Universiti Bantu Negara Realisasi Hab Kewangan Islam Serantau. | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Universiti bantu negara realisasi hab kewangan Islam serantau.

Universiti bantu negara realisasi hab kewangan Islam serantau.

Ditulis oleh : Dr. Amirul Afif Muhamat - Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/04/806453/universiti-bantu-negara-realisasi-hab-kewangan-islam-serantau

 

KEWANGAN Islam di Malaysia berkembang pesat selaras usaha dan strategi dilaksanakan kerajaan untuk memajukan sektor kewangan patuh syariah di negara ini sejak lebih 38 tahun kewujudan industri itu.

Laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2020 menyatakan pembiayaan kewangan Islam oleh bank patuh Syariah di Malaysia meningkat daripada RM753.6 bilion kepada RM817.4 bilion.

Peningkatan turut direkodkan melalui deposit simpanan dan akaun pelaburan Islam.

Perkembangan pesat ini meletakkan Malaysia di landasan terbaik, memastikan perancangan menjadikan negara sebagai hab kewangan Islam serantau dapat dicapai.

BNM melalui Laporan Financial Stability and Payment Systems Report 2016 menggariskan kemandirian bank patuh syariah di Malaysia didukung modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Oleh itu, universiti medan terbaik untuk membentuk dan melatih bakal pemimpin dan pelaksana untuk industri kewangan Islam negara,

Finance Accreditation Agency (FAA) melaporkan 80 peratus negara yang memiliki industri kewangan Islam, mengalami kekurangan bakat di pelbagai bidang, manakala 60 peratus tenaga kerja sedia ada memerlukan latihan dan bengkel pengukuhan kemahiran bagi mengekalkan kompetensi dalam industri kewangan patuh syariah ini.

Justeru, adanya keperluan mendesak bagi menyediakan modal insan komprehensif serta mencakupi keupayaan berfikir aras tinggi.

Mereka juga diharap mampu merencanakan aktiviti atau tugasan dengan menggunakan kreativiti serta inovasi bersifat kontemporari, selain memiliki sahsiah dan integriti kukuh dan mulia.

Ini selaras kriteria digariskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi Program Standard untuk bidang Muamalat dan Kewangan Islam yang menekankan pelajar pasca siswazah apabila tamat pengajian, mesti dilengkapkan pengetahuan terkini dan mahir dengan teori serta prinsip berkaitan bidang itu, serta boleh menzahirkan komunikasi yang efektif, profesional dan beretika.

Pemerhatian melalui pengalaman dan kajian membabitkan pelajar pasca siswazah di bidang kewangan Islam mendapati, mereka sememangnya memerlukan pendedahan konsisten terhadap perkembangan pesat dalam industri, hasil penggunaan teknologi terkini seperti perlombongan data, wang kripto, ekuiti pendanaan ramai dan lain-lain lagi.

Oleh itu, pembabitan pengamal industri berpengalaman amat diperlukan bagi mengadunkan teori, konsep dan simulasi dipelajari pelajar pasca siswazah melalui sesi kuliah.

Selain membuka pemikiran pelajar untuk menilai sesuatu isu atau topik dibincangkan dari perspektif lebih luas, ia juga mencambah pemikiran pelajar supaya lebih kritis, berpandangan jauh dan mempunyai empati terhadap sesuatu isu.

Tiga kriteria ini penting kerana alam pekerjaan nanti, mereka perlu mampu untuk mengupas sesuatu isu atau perkara dengan terperinci bagi memastikan majikan mendapat input menyeluruh.

Bagi memastikan perkongsian pengamal industri dimanfaatkan sepenuhnya, sesi pembelajaran dengan 'membedah' kajian kes sesuai bagi mendedahkan pelajar dengan kes sebenar dalam industri.

Mereka dapat menganalisis dan memberi cadangan bagi menyelesaikan isu dibincangkan di dalam kajian kes, yang kemudian dibandingkan dengan pelaksanaan sebenar dibuat pengurusan dalam kajian kes terbabit.

Ini akan memberi ruang kepada pelajar dan pensyarah memperdebatkan isu dan solusi secara ilmiah. Penggunaan internet yang diperhebatkan juga membantu memudahkan universiti menganjurkan pelbagai webinar. Melaluinya, pelajar dapat dipertemukan dan berinteraksi dengan personaliti serta cendekiawan kewangan Islam dari serata dunia. Ia suatu pengalaman baharu buat semua.

Kesimpulannya, ledakan teknologi maklumat menyebabkan industri kewangan Islam bergerak lebih pantas bagi memastikannya kekal relevan untuk bersaing dengan kewangan konvensional serta memenuhi permintaan yang lebih sofistikated.

Justeru, universiti perlu bergerak seiringan dengan industri kewangan Islam bagi memastikan pelajar, terutama pada peringkat pasca siswazah mendapat ilmu, pengalaman dan kemahiran diperlukan bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

 

Carian artikel oleh : Pn. Nor Anidah Rosli (Penolong Akauntan)

Tarikh Input: 22/10/2021 | Kemaskini: 22/10/2021 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXETHAu~