BEKERJA BIARLAH BERKAT | BAHAGIAN AUDIT DALAM
» ARTIKEL » BEKERJA BIARLAH BERKAT

BEKERJA BIARLAH BERKAT

PERNAH kah kita menganggap bahawa pekerjaan kita seharian merupakan suatu bentuk amanah? Atau adakah cukup sebagai cara memperoleh gaji atau upah yang kita terima? Kita perlu mengetahui amanah dalam bekerja bukan sahaja datang dari majikan kita, tetapi juga secara tidak langsung hal tersebut adalah amanah terhadap kita sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi Allah dan menjadi khalifah-Nya.

 

Melakukan sesuatu pekerjaan bukan hanya demi mengejar material kehidupan termasuk wang ringgit, kekayaan harta benda tetapi bagaimanakah kita mampu bekerja dengan efektif, dedikasi dan penuh tanggungjawab serta amanah. Penjagaan waktu bekerja walaupun hanya bekerja dari rumah (BDR) atau yang biasa kita dengar Work From Home (WFH) adalah istilah yang popular pada musim Perintah Kawalan Pergerak Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19 ini. Walaupun ia suatu kelebihan kerana kita hanya duduk di rumah sambil melakukan kerja pejabat, tetapi perlu juga diingati tentang susun atur kerja supaya selari dengan kehendak majikan dan produktiviti kerja berada di tahap yang maksimum.

 

Allah SWT menciptakan kita untuk menjadi serang hamba yang dapat memberikan manfaat bagi orang lain termasuk orang yang ada di sekeliling kita mahupun keluarga kita sendiri. Jika sudah ada jaminan yang  demikian, maka  setiap orang yang bekerja teruslah bekerja dan jangan bimbang dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Dari Ibnu Mas'ud RA, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ruh qudus (Jibril), telah membisikkan ke dalam batinku bahawa setiap jiwa tidak akan mati sampai sempurna  semua bahagian rezekinya (masing-masing). Kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah cara dalam mendapatkan rezeki tersebut. Jangan sampai tertundanya rezeki mendorong kalian untuk mencari rezeki  tersebut dengan cara bermaksiat kepada Allah. Kerana rezeki di sisi Allah tidak akan diperoleh kecuali dengan taat kepada-Nya."  (Riwayat al-Tabarani)

 

Oleh itu, dalam dunia pekerjaan, amanah dapat diaplikasikan dalam hal-hal sebagai berikut:

 

1) Mengetahui bidang tugasnya: Seorang staf yang profesional tidak perlu diberitahu secara berulang-ulang tentang tugasnya. Beliau hanya perlu ditunjuk ajar sekali, kemudian dia sendiri akan menyelesaikannya tanpa perlu ditegur. Beliau akan menyiapkannya sebelum atau tepat pada waktunya. Dia tidak  mengenal erti tangguh-menangguh. Contohnya, seorang pengurus yang profesional akan menyiapkan tugasannya dengan baik dan sistematik. Beliau akan menghantarnya kepada pihak pengurusannya pada waktu yang ditetapkan. Beliau memahami masalah yang akan dihadapi oleh pihak atasan jika dia terlambat menyelesaikannya.

 

2) Mempunyai rasa tanggungjawab dan tidak membebankan orang lain untuk menyelesaikannya: Seorang pekerja yang amanah mengetahui kerja yang perlu mereka siapkan tanpa mengharap atau menunggu orang lain yang diharap membantunya.

 

3) Melakukan setiap tugas dengan bersungguh-sungguh dan yang terbaik: Bekerja dengan amanah bermakna mampu untuk meletakkan matlamat terbaik dalam pekerjaan, contohnya menyelesaikan sesuatu tugasan sebelum waktu tamat tempoh yang diberikan.

 

4) Menunjukkan sikap komitmen dalam pekerjaan: Sentiasa ada ketika diperlukan dan lebih mementingkan kerjanya daripada tugas-tugas yang tidak berkaitan. Seorang staf yang berkaliber akan peka dengan perkembangan di tempat kerja, dia tidak akan menggunakan alasan seperti tidak tahu ada mesyuarat, tidak melihat surat, dan seribu satu alasan yang lain. Sebaliknya dia akan mencuba sebaik mungkin dengan menggunakan kemampuan yang sedia ada.

 

5) Menjauhkan diri daripada hal negatif yang boleh merosakkan kerjaya, kesihatan, hubungan antara individu mahupun hubungan dalam keluarganya: Dalam mendapatkan pekerjaan untuk meraih rezeki Allah, kita hendaklah mencari pekerjaan yang halal dan menjauhi yang haram. Dari Jabir bin 'Abdillah RA, Nabi SAW bersabda: "Wahai umat manusia, bertakwalah engkau kepada Allah dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga ia benar-benar telah mencari seluruh rezekinya, walaupun terlambat datangnya. Maka bertakwalah kepada Allah dan tempuhilah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhlah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram." (Riwayat Ibnu Majah)

 

Carilah pekerjaan yang mendatangkan keberkatan, bukan dengan besarnya gaji yang diperoleh. Ada sahabat yang pernah bertanya pada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, mata pencarian apakah yang paling baik?" Beliau bersabda: 'Pekerjaan seorang lelaki dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang betul dan diberkati.'" (Riwayat Ahmad). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa sahabat tidak bertanya manakah pekerjaan yang paling mendatangkan pendapatan yang lumayan. Namun, yang dipentingkan oleh mereka ialah pekerjaan yang paling diberkati. Oleh yang demikian kita ketahui bahawa tujuan mencari rezeki adalah untuk mencari yang paling berkat, bukan mencari yang paling menguntungkan. Ini kerana pendapatan yang banyak belum tentu berkat di sisi Allah. (Syaikh 'Abdullah bin Shalih al-Fauzan dalam Minhatul 'Allam, 6: 10).

 

Setiap manusia pasti memerlukan kewangan dalam menyediakan kemudahan asas dalam kehidupan dan ia dapat kita peroleh dengan cara bekerja. Bekerja merupakan salah satu cara untuk mendapatkan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada munusia. Oleh karena itu kita perlu memastikan rezeki yang diperoleh adalah rezeki yang halal dan berkat serta ada manfaatnya untuk diri kita dan orang lain.

 

Tanpa doa dan banyak memohon kepada Allah, kita sukar mendapatkan yang halal. Walaupun kita sudah mengerah seluruh tenaga kita untuk mendapatkan sesuap nasi. Jika tidak diizinkan Allah, maka nasi yang hampir masuk ke dalam mulut juga boleh terlepas. Hanya dengan banyak berdoa kepada Allah, Dia akan memudahkan jalan untuk meraih sumber yang halal. Ini sebagaimana doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita: "Ya Allah cukupkanlah aku dengan yang halal dan jauhkanlah aku dari yang haram dan cukupkanlah aku dengan kurnia-Mu dari pergantunganku kepada selain-Mu."  (Riwayat al-Tirmidzi)

 

Ya Allah, berkatilah usaha kami untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal dan jauhkanlah kami dari sumber rezeki yang haram. Mudah-Mudahan rezeki yang Engkau berikan kepada kami akan beroleh keberkatan dalam hidup kami untuk menghambakan diri serta mengabdikan diri kepada-Mu secara tulus dan ikhlas walaupun kami bekerja dari rumah.

 

ARTIKEL OLEH : Penulis, Dr Azlan Shaiful Baharum, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

SUMBER CARIAN : HARIAN METRO

CARIAN OLEH : JAWATANKUASA WEBSITE AUDIT UPM

Tarikh Input: 22/04/2021 | Kemaskini: 22/04/2021 | faiz_suparman

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN AUDIT DALAM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEUEAy~