5 Cabaran Ekonomi Untuk Malaysia Pada 2023 Menurut Perdana Menteri | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » 5 Cabaran Ekonomi untuk Malaysia pada 2023 Menurut Perdana Menteri

5 Cabaran Ekonomi untuk Malaysia pada 2023 Menurut Perdana Menteri

Carian Oleh : Pn. Marziati Md Din (Pegawai Kewangan)
Artikel oleh : Ku Syafiq Ku Fozi
Sumber : Relevan.com.my

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu dengan menggariskan lima cabaran ekonomi yang telah, sedang dan akan dihadapi negara.

Cabaran-cabaran ekonomi tersebut sebahagiannya merupakan impak pandemik Covid-19 yang mula melanda dunia kira-kira tiga tahun lalu. Walaupun negara semakin pulih, masih ada kesannya yang dirasai sehingga kini.

 

Berikut disenaraikan lima cabaran ekonomi yang perlu dihadapi Malaysia seperti yang dikongsikan Anwar.

1. Beban hutang

Menurut Anwar, hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Malah, jika dikira bersekali dengan liabiliti, nilainya mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus daripada KDNK.

Ini menyebabkan bayaran khidmat hutang yang perlu ditanggung tahun ini mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil. Ini melebihi had maksimum 15 peratus yang diamalkan selama ini.

“Bayaran RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman. Dewan yang mulia ini harus diingatkan, sudah 25 tahun kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah.

“Kita pernah berhutang untuk membangun tanah Felda dan itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang untuk membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan, apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang?” katanya.

 

2. Kemerosotan pentadbiran

Anwar turut membangkitkan isu tadbir urus yang bermasalah, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa laporan.

Katanya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah jatuh merudum ke tangga 61 berbanding tangga 29 yang dicapai pada 1998. Kemerosotan tersebut disebabkan kegagalan membendung rasuah politik, jelasnya yang memetik Transparency International Malaysia.

“Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan pembayaran tidak teratur.

“Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.

“Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu,” katanya.

 

3. Ketidaktentuan ekonomi dunia

Kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan kesan daripada perang Rusia-Ukraine.

Ini ditunjukkan dalam unjuran pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini oleh Tabung Kewangan Dunia (IMF) yang dijangka menyederhana pada 2.9 peratus berbanding 3.4 peratus tahun lalu. 

Malah, sektor perdagangan dunia juga diunjur lembab pada kadar 2.4 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2022.

Bagi Malaysia pula, pertumbuhan KDNK pada 2022 melonjak 8.7 peratus, namun ia disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah disebabkan pandemik Covid-19.

“Bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama 3.8 peratus, suku kedua 3.5 peratus, suku ketiga 1.9 peratus dan suku keempat -2.6 peratus,” jelas Anwar.

 

4. Pelaburan belum pulih

Dari segi pelaburan, Malaysia mencatat RM297.5 bilion pada 2022, 9.4 peratus lebih rendah berbanding RM328.5 bilion pada 2019. 

Kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) juga jatuh ke tangga 32 berbanding tangga ke-12 yang pernah dicapai sebelum ini.

 

5. Cabaran buat rakyat

Pada 2022, inflasi negara berada pada kadar 3.3 peratus dengan inflasi makanan mencatat kadar tinggi pada 5.8 peratus. Menurut Anwar, kadar inflasi tahun ini dijangka sama atau lebih tinggi seperti 2022, bergantung kepada rantaian bekalan global.

Kadar pengangguran pada 2022 pula berada pada kadar 3.6 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019. Pengangguran belia 25 tahun ke bawah pula melebihi 10 peratus. Malah, purata pendapatan belia juga rendah, sekitar RM1,700 pada 2021.

“Apa yang disebutkan ialah paparan secara jujur dan terang mengenai kemelut ekonomi yang kita warisi bersama. 

“Maka, Belanjawan MADANI ini harus mempunyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu,” kata Anwar. 

Tarikh Input: 15/05/2023 | Kemaskini: 15/05/2023 | muhammad.isam

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXDdWAf~