Pengguna Mahu Akaun Bank Dijamin Terlindung Daripada 'scam' | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » Pengguna mahu akaun bank dijamin terlindung daripada 'scam'

Pengguna mahu akaun bank dijamin terlindung daripada 'scam'

Penulis :  Mahanum Abdul Aziz - Ogos 24, 2022 @ 1:58pm

mahanum_aziz@bh.com.my

 

Carian artikel oleh : Pn. Marziati Md Din (Pegawai Kewangan)

 

 

KUALA LUMPUR: Satu daripada tiga pengguna Malaysia menyatakan bahawa perlindungan yang mantap terhadap penipuan atau 'scam' menjadi pertimbangan utama apabila ingin memilih akaun kewangan baharu, demikian mengikut hasil tinjauan terkini penyedia perkhidmatan data dan analisis global, FICO.

Tinjauan terkini penipuan pengguna global FICO, yang membabitkan 1,000 responden Malaysia juga menunjukkan satu dalam empat pengguna menyifatkan perkara itu adalah pertimbangan kedua paling penting bagi mereka.

Pendirian yang ditunjukkan pengguna Malaysia itu muncul ketika pasca pandemik, yang mana kebanyakan pengguna menyatakan mereka akan terus melakukan semua perbankan secara digital dan semakin menyedari keperluan untuk perlindungan yang kukuh terhadap penipuan dalam talian.

Ketua Kaji Selidik Penipuan, Keselamatan dan Jenayah Kewangan Asia Pasifik FICO, CK Leo, berkata memandangkan terdapat kira-kira 23 juta pelanggan perbankan di Malaysia, seandainya satu pertiga daripada pengguna menapis penyedia kewangan untuk mencari mereka yang mempunyai perlindungan penipuan yang kukuh, ia adalah pasaran lebih tujuh juta.

"Ini adalah peluang penting dan benar-benar mula menunjukkan bahawa perlindungan penipuan yang baik boleh menjadi aset jualan terbesar bank dan bukannya hanya overhed," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut tinjauan yang dijalankan pada Ogos 2022, enam peratus (bersamaan dengan 1.3 juta) orang dewasa Malaysia mengetahui bahawa mereka telah menjadi mangsa kecurian identiti.

Sementara itu, 12 peratus (yang bermakna kira-kira 2.6 juta) rakyat Malaysia berpendapat kemungkinan identiti mereka telah digunakan untuk membuka akaun secara penipuan.

Menurut FICO, angka berkenaan menunjukkan peningkatan kesedaran mengenai penipuan sekitar kecurian identiti.

Pada masa sama, responden yang ditinjau mengatakan mereka juga menyedari mengenai pemeriksaan penipuan yang lebih kerap dijalankan oleh bank untuk mencuba dan melindungi mereka daripada kecurian identiti, pengambilalihan akaun dan penipuan kad.

Hasil tinjauan itu menunjukkan 49 peratus responden mengatakan bahawa semakan identiti telah meningkat apabila membuat pembelian dalam talian dan 47 peratus telah mengalami lebih banyak semakan identiti apabila mereka log masuk ke akaun.

Rakyat Malaysia juga semakin berhati-hati terhadap penipuan, yang mana penipu memperdayakan pengguna untuk menghantar wang kepada mereka, yang dikenali sebagai penipuan Bayaran Tolak Dibenarkan (APP).

Leo berkata, penipuan APP menjadi masalah yang lebih besar di Malaysia kerana pihaknya melihat peningkatan dalam penggunaan pembayaran masa nyata.

Beliau berkata, penipu tertarik dengan penipuan sedemikian kerana pintasan semakan mangsa dengan membenarkan pembayaran sendiri, yang mana dana dibersihkan serta-merta dan dicuci melalui pelbagai akaun.

"Melindungi pembayaran masa nyata memerlukan analitik yang mencari perubahan dalam tingkah laku pengguna seperti menggunakan akaun atau peranti di luar tabiat biasa mereka, serta sesuatu yang di luar kebiasaan seperti masa dalam sehari atau kekerapan pemindahan.

"FICO mendapati bahawa penggunaan pemprofilan sasaran tingkah laku pelanggan untuk mengesan penipuan telah menghasilkan beberapa penemuan yang mengagumkan, dengan 50 peratus lagi transaksi penipuan dikesan," katanya.

Menyentuh mengenai kemudahan, rakyat Malaysia menyatakan bahawa semakan identiti yang terlalu sukar atau memakan masa telah menghalang mereka daripada membuka pelbagai akaun yang berbeza.

Seramai 37 peratus pelanggan telah berputus asa untuk membuka akaun simpanan, 29 peratus pada kad kredit dan 27 peratus untuk pinjaman peribadi.

Selanjutnya, 26 peratus pula menyatakan bahawa semakan identiti yang sukar atau memakan masa bermakna mereka telah mengurangkan penggunaan atau berhenti menggunakan akaun bank dan 27 peratus telah menghentikan atau mengurangkan penggunaan kad kredit.

"Apabila penipuan baharu muncul, bank semakin dicabar dengan mengimbangi keperluan pengalaman pelanggan terhadap pengurusan risiko dan kawalan penipuan seperti mendapatkan pengesahan pembayaran. Melaksanakan teknologi keselamatan akaun berkesan yang mengurangkan geseran adalah satu keutamaan," kata Leo.

Tinjauan itu juga menunjukkan terdapat kaitan antara keberkesanan kaedah keselamatan yang dirasakan dan keutamaan orang ramai untuk menggunakannya.

Keselamatan biometrik diutamakan dan ditinjau sebagai yang paling selamat, dengan cap jari berada di tempat teratas dengan 52 peratus manakala imbasan muka pada 47 peratus.

Walaupun begitu, ramai pengguna telah menetapkan tabiat dan keengganan untuk beralih daripada kaedah tradisional yang kurang selamat, dengan 34 peratus rakyat Malaysia masih menunjukkan keutamaan untuk menggunakan cara lama iaitu nama pengguna dan kata laluan manakala 37 peratus suka menerima kod laluan yang dihantar melalui SMS.

Tinjauan FICO itu dijalankan pada Ogos 2022 oleh syarikat penyelidikan bebas yang mematuhi piawaian industri penyelidikan.

Kira-kira 1,000 orang dewasa Malaysia telah ditinjau, bersama-sama dengan 13,000 pengguna di Brazil, Kanada, Chile, Colombia, Jerman, Indonesia, Mexico, Afrika Selatan, Thailand, Peru, Filipina, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

 

 

Tarikh Input: 21/09/2022 | Kemaskini: 21/09/2022 | nurmiera

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEUOAG~