Teguran Isu Audit Dan Tindakan | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Teguran Isu Audit dan Tindakan

Teguran Isu Audit dan Tindakan

Carian Oleh : Ketua Audit Dalam UPM

Artikel Oleh : Rohaniza Idris | Berita Harian

Sumber : Berita Harian Online

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara mempunyai mekanisme khusus bagi memastikan setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diambil tindakan kementerian atau agensi kerajaan yang terbabit sehingga diselesaikan.

 

Perkara itu dinyatakan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang menegaskan setiap LKAN yang diserahkan untuk tindakan tidak dibiarkan begitu saja kerana Jabatan Audit mempunyai Jawatankuasa Pemantau yang memastikan setiap cadangan dan teguran diambil tindakan susulan.

 

Katanya, tugas utama Jabatan Audit Negara adalah membuat audit, menyatakan kesalahan atau teguran yang perlu dibetul dan diambil tindakan kementerian atau jabatan kerajaan.

 

"Sememangnya kita ada mekanisme untuk tindakan susulan, yang akan memantau setiap cadangan dan teguran yang sudah dinyatakan dalam laporan.

"Namun, terpulang kepada kementerian atau jabatan kerajaan berkenaan untuk mengambil tindakan sama ada membetulkan kesilapan atau mengenakan hukuman yang sesuai.

 

"Ada dua jenis cadangan tindakan yang dicadangkan iaitu secara korektif (pembaikan) dan punitif (hukuman)," katanya kepada BH.

 

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan mampu menyelamatkan ketirisan antara RM5 hingga RM6 bilion jika segala kelemahan berpuluh tahun yang ditegur dalam LKAN dapat ditangani dan diperbaiki oleh pemimpin politik dan penjawat awam.

 

Semalam, ketika menyampaikan ucaptama pada Program Amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani, Anwar berkata, ketika LKAN2021 diteliti pada Mesyuarat Kabinet didapati ada antara kelemahan itu berulang kali disebut dalam LKAN.

 

"Kalau dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan. Itu dari Laporan Audit Negara," katanya.

 

Ambrin menegaskan jawatankuasa pemantau itu akan memastikan setiap teguran dan cadangan yang dibuat itu diselesai atau dilaksanakan sehingga selesai.

 

Katanya, sebab itu, ada LKAN yang akan terus-terusan mengulangi teguran dan cadangan jika satu-satu perkara itu tidak diselesaikan.

 

Beliau juga menegaskan tindakan tidak boleh hanya ditumpukan kepada langkah hukuman seperti denda, pemotongan dan sekatan gaji semata-mata.

 

Katanya, ia tidak lagi realistik sebagai hukuman bagi mereka yang tidak bertindak balas sewajarnya kepada syor dalam LKAN.

 

"Tindakan pembaikan juga penting supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk dan merugikan kerajaan jika wujud ketirisan akibat salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya.

 

Beliau berkata, pegawai kerajaan juga perlu berpegang kepada keluhuran undang-undang dan mengabaikan campur tangan politik dalam menguruskan perolehan kerajaan, bagi mengelak risiko penipuan dan rasuah.

 

Program Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan pada 2015, menetapkan Ketua Juruaudit Negara telah diberi kuasa untuk membuat susulan terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

 

Satu bahagian khusus ditubuhkan dikenali sebagai Bahagian Susulan Audit.

 

Audit susulan adalah satu program yang dibuat untuk memastikan perkara yang telah dipersetujui untuk diambil tindakan pembetulan telah dilakukan oleh pihak pengurusan yang diaudit seperti mana yang telah dinyatakan dalam LKAN.

 

Audit susulan biasanya dijalankan selepas enam bulan laporan audit dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Audit (JKA).

Tarikh Input: 23/03/2023 | Kemaskini: 23/03/2023 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDdQAM~