Bersama Kita Hapuskan Rasuah | INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
» ARTICLE » Bersama Kita Hapuskan Rasuah

Bersama Kita Hapuskan Rasuah

lkan bawal, ikan tenggiri

lkan kegemaran Pak Musa

Mengamalkan rasuah amalan keji

Kerana rasuah pemusnah bangsa

 

Oleh : Bennard A/L Selvarajo 


Pantun ini patut dihayati semua rakyat Malaysia kerana rasuah merupakan amalan yang keji, pemusnah bangsa dan keharmonian negara. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rasuah bermaksud pemberian  untuk  menumbuk rusuk iaitu penerimaan apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau untuk membolehkan seseorang melakukan sesuatu perbuatan atau tidak diambil tindakan.

Bersama-sama pula bermaksud serentak atau berganding. Membanteras membawa maksud membasmi dan "kita" bermaksud penglibatan semua pihak. Secara keseluruhannya bersama-sama kita membanteras rasuah bermaksud kerjasama dan penglibatan semua pihak dalam proses membasmi amalan rasuah. Untuk membanteras amalan ini daripada terus menular, langkah yang praktikal harus diambil.

Antara langkahnya ialah peranan ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni sejak kecil lagi, bak melentur buluh biarlah dari rebungnya. lbu bapa perlu memberi penekanan didikan agama kepada anak-anak mereka. Tanpa ajaran agama, sudah tentu ramai remaja apabila dewasa kelak akan mudah terjebak dalam kegiatan negatif ini. Malah ada yang tidak teragak-agak untuk melakukan sesuatu di luar batasan agama.

Pegangan agama dan nilai-niai murni dalam jiwa anak-anak, dapat membantu mengurangkan amalan negatif, sekali gus akan terhakis sehingga ke akar umbi. Tanpa rasuah kehidupan kita akan lebih tenang kerana kegiatan rasuah boleh mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat.

Selain ibu bapa, pihak sekolah juga harus memikul tanggungjawab sama untuk membanteras amalan makan suap ini daripada terus menular. Pihak sekolah boleh menjemput penceramah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) untuk menyampaikan ceramah tentang keburukan dan kesannya apabila seseorang menerima rasuah kepada pelajar. lni dapat menyedarkan pelajar betapa buruk dan kejinya amalan rasuah. Pihak sekolah  juga  dicadangkan  menubuhkan  Kelab  Pencegahan  Rasuah di sekolah masing-masing supaya pelajar boleh dilibatkan terus dalam program-program anti rasuah yang dianjurkan oleh kelab berkenaan dengan pertubuhan atau yayasan jenayah yang lain.

Bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Islam dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar yang bakal menjadi anggota masyarakat dan pemimpin negara pada masa hadapan harus diberi keutamaan, kerana ilmu yang diajarkan oleh guru kepada para pelajar di sekolah tentunya akan dikongsi bersama ibu bapa dan saudara mara pelajar itu. Cara ini berkemungkinan akan turut membantu meningkatkan kesedaran bukan saja dalam diri pelajar itu tetapi kepada seluruh ahli keluarga dan masyarakat sekelilingnya.

Dalam konteks yang lebih luas pula, pihak berwajib mesti mengadakan kempen secara besar-besaran untuk menyedarkan anggota masyarakat yang masih tidak sedar dan memandang remeh keburukan gejala rasuah . Kempen-kempen sebegini boleh diadakan di sekolah atau di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai.

Gunakan media cetak dan media elektronik termasuk internet yang kini lebih digemari orang ramai terutamanya golongan remaja Kempen -kempen yang dilancarkan mestilah holistik agar semua masyarakat dapat menyertainya. Kesannya mungkin jauh lebih baik.

Mereka yang sering menjadi penerima dan pemberi rasuah juga mungkin akan berubah sikap dan sedar akan kesan dari perbuatannya

Paling penting,  seluruh  masyarakat mesti memainkan peranan. Anggota masyarakat mesti peka dengan persekitaran. Orang ramai harus mengamalkan sikap 'menjaga tepi kain orang' dengan melaporkan jenayah rasuah kepada pihak berkuasa. Tindakan bertanggungjawab ini pasti dapat mengurangkan gejala rasuah di sesuatu tempat atau kawasan.

Kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang dengan lebih telus dan tulus. Mana-mana orang yang didapati bersalah kerana menerima atau memberi rasuah, mereka harus dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Contohnya, hukuman penjara sekurang-kurangnya satu tahun dan disebat.  Hukuman  denda yang dikenakan kepada pesalah adalah tidak berkesan kerana taraf hidup masyarakat kini telah tinggi dan mereka mampu membayarnya. Oleh itu, hukuman penjara dan sebat adalah lebih baik kerana boleh menginsafkan pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Selain pendidikan dan penguat kuasaan undang-undang, gaji pekerja harus dinaikkan kerana gaji yang tidak cukup untuk menampung hidup yang serba kebendaan ini menjadi salah satu punca seseorang melakukan rasuah. Jika gaji yang ditawarkan mencukupi untuk menyara kehidupan, maka amalan rasuah ini mungkin tidak akan berlaku.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah harus sentiasa memantau pegawai-pegawai tinggi supaya amalan makan suap ini tidak terus berlaku. Dengan pemantauan yang kerap dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan, tidak mustahil jenayah rasuah akan dapat dibendung.

Amalan rasuah ibarat  kanser yang boleh memusnahkan masyarakat, sistem pentadbiran dan pembangunan negara. Jika tidak dibanteras, rasuah mungkin akan menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat di negara kita. Justeru, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk memerangi amalan rasuah ini daripada terus bermaharajalela. Tanpa rasuah, hidup kita akan lebih tenang dan sejahtera. Bukankah itu yang kita mahu? Untuk itu, langkah yang praktikal harus diambil dari sekarang kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

 

Penulis : Bennard A/L Selvarajo 

Sumber : Rencana Khas SPRM

Carian artikel oleh : En. Wan Muhd Isam

Date of Input: 14/05/2019 | Updated: 25/07/2019 | muhammad.isam

MEDIA SHARING

INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEUHAm~