‘Panik' Boleh Memburukkan Ekonomi | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » ‘Panik' boleh memburukkan ekonomi

‘Panik' boleh memburukkan ekonomi

Carian artikel oleh : Pn. Nur Asyikin Yusoff (Penolong Akauntan)

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari,Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia.

Mac 19, 2020 16:11 MYT

SEHARI sebelum dan selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, negara dikejutkan dengan insiden pembelian panik oleh segelintir masyarakat.

Penulis sendiri tidak pasti apakah asas yang menyebabkan pembelian panik ini harus dilakukan. Falsafah atau “fatwa” ekonomi daripada profesor, ilmuan atau sarjana manakah yang diguna pakai.Atau tingkah laku ini hanyalah ikut-ikutan atau pengaruh daripada gelagat pengguna daripada negara lain. Atau ianya hanyalah lahir daripada kenyataan-kenyataan sensasi oleh golongan warganet.

 

 

 

 

Pada pandangan penulis, pembelian panik beberapa hari yang lepas adalah tidak wajar dilakukan kerana pihak kerajaan telah memberi jaminan bahawa bekalan barangan kawalan dan keperluan adalah mencukupi.Tahukah wahai rakyat Malaysia yang disayangi bahawa tingkah laku panik ini boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi. Masih ingatkah kalian semua kepada krisis kewangan Asia 1997?

Terdapat dua pandangan yang diutarakan oleh kebanyakkan ahli ekonomi di dalam menerangkan mengapa negara-negara Asia (termasuk Malaysia) terkesan teruk akibat daripada krisis berkenaan.

Terdapat dua pandangan diutarakan oleh kebanyakan ahli ekonomi dalam menerangkan mengapa negara-negara Asia terkesan teruk akibat daripada krisis berkenaan. - Gambar fail

Pertama, kelemahan struktur asas ekonomi negara-negara berkenaan. Kedua, tingkah laku panik oleh pelabur akibat jangkaan dan kehilangan keyakinan ke atas pasaran.

Tingkah laku panik oleh pelabur ini didapati menjadi penyumbang utama kepada kejatuhan ekonomi Indonesia dan Korea Selatan semasa krisis 1997.

Tahukah kalian bahawa pembelian panik beberapa hari yang lepas boleh memudaratkan situasi ekonomi semasa. Pertama, pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh sebahagian besar pengguna dalam satu-satu masa akan mendedahkan kepada manipulasi pasaran. Harga akan cenderung meningkat apabila bekalan barangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan pembelian panik. Peningkatan harga perlu dielakkan ketika rakyat sedang berdepan dengan kekangan kewangan.

 

BACA SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG COVID-19

Kedua, pembelian panik boleh menjejaskan aliran tunai isi rumah. Dalam situasi pertengahan bulan dan dalam keadaan sebahagian rakyat diberi cuti tanpa gaji, isi rumah sepatutnya bijak menguruskan perbelanjaan mereka.

Ketiga, pembelian panik ini boleh menjejaskan peluang orang lain untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga normal terutamanya golongan berpendapatan rendah. Pemerhatian penulis beberapa hari yang lepas mendapati banyak barangan keperluan telah habis di kedai-kedai dan pasaraya dan telah berlaku peningkatan harga daripada kebiasaan. Ini akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam keadaan situasi negara sedang “berperang” dengan wabak Covid-19, seluruh rakyat Malaysia perlu bertenang dan ikuti arahan daripada pihak berkuasa. Jangan ambil apa-apa langkah “panik” yang boleh memburukkan lagi keadaan. Cukuplah dengan insiden pembelian panik yang berlaku beberapa hari yang lepas.

 

Penulis : Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM.

 

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 07/04/2020 | Kemaskini: 07/04/2020 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 1346
03-9769 6176
WVMBLAq:11:05