PRIHATIN : RM250 Bilion Antara Terbesar Di Dunia, Bukti Usaha Kerajaan | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» BERITA » PRIHATIN : RM250 Bilion Antara Terbesar Di Dunia, Bukti Usaha Kerajaan

PRIHATIN : RM250 Bilion Antara Terbesar Di Dunia, Bukti Usaha Kerajaan

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan kerajaan adalah antara terbesar di dunia jika dibandingkan dari segi  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kira-kira 17 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebagai perbandingan, United Kingdom adalah sebanyak 16 peratus manakala Amerika Syarikat dan Singapura masing-masing sebanyak 11 peratus.

“Jika dibandingkan dengan KDNK, kita adalah antara yang tertinggi...ianya juga menjadi satu ukuran yang menunjukkan bahawa tindakan kerajaan ini besar,” katanya ketika menjadi tetamu Program Bicara Naratif RTM di sini, hari ini.

 

Dalam program itu, beliau memperincikan pakej yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam bentuk bantuan untuk melindungi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain memperkukuh ekonomi negara.

Jelas Mustapa, RM250 bilion itu merangkumi dua komponen iaitu komponen pakej pertama (27 Februari) berjumlah RM20 bilion dan komponen kedua (27 Mac) sebanyak RM230 bilion dengan tiga sumber iaitu kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pihak bank.

“Kerajaan (memperuntukkan) sebanyak RM25 bilion manakala KWSP RM50 bilion iaitu RM10 bilion daripada pakej 27 Februari yang melibatkan pengurangan caruman pekerja daripada 11 kepada 7 peratus dan seterusnya RM500 sebulan bagi pencarum mengeluarkan maksimum RM6,000 yang dianggarkan RM40 bilion.

“Sejumlah RM175 bilion lagi daripada pihak bank,” katanya.

Malah, katanya, sebahagian daripada sistem bank itu dijamin oleh kerajaan iaitu sebahagiannya sehingga  80 peratus.

“Maknanya jika (pengguna) tidak membayar hutang, kerajaan harus bayar kepada kepada mereka (bank) dan di situ ada penglibatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata dalam krisis menangani impak ekonomi akibat penularan COVID-19, pihak seperti Bank Negara Malaysia dan bank-bank juga menyedari bahawa mereka turut memainkan peranan.

“Ini melambangkan kita berkerjasama...kita menggemblengkan semua tenaga. Ini juga menunjukkan semua (pihak) faham krisis luar biasa ini memerlukan usaha bersama.

“Oleh itu, kita berterima kasih kepada pihak seperti bank, KWSP serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turut membantu,” katanya.

 

Sumber Oleh : Bernama | 28/03/2020 09:05 PM

Tarikh Input: 29/03/2020 | Kemaskini: 29/03/2020 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEQTAf~