bimbingan dan panduan dalam penyelesaian pengurusan kewangan peminjam," katanya.

 

Tarikh Input: 15/05/2023 | Kemaskini: 25/05/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDcVAr~