PKP - Tempoh Semester Kedua Sesi 2019/2020 Universiti Awam Disarankan Perlanjutan | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» BERITA » PKP - Tempoh Semester Kedua Sesi 2019/2020 Universiti Awam Disarankan Perlanjutan

PKP - Tempoh Semester Kedua Sesi 2019/2020 Universiti Awam Disarankan Perlanjutan

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan agar semua Universiti Awam (UA) melanjutkan tempoh bagi menyambung pengajian semester kedua sesi 2019/2020 dengan dibuat seawal 27 April dan selewat-lewatnya pada 1 Jun, 2020.

KPT memaklumkan saranan itu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini dan setelah perbincangan secara terperinci bersama wakil daripada semua UA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“KPT mengambil kira beberapa faktor seperti keadaan PKP semasa dan arahan berkaitan pengurusan COVID-19, keselamatan dan kebajikan pelajar, keberadaan pelajar tempatan serta antarabangsa di lokasi masing-masing dengan majoriti pelajar telah berada di kampung/ bersama keluarga.

“Turut diambil kira kesediaan UA dan IPTS melaksanakan pengajaran dan pembelajaran pelbagai kaedah termasuk dalam talian, cuti sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka pada 24 Mei 2020 dan keperluan penamatan Semester Kedua Sesi 2019/2020 serta permulaan bagi Semester Pertama Sesi 2020/2021," menurut KPT dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan dengan pelanjutan itu, Semester Pertama bagi Sesi 2020/21 dijangka bermula pada pertengahan Oktober 2020 dan semua UA disaran agar mengurus pergerakan semula pelajar balik ke kampus secara berfasa dan berhemah.

Sementara bagi IPTS pula, mereka boleh menyambung semester sedia ada dan memulakan semester baharu mengikut kalendar akademik masing-masing dengan mengambil kira faktor-faktor berkenaan serta UA dan IPTS perlu memaklumkan jadual akademik yang telah dikemas kini kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, cadangan ini adalah berdasarkan kepada keputusan terkini Kerajaan mengenai PKP, KPT akan segera memaklumkan kepada semua IPTA dan IPTS berhubung sebarang pindaan atau kemaskini kepada cadangan yang dibuat.

 

Sumber Berita : Bernama | 28/03/2020 05:51 PM

Tarikh Input: 29/03/2020 | Kemaskini: 29/03/2020 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 1346
03-9769 6176
WVMBKA:10:35