Ekonomi Malaysia Dijangka Kembali Seperti Sebelum Pandemik Awal 2022 | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Ekonomi Malaysia dijangka kembali seperti sebelum pandemik awal 2022

Ekonomi Malaysia dijangka kembali seperti sebelum pandemik awal 2022

Carian artikel oleh : En. Zainal Abidin Ahmad

Sumber : Berita Harian

Penulis : Mahanum Abdul Aziz

 

Ekonomi Malaysia dijangka kembali ke paras kukuh yang dicatatkan sebelum penularan pandemik COVID-19 menjelang suku pertama 2022, demikian pandangan Moody's Analytics. Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik Moody's Analytics, Dr Steve Cochrane, berkata pemulihan ekonomi global akan menyumbang kepada pemulihan kukuh ekonomi negara ini memandangkan Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka dan negara perdagangan, yang mana pertumbuhan global mempengaruhi pemulihan.

Beliau berkata, pelaksanaan program vaksin di seluruh dunia dan di peringkat domestik juga akan membantu merangsang pertumbuhan dan permintaan domestik.Namun begitu, katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Malaysia, dengan larangan ketat seperti merentas negeri dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 dijangka memberi risiko terhadap pemulihan. "Malaysia, Singapura adalah ekonomi terbuka, yang mana ia akan kembali (pulih) sebaik saja pemulihan (ekonomi) global. (Namun) pemulihan dalam sektor pengembaraan dan pelancongan masih menjadi persoalan bagi Malaysia dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat secara maya mengenai tinjauan ekonomi global, semalam. Ekonomi Malaysia menguncup 5.6 peratus tahun lalu, penguncupan terbesar pernah dicatatkan sejak 1998 iaitu -7.4 peratus, berbanding pertumbuhan 4.3 peratus yang dicatatkan pada 2019. Mengenai pakej rangsangan ekonomi di Asia Pasifik, Cochrane berkata Malaysia, Singapura, Jepun dan Australia adalah antara negara rantau ini yang sangat aktif melaksanakan pakej rangsangan tahun lalu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masing-masing.Beliau berkata, Moody's Analytics menjangkakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dijangkakan berterusan Malaysia, Singapura dan Jepun tahun ini untuk menyokong pertumbuhan dan membantu sektor yang terkesan pandemik. Namun, dari segi saiz pakej rangsangan beliau menegaskan bahawa jumlahnya dijangka akan kecil berbanding yang diumumkan sebelum ini, sejajar dengan pemulihan beransur-ansur aktiviti ekonomi.

"Pelaksanaan (pakej rangsangan) akan lebih bersasar dengan bertumpu kepada sektor yang benar-benar terkesan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," jelasnya. Ketua Ahli Ekonomi Moody's Analytics, Dr Mark Zandi, pula berkata, secara keseluruhan, berdasarkan perangkaan yang ada setakat ini, firma penyelidikan itu melihat Asia Pasifik menguruskan pandemik COVID-19 dengan lebih baik berbanding rantau lain dan berada dalam landasan kukuh mencatatkan prestasi ekonomi lebih baik tahun ini. China, Vietnam dan New Zealand, katanya kini dilihat berada dalam pengembangan dengan paras aktiviti ekonomi yang diukur menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pekerjaan dan pendapatan, mulai kembali ke paras sebelum pandemik melanda. "Sesungguhnya, (negara) Asia Pasifik mengurus pandemik dengan lebih baik berbanding bahagian lain di dunia. Mendapat manfaat daripada pelaksanaan sokongan monetari dan fiskal yang sangat agresif dan peningkatan permintaan global untuk barangan," katanya.

Tarikh Input: 26/11/2021 | Kemaskini: 26/11/2021 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 1346
03-9769 6176
WVMBLA3:11:21