PANDEMIK TAK GUGAT PENJAWAT AWAM MENJALANKAN AMANAH | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » PANDEMIK TAK GUGAT PENJAWAT AWAM MENJALANKAN AMANAH

PANDEMIK TAK GUGAT PENJAWAT AWAM MENJALANKAN AMANAH

Ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang cukup setahun pada Khamis lalu, banyak yang boleh dibincangkan mengenai peranan dan sumbangan signifikan penjawat awam kepada rakyat serta negara.

Meskipun kita berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi serius, penjawat awam kekal utuh melaksanakan tugas dengan penuh amanah.

Walaupun kita melalui fasa PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), peranan penjawat awam tidak pernah terjejas mahupun berkurangan.

Jika diimbas semula, PKP diumumkan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru berusia dua minggu lebih, manakala ahli politik dan rakyat masih terpinga-pinga mencari jawapan kepada kemelut politik.

Namun, penjawat awam meneruskan tugas seperti biasa. Ini terbukti apabila semua perkhidmatan kerajaan berfungsi dengan lancar, lantas rakyat menikmati perkhidmatan efisien dengan layanan saksama serta adil.

Tatkala kerajaan PN baru memulakan pentadbiran, penjawat awam terus menjadi tiang seri mendukung tanggungjawab diamanahkan.

Begitu juga ketika kita memulakan 'peperangan' memerangi COVID-19. Pelaksanaan PKP menghentikan operasi hampir semua sektor ekonomi dan pandemik memaksa rakyat kekal di rumah untuk memutuskan penularan, tetapi penjawat awam tetap meneruskan perkhidmatan.

Paling signifikan, penjawat awam dalam sektor kesihatan dan keselamatan sebagai barisan hadapan menangani serangan virus hingga saat ini. Mereka bekerja siang malam tanpa cuti atau rehat secukupnya, malah berhadapan pelbagai risiko termasuk mengancam nyawa demi melindungi rakyat.

Guru pula dilihat memainkan peranan cukup penting sepanjang PKP untuk memastikan anak bangsa tidak tercicir dalam pelajaran terutama yang menduduki peperiksaan besar.

Ketika sekolah terpaksa ditutup untuk tempoh lama, guru tidak duduk diam di rumah sebaliknya terus mencari alternatif meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kreativiti dan kesungguhan guru terserlah apabila menggunakan pelbagai platform digital, e-pembelajaran dan media sosial untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Kelompok penjawat awam lain terus melaksanakan tugas penuh dedikasi dari rumah.

Dasar Bekerja Dari Rumah diperkenalkan, sekali gus menjadi platform terbaik meneruskan tugas dari rumah untuk memastikan jentera pentadbiran kerajaan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berfungsi.

Dalam keadaan norma baharu berpaksikan pendigitalan perkhidmatan awam, rakyat dapat menikmati perkhidmatan lebih pantas dan efisien.

Jelas, penjawat awam memberikan sumbangan cukup signifikan sepanjang pelaksanaan PKP sejak setahun lalu. Yakinlah sumbangan ini akan berterusan sampai bila-bila.

Hakikatnya, sumbangan signifikan penjawat awam banyak dipengaruhi sikap berkecuali, pemikiran matang dan profesional serta kesedaran memikul tanggungjawab berpaksikan mantra Berkhidmat Untuk Negara.

Penjawat awam ialah nadi dan tulang belakang kejayaan kerajaan terutama menjaga kebajikan dan melindungi keselamatan rakyat.

Krisis kesihatan dan ekonomi masih belum berakhir sepenuhnya tetapi kebajikan dan keselamatan rakyat perlu dipelihara serta diutamakan.

Hanya penjawat awam mampu menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat terutama untuk melaksanakan inisiatif dan menyampaikan bantuan disediakan termasuk melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

Kita berharap kerajaan dan rakyat terus meletakkan kepercayaan serta keyakinan penuh kepada penjawat awam agar dapat membantu merealisasikan semua sasaran dan matlamat ditetapkan.

 

Sumber Artikel : www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca

Oleh : En Noor Mohamad Shakil Hameed, Universiti Putra Malaysia

 

CARIAN OLEH : KETUA AUDIT DALAM

Tarikh Input: 25/03/2021 | Kemaskini: 25/03/2021 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXETMA6~